Bahasa Melayu asing bagi etnik Cina?

Bahasa Melayu asing bagi etnik Cina?

Sesungguhnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, tidak boleh sesekali dipelajari oleh warganegaranya sendiri sebagai bahasa asing secara bahasa kedua sahaja. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUJAH sekumpulan etnik Cina untuk menolak saranan penyelarasan sukatan pelajaran bahasa Melayu di sekolah rendah bukan sahaja tidak nasional sifatnya.
Ini kerana ia memperlihat betapa buta hatinya mereka ini setelah sekian lama menetap di sini, masih tidak memahami, apatah lagi menghayati nasionalisme Malaysia. Sehubungan ini, jati diri Malaysia mereka ini bukan sahaja didapati amat kurang. Malah tiada langsung sehingga boleh dipersoal nasionaliti Malaysia pada diri mereka ini.

Juga subversif dalam erti kata hujah itu boleh melemah dan akhirnya merosakkan sistem pendidikan negara serta ranah kenegaraan lain yang membabitkan bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu selaku bahasa negara tidak pun mahu diiktiraf, sama ada sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi. Ini dapat dilihat apabila bahasa Melayu diakui sebagai bahasa yang asing kepada etnik Cina, walaupun telah diangkat sebagai bahasa negara semenjak kemerdekaan dahulu lagi oleh etnik Cina sendiri bersama-sama yang lain.

Oleh sebab asing, etnik Cina tidak mahu bahasa Melayu diajar kepada dan dipelajari oleh mereka dalam bentuk lebih sempurna seperti yang ingin digubal pada saranan penyelarasan itu. Dalam pada ini, bahasa Melayu mahu hanya diketahui pada tahap rendah sahaja oleh etnik Cina.

Ini diakui melalui hujah bahawa bahasa Melayu bukan bahasa ibunda etnik Cina. Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah diketahui oleh etnik Cina sebagai bahasa kedua sahaja, iaitu hanya mustahak setelah dibereskan kepentingan bahasa Mandarin terlebih dahulu sebagai bahasa pertama.

Hujah sebegini bukan sahaja memperlihat peri jahilnya etnik Cina tentang keberadaan mereka di bumi Melayu yang didatangi mereka sendiri. Ia juga biadap kerana bersifat cauvinis sekali dengan terus mahu mengagungkan bahasa Mandarin secara totok pula biarpun bukan di tanah watannya.

Sesungguhnya bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara dengan berperanan sekali gus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, tidak boleh sesekali dipelajari oleh warganegaranya sendiri sebagai bahasa asing secara bahasa kedua sahaja. Dengan kata lain, sebagai bahasa yang tidak pun diketahui dengan baik, malah yang tidak dikenali langsung oleh etnik Cina. Ini kerana persekitaran bahasa Melayu sangat agam di seluruh negara.

Sehubungan ini, ia digunakan secara meluas dalam semua ranah kenegaraan dalam pelbagai ragam, termasuk yang baku mahupun sebaliknya. Dengan ini, bahasa Melayu sepatutnya diketahui dengan baik, malah dikuasai pada tahap tinggi oleh setiap warganegara di segenap pelosok tanah air. Malangnya, ia masih merupakan bahasa yang asing di tanah watannya sendiri kepada warganegaranya sendiri, khususnya yang dari kelompok bukan asal.

Hal begini bukan sahaja amat pelik. Ini kerana tidak ada mana-mana tempat lain di muka bumi ini yang berhadapan dengan keadaan kebahasaan sejelik ini, lebih-lebih lagi setelah sekian lama tertubuhnya negara dan bermulanya proses negara bangsa. Sehubungan ini, tidak ada mana-mana bahasa negara lain di dunia dikesampingkan oleh warganegaranya sendiri, seperti yang berlaku kepada bahasa Melayu di Malaysia.

Ia juga sangat salah apabila etnik Cina sebagai warganegara mahu mempelajari bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara hanya secara bahasa kedua, iaitu dalam pengertian ia asing kepada etnik Cina sebelum diajarkannya. Dalam hal ini, tidak keterlaluan jika dikatakan cara berfikir sebegini tidak jauh daripada mentaliti pendatang. Dengan kata lain, etnik Cina kini bukan sahaja masih berkelakuan seperti orang luar dari negara asing, juga masih terikat kuat dengan negara lain yang merupakan tanah asal mereka.

Setelah hampir tujuh dasawarsa menetap di sini, etnik Cina sepatutnya tidak lagi terikat dengan begitu kuat kepada nasionalisme etnik Cina yang totok. Sebaliknya nasionalisme Malaysia yang bertunjang Melayu-Islam wajar didakapi mereka. Namun ia tidak berlaku. Dalam hal ini, gejala terlalu taksub kepada warisan sendiri sahaja harus ditangani sebelum nasi menjadi bubur.

Berkenaan isu penyelarasan ini, harus diingatkan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina adalah institusi pendidikan kerajaan. Oleh itu, ia tertakluk sepenuhnya kepada Dasar Bahasa Kebangsaan, baik pada Akta Bahasa Kebangsan 1963/1967 atau Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ini, etnik Cina tidak boleh sesekali menolak saranan penyelarasan sukatan pelajaran atas apa-apa jua alasan.

Saranan itu sebenarnya ingin memastikan pendidikan bahasa Melayu berada dalam bentuk yang lebih sempurna, iaitu sejajar dengan tarafnya sebagai bahasa negara. Ini kerana dalam apa-apa jua konteks kenegaraan, bahasa

Melayu adalah identiti nasional bagi negara ini dan identiti budaya bagi warganegaranya. Oleh itu, ia tidak boleh hanya diketahui pada tahap rendah menerusi sukatan pelajaran yang berlainan untuk jenis persekolahan tertentu.

Sebaliknya, ia harus dikuasai pada tahap tinggi melalui sukatan pelajaran yang sama untuk semua jenis persekolahan. Sebenarnya, dengan adanya penyelarasan ini, bahasa Melayu selaku bahasa negara bukan sahaja akan diketahui oleh semua warganegara pada kadar sama. Juga akan dikuasai pada tahap sama. Semua ini tidak dapat dinafikan adalah sangat baik untuk proses pembentukan negara bangsa yang didapati masih belum betul-betul berjaya itu.

Penyelarasan ini juga akan melahirkan warganegara dari etnik Cina yang bukan sahaja cekap berbahasa Melayu. Juga yang berjiwa Malaysia dengan jati diri kebangsaan yang serlah menonjol selain yang jujur lagi ikhlas. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN