Ilmuwan perlu cabar dasar, polisi negara

Ilmuwan perlu cabar dasar, polisi negara

PENDIRIAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan kerajaannya bersedia untuk menerima kritikan dan mencabar status quo demi kebaikan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 25 September lalu, buat julung-julung kalinya telah berlangsung Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertajuk Peralihan Tenaga untuk Kesejahteraan Masa Depan Negara di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Forum ini menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai panelis utama selain Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Pengerusi TNB, Tan Sri Razak Abdul Majid, serta Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.

Diilhamkan oleh Perdana Menteri sendiri, FIM merupakan sebuah platform dialog intelektual penting yang telah menghimpunkan para ilmuan, tokoh industri dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk membincangkan isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini untuk membantu kepimpinan negara merangka dasar serta polisi masa hadapan.

Forum ini membuka ruang kepada peserta untuk berinteraksi dan mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri berkaitan isu-isu semasa dan dasar-dasar kerajaan. Ia juga bukan sahaja menyentuh topik ekonomi dan teknologi, tetapi juga persoalan tentang tatakelola, pembangunan industri dan masa depan Malaysia.

Untuk sesi yang pertama, FIM telah memperkatakan mengenai topik peralihan tenaga negara di mana Pengerusi TNB menerangkan peranan serta hala tuju peralihan tenaga negara, Menteri Pendidikan Tinggi berkongsi peranan sektor pendidikan tinggi dalam menyokong peralihan tenaga manakala Pengarah MINDA-UKM turut berkongsi berkenaan cabaran ekonomi negara.

Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri menyebut bahawa penganjuran FIM penting untuk melontarkan idea kepada kerajaan dalam pelbagai sektor. Beliau berharap FIM dapat diadakan secara bulanan dengan setiap siri akan dihoskan oleh syarikat berkepentingan kerajaan (GLC).

Selepas sesi pembentangan, ada sesi soal jawab antara para peserta dan panelis. Antara yang bertanya ialah Datuk Amir Mydin yang tentang halangan penggunaan sepenuhnya bumbung bangunan untuk pemasangan panel solar di premisnya. Beliau berharap dasar berkaitan boleh diubah agar sektor swasta dapat membuat keputusan sendiri dalam hal ini.

Dalam jawapan spontan beliau, Perdana Menteri mengakui pentingnya memberikan kelonggaran kepada sektor swasta untuk memanfaatkan teknologi tenaga solar sepenuhnya, dengan mengambil kira risiko yang mungkin dihadapi. Beliau berjanji untuk meneliti perkara ini melalui Suruhanjaya Tenaga.

Suflan dari UKM seterusnya menyuarakan kebimbangan tentang kesan peralihan teknologi terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta kebergantungan ekonomi negara terhadap sektor ini.

Perdana Menteri bersetuju PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, dan kebergantungan terhadap sektor ini adalah besar. Oleh itu, beliau bersetuju mengenai perlu ada pendekatan khusus untuk transisi teknologi PKS.

Perdana Menteri juga menegaskan kepentingan tatakelola yang baik dalam memerintah negara. Beliau menyatakan bahawa hutang negara sebanyak RM56 bilion hanya untuk pembayaran bunga, menunjukkan betapa seriusnya keadaan kewangan negara akibat pembaziran dan kebocoran kewangan masa lalu.

Perdana Menteri menegaskan beliau bertekad untuk mengatasi isu ini dengan memastikan tender dan pengurusan kewangan dilakukan dengan telus. Beliau juga menekankan bahawa kerosakan tatakelola perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum pembangunan ekonomi yang lebih kukuh dapat dicapai.

Perdana Menteri menyebut, seperti mana Dr. Burhanuddin al-Helmy menegaskan bahawa “Di atas robohan Kota Melaka, Kita dirikan jiwa merdeka”, maka begitulah Malaysia akan dibangunkan semula berdasarkan prinsip tatakelola yang baik.

Kepada soalan Haslinda dari UPM, Perdana Menteri menegaskan bahawa dari segi dasar memang ada penekanan dalam bidang teknologi, sains, kecerdasan buatan (AI), digital, termasuk tenaga, tetapi tidak pernah ada keputusan untuk meremehkan apa lagi menjumudkan bidang sains sosial.

Kepada soalan Abdul Rahman dari TNB yang bertanya tentang sinergi antara universiti tempatan dan industri teknologi, Perdana Menteri menyatakan bahawa terdapat kerjasama yang kukuh antara universiti seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan industri besar. Beliau juga menekankan bahawa universiti bukan sahaja harus memenuhi keperluan industri tetapi juga memastikan bahawa nilai-nilai pendidikan yang lebih tinggi, seperti penyebaran ilmu dan kebenaran, tetap dipelihara.

Ringkasnya, FIM memberikan peluang yang berharga untuk para ilmuwan, ahli industri dan penjawat awam untuk berinteraksi secara langsung dengan Perdana Menteri. Sikap keterbukaan beliau dalam mendengar dan menjawab soalan-soalan dengan mendalam menunjukkan komitmen terhadap tatakelola yang telus dan kejujuran intelektual.

Perdana Menteri sendiri berkata, apa yang dilontarkan dalam FIM akan dibawa untuk menambahbaik kerajaan dan sektor ekonomi negara kerana, selepas hampir dua tahun dalam kerajaan, beliau tidak pernah mewakili pandangan bahawa pimpinan negara mempunyai semua jawapan.
“Kita (kerajaan) harus dicabar oleh sarjana (pemikir) apakah dasar (yang dibawa kerajaan) tepat, berada di landasan atau pun kita perlu mencedok pengalaman atau idea baharu untuk diperbaiki,” ujar Perdana Menteri.

Pendirian ini mencerminkan kepimpinan yang bersedia untuk menerima kritikan dan mencabar status quo demi kebaikan negara. Melalui forum seperti ini, jelas bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah pembangunan yang berasaskan ilmu pengetahuan, tatakelola yang baik dan kesejahteraan rakyat yang menyeluruh.

Dampaknya terhadap hala tuju pembangunan negara adalah positif kerana ia menggalakkan perbincangan yang sihat dan penglibatan pelbagai pihak dalam menentukan masa depan Malaysia. Pendekatan berasaskan dialog dan keupayaan kerajaan mendengar pandangan rakyat memperkukuhkan lagi semangat demokrasi dan kebertanggungjawaban. – UTUSAN

DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh adalah Profesor Emeritus dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN