KURANG tiga minggu sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, mengadap Ilahi, Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday membantai lagi DAP.
Dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu di Dewan Kampung Melayu, Kluang 13 Julai, Jais secara terbuka menyifatkan tindak tanduk DAP dalam Kerajaan Perpaduan seperti duri dalam daging. Dakwanya, kerana DAP sering melakukan desakan terhadap perkara yang mengguris hati dan perasaan orang Melayu.
Usul dibawa UMNO Bahagian Kluang dalam mesyuarat perwakilan itu jelas sekali. Iaitu mahu UMNO bergerak solo bersama komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Tiada siapa sangka termasuk Jais sendiri bahawa satu lagi pilihan raya kecil akan dilangsungkan di Kluang berikutan pemergian Allahyarham Sharifah Azizah tanggal 2 Ogos itu.
Jais bukannya ‘terlepas cakap’ pada 13 Julai itu, tetapi berterus terang lagi, menyuarakan pendirian UMNO Kluang terhadap DAP. Beliau tidak minat bekerjasama dengan DAP. Ada sejarah lampau dia bergaduh besar dengan DAP. Datanglah pilihan raya negeri (PRN), waima pilihan raya umum (PRU) sekalipun, tidak mahunya dia kerjasama UMNO-DAP.
Adakah kerana jika ada kerjasama sebegitu dengan DAP serta satu lagi komponen Pakatan Harapan (PH), Parti Amanah di DUN nanti, kurang peluangnya nanti? Wallahualam.
Jais pun pernah bertanding dalam PRU 2018 dan kalah. Dalam UMNO, siapa yang sudah bertanding dan kalah, tidak dibenarkan lagi bertanding.
Jadi, di kawasan Kluang, UMNO bahagiannya begitu kuat sentimen menolak DAP sebagai rakan politik. Apa lagi dilagukan oleh ketua bahagian sendiri.
Jais, barangkali antara kalangan ‘suara protes’ di akar umbi yang walaupun kerjasama kerajaan campuran UMNO dan PH tampak di peringkat Pusat tetapi di peringkat bawah, paluan nadanya tidak mengikut.
Ada mengatakan kalangan pemimpin peringkat Majlis Tertinggi ke atas selesa dengan manfaat ‘buah-buahan’ di Pusat. Dapat jadi pembesar, meskipun tidak ramai perwakilan parti dalam kerajaan. Begitupun ‘kegembiraan’ itu tidak dirasai oleh akar umbi UMNO.
Di peringkat negeri, dikatakan kalangan ketua bahagian tidak dapat ‘menikmati buah-buahan’ di Pusat. Tidak mendapat lantikan peringkat pusat dan syarikat milik kerajaan (GLC). Kepada akar umbi ini, hanya bila UMNO berkuasa penuh sahaja barulah dapat jadi pengerusi GLC. Apa lagi kerajaan sedia ada tidak memberi keutamaan kepada akar umbi parti. ‘Jaga peringkat atasan parti sahaja’, itu dakwaan mereka di sana.
PENOLAKAN?
Kerana itu dikatakan di peringkat akar umbi parti, ada penolakan. Ada ombak yang menolak ketika laut itu nampak tenang. Gelora itu ada – cuma menanti untuk menjadi ombak besar. Jadi, kedinamikan itu sentiasa berubah sehinggakan dikatakan calon UMNO di DUN Mahkota pun mahu ditentukan oleh ketua bahagian.
Dan apabila Presiden UMNO meletakkan kriteria calon pilihan raya parti itu mestilah calon WALI atau winnable, acceptable dan likeable, ketua bahagian sedar dia sukar masuk senarai pendek calon.
Pertama, dia bukan orang presiden. Pernah lawan presiden UMNO secara terang-terangan. Ketika krisis 2018 dahulu, sudah isytihar perang ke atas presiden berkisar pertuduhan mahkamah yang terpalit kepadanya. Isu yang ahli akar umbi tidak mahu dengar untuk dicanang.
Sedangkan untuk jadi calon mestilah orang presiden – yang mana-mana parti pun serupa prinsip sebegini. Dan tentunya faktor seterusnya, adakah dia menang bertanding? Dia kalah kepada calon Amanah pada 2018. Alasan hendak angkatnya sebagai calon – agak payah.
Maka untuk terus kekal mengemudi bahagian, apakah perlu diletak calonnya dari kalangan orang kepercayaan?
Apa pun Menteri Besar yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN untuk DUN Mahkota, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah diberi mandat oleh presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mengumumkan calon UMNO di DUN Mahkota. Berbeza dengan minat mendalam Ahmad Zahid dengan kriteria calon UMNO yang akan mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai tempoh hari, yang katanya perlu diperincikan selepas dikemukakan kepada Badan Perhubungan UMNO Pahang, kali ini untuk PRK DUN Mahkota, beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Onn Hafiz.
Adakah ini suatu cabaran kepada Onn Hafiz untuk membuktikan keupayaannya buat pertama kali memimpin kemenangan UMNO dalam pilihan raya? PRK sahaja pun, bukannya PRU.
Ya, memang mudah melontarkan apa sahaja seperti mana gesaan ‘anda perlu letak jawatan susulan prestasi buruk BN dalam PRU15’ yang hanya jeneral perang sahaja yang terpaksa menanggung beban, kekecewaan akibat dimaki, dicerca akibat kekalahan itu.
Jadi, inilah masanya untuk Onn Hafiz memastikan bahawa ‘tiada tsunami politik orang Melayu telah berlaku di DUN Mahkota, yang mana orang Melayu telah menolak UMNO yang rebah di Mahkota’.
Beliau perlu memastikan kemenangan besar UMNO dalam PRN Johor pada 13 Mac 2022 memenangi 40 daripada 56 kerusi, yang ketika itu jentera pilihan raya parti negeri dipimpin oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan jeneralnya di Pusat, Ahmad Zahid tidak dicacatkan dengan kekalahan kerusi DUN Mahkota.
DAP terluka?
Dalam pada itu, Onn Hafiz perlu meredakan gejolak jiwa DAP yang memang terluka dengan sikap UMNO bahagian Kluang. Anggap musuh ketat, tidak diplomasi terhadap DAP. Daripada keseluruhan 66,318 pengundi DUN Mahkota, 22,468 adalah pengundi Cina. Semasa PRN Johor 2022, daripada 18 pusat daerah mengundi (PDM), 10 PDM Melayu semuanya dimenangi UMNO. Tetapi semasa PRU15, banyak PDM dikuasai UMNO yang kalah. Pengundi UMNO dikatakan mencecah 8,900 orang; tentera sekitar 4,500 dan polis, 400 orang.
Sengit dari Perikatan Nasional
Sementara itu jangan dinafikan cabaran sengit Perikatan Nasional. Ada calon mereka yang boleh menarik kalangan orang muda yang mewakili 60 peratus pengundi Mahkota. Antaranya Yang Dipertua Pas Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang juga penolong setiausaha agung pas pusat, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Atau mungkin ditampilkan semula calon asalnya dari Bersatu – sama ada ketua bahagian atau timbalan ketua bahagian. Ya, DUN Mahkota kerusi Bersatu. Sama ada mahu diberikan laluan kepada Pas atau tidak kali ini?
Cumanya, Ketua bahagian Bersatu Kluang, Mohamad Nor Lingan kalah tempoh hari di tangan arwah penyandang yang menang dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166. Calon Amanah dari PH, Taqiuddin Cheman memperoleh 11,445 undi. Mohamad Nor pula sekadar memperoleh 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman, 555 undi.
Justeru, mahu diberikan laluan kepada Pas atau tidak kali ini? Untuk harmonikan PN? Dan hanya jika pengundi Melayu memberi sokongan undi antara 60 hingga 70 peratus, dikatakan boleh menanglah PN. Ini disebabkan pengundi Cina sendiri akan terbahagi dua – sama ada tidak keluar mengundi atau tidak beri undi kepada UMNO. Tidak seperti PRN, 70 peratus undi dimiliki UMNO-BN.
Protes Amanah?
Semasa PRN Johor, parti Amanah penyandangnya. UMNO letakkan arwah. PN pula tampilkan Bersatu. Di situ sahaja Melayu pecah tiga.
Untuk PRK kali ini, penentunya pengundi Melayu. Bila pecah tiga, yang anti UMNO-BN lebih ramai. Adakah pengundi Amanah tempoh hari akan pindahkan atau transfer sokongan mereka kepada UMNO? Kalau dilakukan, ini pertama kali Amanah berbuat demikian.
Sebelum ini, Amanah kawasan Kluang mengambil keputusan untuk bertanding 28 September ini di DUN Mahkota kerana tidak puas hati dengan kerjasama PH dan BN di peringkat kerajaan negeri Johor kerana tiada wakil daripada PH. Tiada wakil Amanah dan PH yang dilantik menjadi Exco Kerajaan Johor. Malah di peringkat kawasan tiada pemimpin mereka dilantik menjadi ahli majlis, ketua kampung serta ketua masyarakat.
Maka dilihat hubungan PH dan BN di Johor tidak selari dengan kerjasama seperti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat apabila semua parti komponen berkongsi kuasa dalam pentadbiran kerajaan.
Pada PRU14, calon Amanah yang menggunakan logo PKR, Muhammad Said Jonit menang kerusi DUN Mahkota dengan meraih 19,507 undi dan mendapat majoriti 1,668. Muhammad Said menewaskan Jais yang meraih 17,839 undi dan calon Pas, Hasbullah Najib pula mendapat 3,092 undi.
DAP pernah terluka dengan tindakan segelintir dalam UMNO Kluang menghalau ahli parlimen di situ ketika itu, Liew Chin Tong dari mengedarkan bubur lambuk dan kurma kepada pengunjung bazar Ramadan.
Amanah pula masih yakin jika persaingan dua atau tiga penjuru sekalipun, calon mereka pasti menang kali ini – mengambil kira peratusan keluar mengundi 28 September nanti tinggi sekitar 80 peratus berbanding PRN Johor rendah sekitar 50 peratus sahaja.
Persoalannya satu sahaja – mahukah DAP dan Amanah transfer undinya kepada UMNO kali ini?
Demikian juga, adakah pengundi UMNO akan undi juga calon UMNO? Itu jika bahagian Kluang berkenan. – Mingguan Malaysia










