Beri laluan kepada kepimpinan baharu

Beri laluan kepada kepimpinan baharu

PKR memerlukan kepimpinan baru untuk meneruskan kelangsungan parti dalam era yang mencabar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANAN Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat dinafikan. Beliau adalah salah seorang tokoh penting kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutamanya sepanjang 25 tahun usia parti tersebut. 

Hubungan ini telah terbina atas asas kesetiaan yang teguh dan ketekunan dalam memperjuangkan visi bersama untuk Malaysia yang lebih adil dan saksama. Anwar dan Saifuddin sering kali berbincang mengenai hala tuju parti, strategi yang akan diambil, dan langkah-langkah yang perlu diusahakan demi mencapai matlamat perjuangan bersama.

Momen susah dan momen senang dalam perjuangan PKR menjadi bukti betapa Anwar mampu mempertaruhkan pengalaman, kemahiran, kesungguhan dan kesetiaan Saifuddin.

Keakraban ini menjadikan Saifuddin sebagai individu yang sangat dipercayai oleh Anwar dalam menentukan langkah PKR dan PH. Perbincangan berterusan antara keduanya mengenai PKR, PH, dan kerajaan perpaduan adalah rutin yang menjadi tunjang kepada kelangsungan PKR sebagai sebuah parti politik yang relevan dan PH sebagai koalisi yang kuat. 

Selama 25 tahun, Saifuddin telah memainkan peranan penting dalam membantu Anwar dan PKR melalui detik-detik sukar dan gembira, membuktikan betapa pentingnya pengalaman, kemahiran, kesungguhan, dan kesetiaannya.

Setelah memegang jawatan setiausaha agung selama lebih separuh umur PKR, keputusan Saifuddin untuk melepaskan jawatan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan malah boleh difahami kerana PKR memerlukan kepimpinan baharu untuk meneruskan kelangsungan parti dalam era yang mencabar. 

Rekod Saifuddin sepanjang 14 tahun menjawat jawatan tersebut jelas menunjukkan sumbangannya yang besar. PKR kini boleh dikatakan sebagai salah sebuah parti politik yang paling stabil di Malaysia dengan keanggotaan melebihi 1.2 juta ahli, menjadikannya setanding dengan parti-parti besar lain yang mempunyai lebih sejuta ahli seperti UMNO dan Pas. Lebih membanggakan ialah UMNO ditubuhkan pada 1946 manakala Pas pada 1951 tetapi PKR hanya pada 1999.

PKR juga telah berjaya menubuhkan cawangan di semua 222 kawasan Parlimen di Malaysia, satu pencapaian luar biasa yang belum dapat disaingi oleh mana-mana parti lain. Ini semua terhasil dalam tempoh 14 tahun Saifuddin menjadi setiausaha agung selain jawatan lain dalam parti seperti ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Timbalan Ketua Pemuda (sewaktu Datuk Ezam Mohd Noor berada dalam penjara), Naib Presiden, dan Pengarah Strategik Parti.

Dari sudut prestasi dalam pilihan raya umum (PRU), PKR juga tidak pernah mengecewakan. Bermula dengan PRU 10 pada 29 November 1999, PKR berjaya memenangi lima kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Sejak itu, prestasi PKR terus meningkat dan pada PRU 12 di tahun 2008 hingga PRU 15 di tahun 2022, PKR tidak pernah gagal memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen. 

Ini menjadikan PKR sebagai komponen terpenting dalam PH, yang jumlah kerusinya tidak pernah kurang dari 80 kerusi Parlimen sejak tahun 2008 hingga 2022. Kejayaan ini membuktikan bahawa PH merupakan sebuah koalisi yang cukup signifikan dalam politik tanah air.

Di sebalik latar belakang ini, Saifuddin membuat keputusan untuk melepaskan jawatan setiausaha agung dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas sebagai setiausaha agung PH. Dalam keadaan Senator Fuziah Salleh boleh meneruskan pentadbiran parti yang telah diletakkan asas kukuh oleh Saifuddin, tanggungjawab mentadbir PH kini menjadi fokus utama Saifuddin sendiri. 

Fuziah, yang menggantikan Saifuddin sebagai setiausaha agung PKR, dijangka mampu meneruskan pentadbiran parti dengan asas kukuh yang telah diletakkan oleh Saifuddin. Peranan Saifuddin sebagai setiausaha agung PH menjadi semakin penting kerana PH kini menyumbang secara langsung kepada kekuatan kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Anwar. 

Saifuddin membawa sama skil politik diplomasi yang memudahkan beliau berurusan dengan parti-parti lain dalam PH seperti DAP, Amanah, dan UPKO. 

Kemahiran serupa juga amat diperlukan oleh Anwar dari Saifuddin dalam mengukuhkan hubungan antara PH dan komponen kerajaan perpaduan seperti UMNO dan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta wakil rakyat lain. 

Amat mudah difahami mengapa Anwar mengekalkan Saifuddin sebagai setiausaha agung PH dan wakil PKR dalam Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan. Keupayaannya untuk memahami dan menguruskan pelbagai cabaran politik telah membantu memastikan kestabilan kerajaan yang sedang memerintah.

Keupayaannya untuk memahami dan menguruskan pelbagai cabaran politik telah membantu memastikan kestabilan kerajaan yang sedang memerintah.

Selain daripada tugas politik, Saifuddin terus diberikan kepercayaan oleh Anwar untuk memegang jawatan penting sebagai Menteri Dalam Negeri. Beberapa agenda utama kerajaan perpaduan jelas memerlukan kepimpinan Saifuddin. 

Antara agenda-agenda ini termasuklah pindaan perlembagaan mengenai kewarganegaraan, pembentukan agensi baharu untuk kawalan sempadan, pengurusan pekerja asing, peningkatan perkhidmatan imigresen, serta kebajikan anggota polis.

Antara keutamaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Saifuddin adalah pengukuhan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), usaha mengurangkan kesesakan penjara, serta pelaksanaan akta penagih dadah yang berasaskan rawatan dan pemulihan. 

Kesemua agenda ini menunjukkan betapa pentingnya Saifuddin dalam memacu agenda kerajaan perpaduan dan memastikan bahawa kementerian yang dipimpinnya bergerak ke arah yang tepat.

Keputusan Saifuddin untuk melepaskan jawatan setiausaha agung PKR dan memberi tumpuan kepada setiausaha agung PH adalah langkah strategik yang mampu memperkukuhkan lagi koalisi tersebut.

DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN