NEGARA kita mempunyai perlembagaan yang dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Ia merupakan undang-undang tertinggi dan menjadi punca terbitnya undang-undang lain.
Ketinggian perlembagaan negara disebut di dalam Perkara 4(1) sebagai undang-undang utama Persekutuan Malaysia. Tiada mana-mana undang-undang yang dikuatkuasakan di negara ini boleh mengatasinya. Ia menjadi punca kuasa kepada kerajaan Pusat (Kerajaan Persekutuan) dan kerajaan negeri untuk melaksanakan pentadbiran sebagai mana yang ditetapkan perlembagaan.
Perlembagaan juga menjadi asas rujukan dalam menyelesaikan sebarang masalah yang timbul antara dua kerajaan tersebut dan juga menyelesai isu dalam kalangan masyarakat.
Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak dan kebebasan awam mengikut batas-batas yang ditentukan perlembagaan dan undang-undang yang berkaitan dengannya. Hakikatnya, perlembagaan negara menggariskan hak, kuasa, tanggungjawab serta tatacara yang memandu hubungan antara satu autoriti dengan satu autoriti yang lain supaya dapat menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara.
Selain Perlembagaan Persekutuan, terdapat pelbagai undang-undang yang dikuatkuasakan di negara ini mengikut tujuan dan maksud ia diwujud dan dikuatkuasakan. Badan tertinggi yang memiliki kuasa untuk menggubal undang-undang dinyatakan dalam Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyebut Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi yang menggubal undang-undang.
Secara mudahnya, undang-undang bermaksud satu bentuk perintah yang diberi sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh badan tertinggi perundangan negara kepada sesebuah badan yang berautoriti untuk melaksanakan kedaulatan undang-undang secara adil dan telus. Undang-undang yang terbit di Parlimen ini dikenali sebagai akta, manakala undang-undang yang terbit dari Dewan Undangan Negeri (DUN) dikenali sebagai enakmen.
Sayugia difahami undang-undang yang terbit dari DUN itu tertakluk kepada Perkara 75 yang menetapkan undang-undang negeri tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Semua undang-undang yang dikuatkuasakan bertujuan untuk menegakkan keadilan.
Mahkamahlah tempat mencari keadilan dalam apa jua perbalahan dan pelanggaran undang-undang yang berbangkit. Maknanya, mahkamah diwujudkan bertujuan untuk memelihara perlembagaan dan mentafsirnya dengan jelas dan muktamad peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan dan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Ini bermakna, segala perjalanan dan aktiviti politik di negara ini juga mempunyai hubungan yang rapat dengan perlembagaan dan undang-undang.
Berdasarkan sistem demokrasi dan raja berperlembagaan, rakyat diberikan kebebasan untuk berpersatuan, berhimpun dan bersuara. Aktiviti berorganisasi atau berpersatuan ini termasuklah kebenaran untuk menubuhkan parti politik.
Rakyat diberikan kebebasan untuk menyertai mana-mana parti politik, menyertai proses pilihan raya sama ada sebagai calon dan juga sebagai pemilih (pengundi). Melalui sistem pilihan raya inilah akhirnya kerajaan dibentuk untuk mengurus dan mentadbir negara. Semua yang berkait dengan bagaimana kerajaan itu harus dibentuk dan apakah pembahagian kuasa antara kerajaan Pusat (Kerajaan Persekutuan) dan kerajaan negeri serta pemisahan kuasa antara tiga badan utama negara (eksekutif, legislatif dan kehakiman) digariskan dalam perlembagaan negara.
Justeru, penglibatan, aktiviti serta perjalanan politik negara ini harus mengambil kira semangat perlembagaan Persekutuan yang mendukung falsafah pemerintahan dan pentadbiran corak demokrasi.
Dalam bingkai besarnya, corak dan sistem pemerintahan negara kita adalah demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dengan kuasa-kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, manakala pentadbiran negara diketuai Perdana Menteri beserta barisan Kabinetnya.
BERCANGGAH
Justeru, mana-mana parti politik atau gabungan parti-parti politik yang berjaya membentuk kerajaan melalui sistem pilihan raya maka, pemerintahan atau pentadbirannya harus mendukung ketetapan, semangat, nilai dan falsafah yang terkandung dalam perlembagaan, bukannya berdasarkan agenda sempit kepartian yang bertentangan dengan semangat serta kehendak perlembagaan.
Justeru, jika ada mana-mana pihak berniat mencabul semangat perlembagaan dan nilai-nilai demokrasi atas dorongan mahu memenuhi agenda sempit kepartian maka ia adalah sesuatu yang bercanggah dengan semangat perlembagaan. Tindakan itu boleh menimbulkan keadaan yang tidak stabil dan hura-hara kepada negara.
Selain itu, adalah bercanggah dengan perlembagaan sekiranya ada pihak atau individu tertentu atau pertubuhan (politik atau bukan politik) secara sulit mahupun terang-terangan cuba melakukan perbuatan yang sama sekali tidak selari dengan perlembagaan dan undang-undang negara. Ini termasuklah melakukan perbuatan-perbuatan subversif yang boleh dianggap sebagai derhaka atau berontak terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagaimana terkandung dalam Perkara 149.
Peruntukan tersebut dengan jelas menentang perbuatan subversif dan tindakan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam ditimbulkan oleh mana- mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan.
Kesimpulannya, partisipasi dan kegiatan politik di negara ini mestilah mengikut semangat perlembagaan negara dan tidak boleh mana-mana parti politik menggunakan cara lain yang bercanggah untuk mencabul perlembagaan negara mahupun sistem demokrasi.
Hakikatnya, Perlembagaan Persekutuan menjadi asas serta tonggak penting kelangsungan negara-bangsa, menjamin kesetiaan rakyat, kestabilan politik dan keharmonian hidup rakyat di negara tercinta ini.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










