Merealisasikan agenda reformasi melalui diplomasi, ekonomi

Merealisasikan agenda reformasi melalui diplomasi, ekonomi

KUNJUNGAN Anwar Ibrahim ke Rusia bersempena persidangan Forum Ekonomi Timur (EEF) merupakan penjajaran baharu dalam hubungan diplomatik, strategik, sosio dan ekonomi yang bakal menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA berada pada situasi yang kritikal untuk merealisasikan agenda reformasi dan pembaharuan atau penjajaran semula sosioekonomi sebagaimana yang pernah diangkat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui wacana dan buku tulisan beliau bertajuk The Asian Renaissance yang diterbitkan oleh Times Book International pada 1996.

Anwar, yang melakukan kunjungan sulung ke Rusia sejak mengangkat sumpah pada 2022 membawa beberapa agenda besar untuk dibincang dan diberikan mandat oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, untuk kepentingan negara dan serantau khususnya.

Pertama, jelas sekali kunjungan ini adalah untuk melobi Rusia agar menerima Malaysia selaku anggota baharu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS). Dengan keupayaan pasaran mencecah 40 peratus dari penduduk dunia, BRICS menjanjikan kemakmuran ekonomi buat negara ini.

Pelbagai inisiatif pembaharuan ekonomi yang dirancang Anwar akan dapat disegerakan dan diperkukuhkan dengan menjadi sebahagian dari anggota BRICS. Anwar melihat kebergantungan Malaysia kepada ekonomi dan pelaburan dari Barat boleh diganggu-gugat dalam pelbagai keadaan terutamanya terkait geopolitik antarabangsa. Oleh itu, Malaysia memerlukan alternatif untuk terus kekal memacu pembaharuan ekonomi yang sedang rancak berjalan.

Malah lawatan Anwar juga disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk memastikan pelaburan yang signifikan dapat dibawa masuk ke negara ini.

Anwar juga menemui pelbagai pelabur yang berpotensi untuk membuka jalan membawa masuk pelaburan luar (FDI) ke Malaysia dalam sedikit masa lagi. Anwar tidak melihat BRICS sebagai wadah persengketaan mahupun platform mencari ‘masalah’ dengan blok Barat, tetapi beliau melihat inilah jalan yang ampuh bagi menjamin kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi yang mapan dan terarah. Hubungan dagang Malaysia-Rusia yang termeterai sejak 3 April 1967 sudah melebihi 1 trillion dolar dan dijangka akan terus meningkat hasil dari lawatan ini.

Kedua, Anwar akan memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan kuasa besar dunia yang bukan sahaja mengetuai blok Timur, malah mempunyai keupayaan nuklear dan kuasa veto. Hubungan diplomatik yang terbina sejak 1960-an disifatkan amat baik. Walaupun Rusia melalui fasa perang dingin yang panjang dengan Barat, tetapi hubungan diplomatik mereka dengan negara ini kekal utuh. Begitu juga Malaysia, walaupun tidak menyebelahi mana-mana blok, tetapi telah memainkan peranan yang cukup bijak hingga hubungan kedua negara ini berada pada tahap yang cukup baik.

Hubungan diplomatik ini dilihat cukup baik hinggakan bekas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Jaafar serta Tuanku Syed Sirajuddin, juga pernah berkunjung ke Rusia pada 1997 dan 2005. Malah Putin yang menjawat jawatan Perdana Menteri dan Presiden Rusia sejak 1999 dan 2012 sudah beberapa kali mengunjungi Malaysia. Pastinya lawatan ini tidak akan dipandang remeh oleh Amerika Syarikat (AS) dan rakan sekutunya yang melihat Malaysia semakin berani mengorak langkah memperkukuh hubungan diplomatik di sebalik pelbagai isu dan sekatan yang sedang dikenakan ke atas Rusia.

Ketiga adalah impak geopolitik. Rusia sebagai antara negara awal yang menginisiatifkan BRICS dilihat sebagai rakan strategik dan diplomatik yang amat diperlukan. Dunia sudah mula melihat AS khasnya dan Barat umumnya hanya bersifat munafik dalam mendepani pelbagai isu dan konflik dunia terutamanya berkait konflik Rusia-Ukraine dan Israel-Palestin. Rusia dilihat lebih waras dan jujur dalam menyatakan pandangan dan memperjuangkan hak rakyat yang tertindas serta cuba sebaiknya untuk mempertahankan hak asasi dan kemanusiaan yang diperkenalkan oleh Barat.

Di sebalik pelbagai sekatan dan tindakan yang dikenakan ke atas Rusia, negara tersebut tetap menjadi pilihan Malaysia begitu juga negara-negara lainnya termasuklah Indonesia, China, Brazil, Afrika Selatan, Palestin dan banyak lagi. Imej Rusia tidak terjejas malah semakin kukuh dengan idea BRICS yang sedang diperjuangkan di peringkat global.

Sikap dwistandard yang diamalkan Barat dalam menyebelahi Ukraine dan Israel jelas tidak disenangi oleh Malaysia dan negara-negara bukan Barat lainnya. Barat tidak lagi menjadi rujukan ‘moral’ dalam perjuangan kepada golongan yang tertindas dan teraniaya. Segala macam resolusi dan peruntukan yang diperkenalkan Barat dilihat hanyalah retorik semata-mata.

Malaysia dan negara lain melihat Rusia sebagai rakan yang lebih baik berbanding AS. Keadaan ini tidak pernah berlaku sejak kewujudan dunia moden pasca perang dunia kedua.

Seterusnya adalah pengukuhan hubungan teknologi, sosial dan kebudayaan antara Malaysia dan Rusia dengan penerokaan peluang pelajaran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta silang budaya. Pelajar Malaysia yang memerlukan pendedahan serta pemindahan pengetahuan dalam bidang teknologi terutamanya aeronautik dan perubatan dilihat boleh direalisasikan oleh Rusia.

Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berjaya menjadi rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas juga kerana hubungan Malaysia dan Rusia yang dilihat strategik dan jujur. Perkara yang sama gagal dilakukan oleh AS.

Dengan nilai matawang AS dan United Kingdom (UK) yang sentiasa tinggi, maka Rusia dilihat destinasi strategik untuk penambahan jumlah pelajar Malaysia yang menuntut ilmu di sana. Malah kajian oleh ahli akademik Malaysia terhadap Rusia juga boleh dipertingkatkan, begitu juga di sebaliknya.

Sektor pelancongan juga bakal diperkukuhkan dengan lawatan ini kerana kekayaan budaya, kerencaman bangsa dan keindahan geografi kedua-dua negara ini bakal menjadi tarikan utama pelancong.

Di sini jelas bahawa lawatan Anwar ke Rusia bersempena persidangan Forum Ekonomi Timur (EEF) yang dihadiri lebih 40 buah negara bukan semata-mata menghadiri persidangan ekonomi, tetapi merupakan penjajaran baharu dalam hubungan diplomatik, strategik, sosio dan ekonomi yang bakal menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi serta mempunyai keupayaan ekonomi yang hebat dalam tempoh terdekat ini.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd Mizan Mohammad Aslam adalah Profesor di Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN