Jangan lupa harapan belia dalam Belanjawan 2025

Jangan lupa harapan belia dalam Belanjawan 2025

GOLONGAN belia tidak keberatan untuk berhijrah ke negeri lain seandainya langkah itu mampu memberikan pendapatan yang lebih baik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) yakin Belanjawan 2025 ini pastinya akan memberikan tumpuan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat, di samping memastikan pertumbuhan ekonomi akan terus berkembang selaras dengan kerangka Ekonomi Madani yang diangkat kerajaan ketika ini.

Sebagai pertubuhan induk pergerakan yang mewakili suara belia di Malaysia, MBM melalui beberapa pertemuan, dialog serta libat urus bersama belia di akar umbi dalam program berbentuk selain melalui pertemuan yang diadakan bersama Kementerian Kewangan pada 2 Ogos serta Kementerian Belia dan Sukan pada 23 Ogos menghimpunkan harapan selain cadangan untuk dipertimbangkan, seterusnya dimasukkan dalam Belanjawan 2025 ini meliputi:

Pendidikan
Tambahan peruntukan untuk Tabung Pembangunan Kemahiran. Kerajaan mengumumkan peruntukan besar untuk pembangunan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) dalam negara. Oleh hal yang demikian, tabung pinjaman untuk kemahiran melalui Tabung Pembangunan Kemahiran juga perlu selaras dengan peruntukan besar untuk TVET. Untuk 2023 dan 2024, sebanyak RM180 juta diperuntukkan untuk tabung berkenaan namun ia perlu ditambah bagi menyokong inisiatif berkaitan bidang ini yang sedang giat dilaksanakan kerajaan.
Penambahan kelas prasekolah dan pusat jagaan kanak-kanak milik kerajaan. Terkini, prasekolah swasta mendahului prasekolah milik kerajaan (2023) dan kos yang perlu ditanggung ibu bapa muda pastinya membebankan.
Pelepasan cukai bagi pendidikan dan penjagaan kanak-kanak dari RM3,000 kepada RM5,000
Mengembalikan program peranti percuma kepada pelajar dan mahasiswa B40 dan M40 agar kesenjangan antara murid dapat dikurangkan.
Penambahan kelas bagi kolej vokasional bagi menampung keperluan TVET di dalam negara. Buat masa ini, hanya 20,822 penempatan dapat dipenuhi berbanding 68,671 permohonan yang diterima.

Pembangunan Belia
Penambahan dana bagi program Rakan Muda. RM20 juta yang diperuntukkan untuk tahun ini tidak mencukupi untuk menggerakkan 9.6 juta belia Malaysia yang berusia antara 15 hingga 30 tahun.
Dana khas bagi pertubuhan belia untuk melaksanakan program transisi menghadapi perubahan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang menurunkan had umur belia dari antara 15 hingga 40 tahun kepada 15 hingga 30 tahun bermula 2026.
Mewujudkan Akta Kesejahteraan Generasi Masa Hadapan bagi memastikan pembangunan mampan negara serta selaras dengan dokumen Pakatan Untuk Masa Depan yang dipersetujui Malaysia dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mengembalikan inisiatif RM500 kepada belia yang terlibat di dalam program kesukarelaan dan memperluaskan umur dari 18 hingga 20 kepada 18 hingga 30 tahun.
Perumahan
Projek Perumahan Transit untuk belia khususnya di Lembah Klang harus dikembalikan.

Ekonomi
Meluaskan program Sejati Madani kepada pertubuhan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang terlibat di peringkat akar umbi.
Latihan ke arah peralihan ke ekonomi digital dipergiatkan dan diperluaskan khususnya kepada belia di luar bandar.
Dana khas untuk melahirkan lebih ramai tekno-usahawan dalam kalangan belia.

Kesihatan
Peruntukan bagi program-program kesihatan mental khusus untuk belia dan peruntukan bagi melaksanakan program-program kesihatan bagi mengatasi masalah obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia yang terbukti tertinggi di Asia dan antara tertinggi di dunia.

Pekerjaan
Penubuhan dengan kadar segera Suruhanjaya Pekerja Gig yang diumumkan sebelum ini. Ini termasuklah mewujudkan segera akta khusus bagi melindungi pekerja dalam ekonomi gig.
Latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran khusus terkait ekonomi hijau selaras untuk mempersediakan belia serta anak muda ke arah pekerjaan kalis masa hadapan.

Sukan
Membina stadium bagi mempergiatkan promosi e-sukan dan persiapan temasya sukan antarabangsa.
Memperluaskan dan mempromosikan e-sukan dalam TVET dan sebagai industri yang lebih luas.
Menambah baik serta memperbanyakkan kemudahan sukan dan rekreasi untuk warga belia mahupun orang ramai bagi menggalakkan golongan ini aktif menjalani aktiviti ke arah hidup sihat juga sejahtera.
Menambah baik ekosistem sukan dengan inisiatif menggalakkan pembangunan dan badan sukan dengan lebih kompetitif dalam agenda industri sukan.

Alam Sekitar
Program pemerkasaan belia dalam pendidikan alam sekitar dan daya tahan bencana.
Dana khas bagi NGO serta pertubuhan belia melaksanakan kempen kesedaran serta pendidikan berkaitan alam sekitar selain darurat iklim.
Dana dan geran program peringkat komuniti berkaitan pembangunan mampan.

MBM sentiasa berharap agar setiap perancangan pihak kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan pembangunan negara berlaku secara efisien lagi inklusif.
MBM akan terus mendukung segala inisiatif yang memberi kebaikan selain menjadikan pembangunan belia dan orang muda sebagai tunjang utama pembangunan negara.-UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN