DI sebalik usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kembali meletakkan Malaysia sebagai Asian Tiger di rantau ini, terdapat beberapa pihak yang cuba untuk menimbulkan keraguan terkait hasil lawatan ini sehingga mengundang persepsi negatif yang melampau dan fitnah dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ia tidak sepatutnya menimbulkan keraguan terkait impak sebenar bagi lawatan-lawatan kerja Anwar. Sedari awal, kunjungan rasmi beliau ke Mesir telah membuahkan hasil signifikan dalam pelbagai bidang, termasuk hubungan dua hala, perdagangan, dan kerjasama strategik.
Perdagangan dua hala Malaysia-Mesir dilihat meningkat sebanyak 21.4 peratus kepada RM3 billion (AS$648 juta) dari Januari hingga September 2024, menandakan kerancakan perdagangan antara kedua buah negara.
Kerjasama ekonomi ini bakal dirancakkan lagi dengan nilai potensi eksport berjumlah RM4.8 billion yang berjaya dihasilkan melalui sesi meja bulat bersama 47 syarikat Mesir dan 20 syarikat Malaysia merangkumi sektor automotif, kimia, oleokimia dan tenaga boleh baharu.
Tambahan lagi, operasi kilang pemasangan tempatan Proton Saga dilancarkan di Giza yang bakal beroperasi pada Disember 2024 dijangka menghasilkan nilai pendapatan sebanyak RM570 juta melalui penjualan 16,000 unit antara 2024 hingga 2026, di samping tambahan pendapatan sebanyak RM20 juta yang bakal diraih melalui jualan alat-alat ganti bagi menyokong perkhidmatan. Kerjasama ini telah menjadikan Mesir sebagai hab utama Proton di rantau ini.
Seterusnya, lawatan bersama delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak APEC 2024 di Lima, Peru, bermula dengan mengadakan kunjungan rasmi ke atas Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra adalah signifikan bagi membuka laluan baharu buat industri halal negara untuk meneroka pasaran Amerika Latin melalui kewujudan ekosistem halal di Peru dengan memanfaatkan pembangunan pelabuhan Chancay dengan termeterai Memorandum Persefahaman antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU).
Kerjasama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Inovasi Pertanian Negara Peru mengembangkan lagi industri pertanian kedua-dua buah negara serta menjamin sekuriti makanan negara. Ini akan membantu meningkatkan lagi perdagangan keseluruhan yang telah memperlihatkan peningkatan sebanyak 49.1 peratus kepada RM1.58 billion pada tahun ini.
Dakwaan bahawa Anwar tidak mempunyai sokongan di peringkat global adalah sebuah sangkaan yang dangkal. Sebaliknya, Malaysia telah memainkan peranan utama dengan mengetengahkan pemerkasaan ekonomi digital serta advokasi tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika dan keselamatan siber dalam Sidang Kemuncak APEC 2024.
Malaysia juga dilihat terkehadapan dalam sektor pertumbuhan hijau dengan menonjolkan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta minyak sawit lestari sebagai model ekonomi APEC. Ini termasuk soal liberalisasi perdagangan yang mengutamakan perdagangan saksama bagi membangunkan ekonomi sesebuah negara. Peranan neutral Malaysia dalam merapatkan jurang antara Amerika Syarikat-China dan kepimpinan ASEAN dapat memperkukuhkan pengiktirafan global terhadap agenda strategik negara.
Dalam sidang kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2024, syarikat gergasi teknologi seperti Microsoft dan Google telah menunjukkan kepercayaan mereka kepada Malaysia ekoran kejelasan dalam dasar yang dibawa oleh Anwar yang jelas menyangkal dakwaan ketiadaan keyakinan syarikat gergasi antarabangsa terhadap Malaysia.
Ini dibuktikan dengan kenyataan Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google, Karan Bhatia. “Dengan pendekatan yang saya rasa Malaysia telah ambil di bawah kepimpinan beliau untuk membina infrastruktur ini, inilah sebabnya kami baru-baru ini mengumumkan pelaburan pusat data bernilai AS$2 bilion.”
Naib Presiden Data dan AI Microsoft, Zia Mansoor pula menyatakan,“Perdana Menteri Malaysia telah mewujudkan contoh hebat tentang Peta Jalan AI Kebangsaan. Ia sangat komprehensif. Ia melihat kepada infrastruktur AI, latihan kemahiran dan bagaimana rakyat Malaysia dilatih tentang teknologi AI. Ia juga mewujudkan Pusat Kecemerlangan AI dalam kerajaan, supaya kerajaan benar-benar menggunakan AI. Bagi saya, ini adalah syarat-syarat yang sangat penting.”
Ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Rio De Janeiro, Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20, Anwar mengadakan pertemuan bersama Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva. Kerjasama dalam sektor automotif dan tenaga berjaya dihasilkan seperti pelaburan luar pesisir Petronas bernilai AS$6 bilion di Brazil di samping kejayaan pelaksanaan projek penerokaan minyak daripada kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) oleh syarikat Yinson Holding Bhd Malaysia yang bernilai AS$5 bilion dan eksplorasi tenaga solar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menunjukkan komitmen ekonomi yang kukuh. Kejayaan dua syarikat Malaysia ini sudah tentu bakal membawa limpahan ekonomi yang cukup besar buat rakyat Malaysia.
Dalam Sidang Kemuncak G20, Anwar menegaskan komitmen Malaysia untuk Agenda 2030 bagi memerangi kebuluran dan kemiskinan melalui Kerangka Ekonomi Madani. Malaysia juga bersedia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk meningkatkan daya tahan, mengurangkan kemiskinan, dan memperbaiki tadbir urus. Beliau turut menekankan ketidakseimbangan kuasa veto PBB yang tidak adil serta mengkritik sistem kewangan global yang meminggirkan negara membangun. Beliau juga menyeru negara-negara G20 untuk memacu perubahan ke arah sistem global yang lebih adil dan inklusif.
Di Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, Anwar menyampaikan kenyataan tegas mengutuk keganasan Israel serta menyeru masyarakat antarabangsa mengenakan sekatan senjata terhadap Israel. Malaysia turut menyatakan pendirian jelas negara untuk mencabar kedudukan Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menolak status pengiktirafan negara haram itu atas jenayah besar yang telah dilakukan ke atas keamanan dunia, memukah kestabilan masyarakat global.
Lawatan kerja Anwar ke empat buah negara mutakhir ini jelas telah berjaya memperkukuh hubungan antarabangsa, menjana pelaburan strategik, dan mengangkat suara Malaysia di pentas global, membuktikan komitmen beliau untuk membawa negara ke mercu keunggulan yang pernah kita duduki sebelum ini. Dengan aspirasi dan dasar-dasar Kerajaan Madani yang jelas, Malaysia terus diiktiraf sebagai peneraju ekonomi digital, teknologi hijau, dan pembela keadilan sejagat, meletakkan negara ini sebagai kuasa utama yang kian disegani di rantau ini. Saya juga yakin bahawa lawatan Perdana Menteri ke Korea Selatan akan membawa pulangan hasil penting buat negara dan rakyat. – UTUSAN
DATUK Ahmad Farhan Fauzi ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.










