PENYELIDIKAN bertanggungjawab berakar umbi dalam perakuan etika di semua peringkat proses penyelidikan. Ini amat penting dalam era digital apabila maklumat boleh dicapai dan dimanipulasi dengan mudah.
Oleh itu, tanggungjawab sebagai penyelidik untuk mengeluarkan hasil penyelidikan yang tepat, boleh dipercayai dan sah amat penting kerana hasilan inilah yang akan digunakan dalam membentuk dasar, memajukan sains, mencambah inovasi dan makluman wacana awam.
Prinsip integriti dan kesahan yang menjadi asas kepada penyelidikan bertanggungjawab adalah kajian yang bukan sekadar mengikut prosedur tetapi ia dijalankan dengan komitmen terhadap kejujuran, ketelusan serta penghormatan terhadap subjek selain disiplin yang terlibat.
Prinsip ini terpakai dalam semua bidang penyelidikan sama ada teknologi, sains tulen, sains sosial dan kemanusiaan. Integriti dalam penyelidikan merujuk kepada pematuhan kepada standard etika dan moral bermula dari kejujuran dalam pengumpulan mahupun pelaporan data.
Penyelidik perlu memastikan data penyelidikan yang dikumpul adalah tepat dan melibatkan perwakilan data yang sahih.
Ini melibatkan dokumentasi yang teliti terhadap penyelidikan dan pengendalian data untuk mengelakkan kesilapan. Penyimpangan atau hasil tidak dijangka harus dilaporkan secara telus dan bukannya dimanipulasi untuk memenuhi hasil yang diinginkan.
Satu lagi aspek penting berkaitan integriti penyelidikan ialah pengiktirafan sewajarnya terhadap hasil kerja penyelidik lain. Plagiarisme, sama ada sengaja atau tidak adalah pelanggaran serius terhadap etika. Kredit perlu diberikan kepada yang berhak, sama ada melalui petikan atau penghargaan akan mengekalkan kebolehpercayaan terhadap hasil kajian penyelidik.
Etika penyelidikan juga merangkumi layanan terhadap peserta termasuk haiwan dan lebih-lebih lagi jika melibatkan manusia. Penyelidik mesti sentiasa berhati-hati dalam melindungi hak dan kesejahteraan subjek mereka, kerana ini secara langsung mempengaruhi kesahan dan kedudukan etika penyelidikan. Subjek juga adalah sebahagian dari penyelidikan dan mempunyai hak untuk mengetahui hasilan dari projek penyelidikan.
Keterbukaan mengenai metodologi dan keterbatasan kerja adalah penting untuk integriti proses penyelidikan. Ketelusan ini membolehkan penyelidik lain mengulang kajian, mengesahkan hasil dan membina pengetahuan sedia ada.
Integriti yang tersebut dalam prinsip penyelidikan bertanggungjawab membawa kesahan penyelidikan yang menumpukan ketepatan dan kredibiliti penemuan penyelidikan. Kesahan ini membuktikan penyelidikan mengukur apa yang didakwa dan sama ada hasilnya boleh di generalisasikan di luar sampel kajian.
Keperluan kesahan penyelidikan dalam prinsip penyelidikan bertanggungjawab termasuk menjalankan kesahan dalaman untuk menentukan reka bentuk dan kaedah penyelidikan boleh menetapkan sebab-akibat dengan tempat tanpa dipengaruhi pengaruh luaran.
Kesahan luaran pula memastikan kebolehgunaan penemuan penyelidikan di dalam konteks, populasi atau situasi lain. Selain itu kesahan konstruk memastikan penyelidikan boleh mengukur apa yang ingin diukur. Ketiga jenis kesahan ini yang perlu dijalankan di mana-mana disiplin penyelidikan akan menentukan kepercayaan di dalam konteks penyelidikan yang dijalankan.
Kepentingan kesahan ini berkait-rapat dengan konsep kebolehpercayaan dan kebolehulangan kerana penyelidikan yang boleh dipercayai akan menghasilkan keputusan yang konsisten dalam keadaan yang serupa dan boleh disahkan secara bebas oleh penyelidik lain.
Memastikan kebolehpercayaan dan kebolehan ulangan memerlukan penyelidik menyediakan dokumentasi yang jelas mengenai proses penyelidikan dari pengumpulan data hingga analisis selain menjadikan data tersedia untuk analisis semula oleh pihak lain.
Dalam kesahan juga ketelitian saintifik menetapkan penerapan ketat kaedah saintifik untuk memastikan ketepatan dan objektiviti dalam penyelidikan. Ulasan sejawat merupakan komponen penting membolehkan pengesahan secara bebas.
Ketelusan dalam pelaporan termasuk metodologi terperinci dan batasan penting untuk membolehkan penyelidik lain mengulang serta membina atas kerja yang dijalankan seterusnya menetapkan integriti mahupun kredibiliti saintifik.
Pelaksanaan penyelidikan yang bertanggungjawab penting dalam penyelidikan berasaskan komuniti diberi tumpuan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pelaksanaan kajian komuniti sentiasa memenuhi keperluan integriti, ketelusan dan mengadabi komuniti yang terlibat. Penyelidikan bertanggungjawab yang melibatkan ahli komuniti dalam proses berkenaan akan memastikan keperluan, nilai dan perspektif mereka dalam kerja penyelidikan diambil kira.
Penyelidik perlu mengutamakan amalan etika, termasuk mendapatkan persetujuan, melindungi privasi dan meminimumkan risiko. Kerjasama yang saksama dengan pihak berkepentingan komuniti memastikan hasil penyelidikan relevan dan bermanfaat kepada populasi dapat dihasilkan.
Hasil kajian juga harus disampaikan dengan cara yang jelas dan mudah di akses kepada komuniti terlibat. Pelaksanaan penyelidikan bertanggungjawab seperti ini akan membina kepercayaan dari komuniti untuk institusi dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan serta pembangunan komuniti.
Walaupun amat jelas kepentingan integriti dan kesahan penyelidik menghadapi cabaran dalam menegakkan prinsip-prinsip ini, seperti tekanan untuk keperluan penerbitan kerana rata-rata penyelidik terpaksa menghasilkan penerbitan melaporkan penemuan signifikan dengan cepat.
Oleh kerana keperluan ini, ramai penyelidik terdorong kepada kompromi prinsip dalam integriti dan kesahan.
Selain itu, pembiayaan dengan konflik kepentingan juga mempengaruhi integriti dan kesahan penyelidikan kerana konflik kepentingan entiti pembiaya terhadap hasil penyelidikan.
KURANG DANA PENYELIDIKAN
Bagaimanapun kekurangan pembiayaan penyelidikan akan menimbulkan kerumitan dan ketidakpastian bila mana banyak pemboleh ubah yang tidak boleh di kawal. Kedua-dua faktor yang berdasarkan pembiayaan ini akan menimbulkan risiko terhadap integriti dan kesahan hasil penyelidikan.
Oleh itu, untuk menjalankan penyelidikan, maka, semua pihak dalam ekosistem penyelidikan termasuk penyelidik, institusi, badan pembiaya dan jurnal perlu berusaha bersama.
Institusi dan badan pembiayaan mesti mewujudkan persekitaran yang mengutamakan perlakuan etika dengan memastikan hasil penyelidikan sentiasa dapat disahkan oleh rakan sebaya sebelum disiarkan di dalam jurnal atau kepada umum.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Amir A. Shafie ialah Timbalan Rektor Inovasi dan Kebertanggungjawaban Penyelidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











