KONGRES Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) akan mengadakan Konvensyen Akademik Kebangsaan Universiti Awam (KAKUAM) kelima pada 10 Oktober 2024 di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Konvensyen yang diadakan pada setiap dua tahun sekali sempena Bulan Akademia itu bertujuan untuk membawa ahli-ahli akademik membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan ahli-ahli akademik untuk membantu universiti mencapai kecemerlangan.
MAAC sebagai kuasa ketiga bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan semua universiti memastikan matlamat pengajian tinggi Malaysia tercapai seperti yang dirancang.
Peranan ahli akademik sangat penting bagi menjayakan harapan kerajaan dalam pendidikan tinggi negara. Justeru itu, MAAC mahukan kebajikan pensyarah berada dalam keadaan selesa dan sentiasa bersedia dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Kebajikan ahli akademik daripada tutor hinggalah kepada pensyarah mesti diberi perhatian bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selesa, yakin dan dihormati sepanjang perkhidmatan mereka di universiti dan selepas bersara.
Keadaan yang selesa dan dihargai ini pensyarah akan lebih yakin dalam menjalankan tugas dan dihormati masyarakat. Tugas pensyarah menerokai ilmu baharu untuk merangsang mahasiswa mengikut zaman dan trend bakat masa hadapan adalah sangat mencabar.
Hari Akademia selari dengan Hari Guru Sedunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 5 Oktober 1994. Tujuannya untuk mendapatkan suara guru sebagai kontrak sosial dalam memperkasakan sistem pendidikan. Pensyarah yang menjalankan penyelidikan dalam ilmu masing-masing sudah tentu dalam mengaplikasikannya ke dalam kehidupan harian dan masa hadapan yang mesti dimanfaatkan.
MAAC menyedari pentingnya persatuan akademik universiti dalam memantapkan usaha kerajaan terutama dalam menyediakan bakat masa hadapan negara maju. Keunikan Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, budaya, agama dan tahap ekonomi memerlukan sokongan ahli akademik. Tambahan lagi dengan kekalutan dunia sekarang dalam politik, ekonomi, peperangan, penyebaran penyakit, keterjaminan makanan, perubahan iklim, dan lain-lain sangat memerlukan kajian ahli akademik yang terkehadapan.
Pandangan ahli-ahli MAAC dan persatuan akademik seluruh universiti dianalisis dan dikemukakan kepada pihak berkaitan bagi membantu mereka melalui idea yang dijana dalam perbincangan, forum dan seminar.
Sebelum ini, KAKUAM menumpukan kepada tiga perkara penting iaitu kepemimpinan universiti, laluan kerjaya pensyarah dan memartabatkan akademia. Ketiga-tiga perkara ini sangat penting dalam memperkasakan pengajian tinggi terutamanya dalam menyesuaikan dengan visi Malaysia Madani.
Dalam mentransformasikan pendidikan tinggi selari dengan Malaysia Madani, perkara asas dasar pendidikan tinggi perlu dilihat semula. Pihak kerajaan juga sedang menjalankan penilaian semula dasar pendidikan dengan mengambil kira semua aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar ke arah negara yang sejahtera, harmoni dan mampan.
Bagi mencapai harapan dasar pendidikan tinggi negara, kepemimpinan universiti sangat penting. Institusi pendidikan tinggi negara sangat memerlukan pemimpin yang berbakat dan mempunyai wawasan yang terkehadapan memenuhi niche institusi yang dipimpin. Pemimpin yang berkualiti akan dihormati dan mudah diikuti oleh ahli akademik dalam institusi berkenaan.
Dalam membangunkan kepakaran pensyarah, semua hak untuk memajukan kesarjanaan pensyarah sepanjang kerjaya mestilah dipenuhi tanpa alasan. Pihak pemimpin universiti yang baik mesti sentiasa sedar akan hak pensyarah untuk membangunkan kepakaran masing-masing seperti mengikuti seminar, persidangan dan bengkel di dalam dan di luar negara, menjalani cuti sabatikal atau sangkutan di makmal terkemuka di dunia selain peluang kenaikan pangkat dengan telus.
Pembangunan kepakaran pensyarah mestilah sentiasa dalam perancangan institusi dengan penyediaan dana yang mencukupi.
Isu beban tugas pensyarah sudah pun diberikan perhatian oleh menteri. Diharapkan perhatian ini diambil tindakan segera oleh pihak universiti.
Tugas pensyarah memberi syarahan, menyelia, menjalankan penyelidikan, menulis artikel dan menjalankan kerja perundingan atau pengembangan, jika tidak dilihat beban tugasnya, akan memberikan tekanan kepada pensyarah. Pensyarah dalam keadaan tertekan tidak akan dapat menghasilkan graduan yang berkualiti yang akan memimpin negara masa hadapan. Perkara berkaitan Pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE), Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mesti dihayati untuk persaingan graduan serta bakat masa hadapan.
Pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu perlu dihargai dan dilibatkan dalam aktiviti kemasyarakatan melalui agensi kerajaan terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Penglibatan pensyarah dalam PBT sangat baik kerana dapat memindahkan atau berkongsi secara langsung kepakaran yang ada pada pensyarah melalui aktiviti pengajaran dan penyelidikan yang melibatkan mahasiswa. Sewajarnyalah semua PBT memanfaatkan kepakaran dan kemudahan yang ada di universiti dan sebaliknya.
Tahun ini KAKUAM 2024 akan menumpukan kepada keselarian pekeliling kerajaan yang melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam, KPT dan universiti. Banyak perkara yang akan disentuh terutamanya berkaitan tata kelola, integriti, ketelusan, kualiti penjawat awam, badan berkanun dan autonomi universiti.
Walaupun proses autonomi universiti nampak lebih bagus untuk kecemerlangan akademik yang berdaya saing di peringkat global, namun universiti berhadapan dengan krisis kewangan, ketelusan pentadbiran, lambakan pengenalan budaya korporat yang tidak bersesuaian dengan dunia akademik dan kualiti kepemimpinan.
Diharapkan KAKUAM kali ini dapat memenuhi harapan Malaysia Madani membuahkan banyak lagi idea untuk dikongsikan dengan semua pihak demi kebajikan pensyarah untuk menyumbang kepada pendidikan tinggi negara. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










