Pasaran halal bernilai AS$5 trilion tidak direbut PKS Malaysia

Pasaran halal bernilai AS$5 trilion tidak direbut PKS Malaysia

PKS yang berjaya menembusi pasaran halal global akan membawa masuk pelaburan asing, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI halal global semakin berkembang pesat dan dianggarkan bernilai AS$2.4 trilion pada tahun 2024, dengan prospek mencapai AS$5 trilion menjelang 2030.

Malaysia, sebagai peneraju dalam industri halal, memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju pasaran ini di peringkat antarabangsa.

Menurut data, jumlah pelancong Muslim dijangka mencapai 160 juta orang pada tahun 2026, dengan perbelanjaan yang dianggarkan mencecah AS$300 bilion.

Malaysia, yang secara konsisten berada di kedudukan teratas sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim, perlu memanfaatkan peluang ini untuk menarik lebih ramai pelancong Muslim dari seluruh dunia.

Namun, bagi memastikan Malaysia terus memimpin dan memanfaatkan sepenuhnya potensi ini, salah satu langkah kritikal ialah memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) didedah kepada pensijilan halal.

PKS adalah tulang belakang kepada ekonomi negara, menyumbang lebih daripada 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam ekosistem halal, PKS memainkan peranan yang sangat penting, terutamanya dalam sektor pembuatan, makanan, minuman, kosmetik, serta perkhidmatan.

Justeru itu, pendedahan PKS kepada kepentingan pensijilan halal bukan sahaja memberi manfaat kepada perniagaan mereka, tetapi juga kepada pengukuhan ekosistem halal negara secara keseluruhannya.

MANFAAT SIJIL HALAL

Salah satu manfaat utama yang diperoleh oleh PKS melalui pensijilan halal ialah akses kepada pasaran global. Negara-negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara-negara lain yang majoritinya Muslim mengutamakan produk yang mematuhi piawaian halal.

Oleh itu, PKS yang berjaya mendapatkan sijil halal mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menembusi pasaran ini. Sebagai contoh, produk makanan bersijil halal dari Malaysia telah mendapat tempat di pasaran Timur Tengah oleh pengguna di sana.

Pensijilan halal juga meningkatkan tahap kepercayaan pengguna, sama ada Muslim atau bukan Muslim. Di pasaran global, pengguna semakin menyedari pentingnya produk yang selamat dan berkualiti tinggi.
Dengan penekanan kepada aspek kebersihan dan kesucian bahan serta proses, menjadi jaminan tambahan bahawa produk tersebut dihasilkan dengan cara yang terbaik.

Ini menjadikan produk PKS lebih dipercayai dan menarik minat pengguna, terutamanya di negara-negara yang mengutamakan standard keselamatan makanan.

Dalam pasaran tempatan, pensijilan halal menjadi satu kelebihan daya saing yang penting. Pengguna Muslim semakin mengutamakan produk dan perkhidmatan yang mematuhi piawaian halal.

Oleh itu, PKS yang mempunyai pensijilan halal akan dapat memenuhi keperluan pasaran tempatan dengan lebih baik dan menarik lebih ramai pelanggan, sekali gus meningkatkan jualan dan keuntungan.

PERKASA PKS HALAL
Bagi memperkasakan PKS agar lebih terdedah kepada pensijilan halal, beberapa langkah perlu diambil oleh pihak berkuasa dan badan-badan yang berkaitan.

Pertama, kerajaan perlu menyediakan program latihan dan bimbingan yang komprehensif mengenai pensijilan halal, yang khusus ditujukan kepada PKS.

Program ini boleh dijalankan melalui agensi seperti Matrade dan SME Corp, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Halal Development Corporation (HDC).

Melalui latihan ini, PKS dapat memahami dengan lebih jelas proses pensijilan dan keperluan yang perlu dipatuhi.

Insentif kewangan seperti geran atau subsidi perlu disediakan bagi membantu PKS yang mempunyai kekangan dari segi kos, termasuk yuran audit dan kos operasi tambahan, boleh ditanggung oleh kerajaan atau melalui insentif yang diberikan kepada syarikat-syarikat kecil.

Langkah ini akan menggalakkan lebih banyak PKS untuk mendapatkan pensijilan halal tanpa terbeban dengan kos tambahan.

Kerajaan juga perlu memperkenalkan inisiatif yang memperkasakan proses pensijilan halal yang lebih ringkas, pantas, dan cekap boleh diperkenalkan melalui penggunaan teknologi digital seperti blockchain dan sistem pemantauan berasaskan internet kebendaan.

Teknologi ini bukan sahaja memudahkan proses audit dan pemantauan, tetapi juga meningkatkan ketelusan dalam rantaian bekalan halal, yang akhirnya memperkukuhkan keyakinan pengguna terhadap produk bersijil halal.

EKOSISTEM HALAL
Apabila lebih banyak PKS berjaya mendapatkan pensijilan halal, ekosistem halal negara akan turut diperkasa. Pensijilan halal tidak hanya memberi manfaat kepada pengeluar, tetapi juga kepada pengguna dan ekonomi negara secara keseluruhan.

Dengan lebih banyak produk halal yang dihasilkan oleh PKS tempatan, Malaysia dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai hab halal global.

Dalam jangka panjang, penglibatan PKS dalam ekosistem halal juga dapat meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa.

Malaysia telah lama diiktiraf sebagai peneraju dalam industri halal global, namun untuk terus kekal di hadapan, sokongan kepada PKS adalah kritikal.

PKS yang berjaya menembusi pasaran halal global akan membawa masuk pelaburan asing, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pensijilan halal juga memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan Muslim.

Dengan lebih banyak perniagaan yang mematuhi piawaian halal, termasuk sektor hospitaliti dan perkhidmatan, Malaysia boleh menarik lebih ramai pelancong Muslim yang mengutamakan persekitaran yang mematuhi syariat Islam.

Ini seterusnya akan memperluaskan lagi potensi pelancongan halal di Malaysia, meningkatkan pendapatan negara dari sektor ini.

Selain pengeluaran produk halal, Malaysia juga berpotensi menjadi hab logistik halal global.

Kedudukannya yang strategik di tengah-tengah ASEAN serta hubungan perdagangan yang kukuh dengan negara-negara Timur Tengah menjadikan Malaysia lokasi yang ideal untuk operasi pengedaran produk halal.

Namun, untuk merealisasikan potensi ini, infrastruktur logistik yang khusus untuk produk halal perlu dibangunkan dan diperkasakan.

Secara keseluruhan, pendedahan PKS kepada pensijilan halal adalah satu langkah strategik yang dapat memperkukuhkan ekosistem halal negara.

Pensijilan halal bukan sahaja memberi manfaat kepada PKS dari segi daya saing, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menyediakan sokongan, latihan, dan insentif kepada PKS untuk mendapatkan pensijilan halal.

Dengan langkah-langkah yang berkesan, Malaysia mampu mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri halal global dan memastikan ekosistem halal negara terus berkembang pesat.

Dengan kesedaran yang lebih tinggi mengenai kepentingan pensijilan halal, Malaysia berpotensi menjadi contoh dalam memajukan ekonomi halal yang inklusif, beretika dan mampan. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Md Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN