PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2024 yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat dan kemeriahan.
Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencerminkan komitmen dan kesungguhan parti dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Beliau dengan tegas menekankan bahawa UMNO terus kekal sebagai kekuatan dominan dalam landskap politik negara, meskipun kini berada dalam Kerajaan Perpaduan. Dominasi ini, katanya, dapat dilihat melalui beberapa syarat yang telah disepakati dalam perjanjian pembentukan kerajaan serta pelaksanaan dasar awam yang inklusif dan berkesan.
Zahid juga menggariskan langkah-langkah strategik untuk memastikan UMNO terus menjadi teras politik negara. Pertama, UMNO harus terus mendominasi dari segi bilangan kerusi Parlimen. Kedua, UMNO perlu dominan dalam proses perundingan politik, terutama jika situasi memerlukan perkongsian kuasa. Ketiga, UMNO mesti kekal sebagai benteng ideologi yang mempertahankan keindukan Islam dan Melayu Bumiputera. Keempat, UMNO harus terus menawarkan dasar-dasar awam yang menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Satu lagi perkara penting dalam ucapan dasar Zahid adalah pengenalan tiga rukun politik yang relevan dalam menghadapi dinamika dan realiti politik tanah air. Pertama, menetapkan sasaran penguasaan kerusi Parlimen untuk memastikan UMNO terus membentuk kerajaan. Kedua, membuka pintu kerjasama dengan jajaran politik yang menerima keindukan Islam dan Melayu sebagai teras negara. Ketiga, mempromosikan politik sederhana yang mampu memelihara kestabilan negara melalui pendekatan kesepakatan dan jalan tengah.
Dalam ucapan penggulungannya pula, Zahid menyeru seluruh ahli UMNO untuk memperkukuh parti di setiap peringkat. Beliau menekankan kepentingan adaptasi terhadap teknologi komunikasi politik moden, khususnya dalam mendekati pengundi muda.
Selain itu, Zahid mengingatkan agar setiap satu daripada 13 portfolio yang dipegang oleh menteri dan timbalan menteri UMNO diselaraskan dengan agenda parti sebagai dasar dalam kerajaan, tanpa mengenepikan kepentingan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Momentum emosi mencapai kemuncak apabila Zahid mempersembahkan sebuah puisi khas buat bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Detik ini mencetuskan rasa terharu dalam kalangan para perwakilan yang mengenang jasa dan pengorbanan Najib dalam menerajui parti dan negara.
Apa yang lebih penting, PAU 2024 ini bukan sekadar retorik kosong tetapi disertai dengan langkah-langkah konkrit. Antaranya adalah kelulusan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Prestasi Wakil Rakyat oleh Persidangan Pemuda UMNO. Jawatankuasa ini akan memastikan setiap wakil rakyat Pemuda UMNO memenuhi Key Performance Indicator (KPI) yang ditetapkan, di mana kegagalan untuk mencapai KPI akan mengakibatkan mereka tidak dicalonkan semula pada pilihan raya akan datang.
Seperti mana yang dijelaskan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, jawatankuasa ini telah dipersetujui oleh Zahid untuk diperbesarkan lagi ke peringkat UMNO induk dengan kerjasama antara Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Selain itu, Pemuda UMNO juga bersetuju menggerakkan jawatankuasa di kawasan Felda bagi menangani isu-isu yang dihadapi oleh generasi kedua dan ketiga Felda seperti perumahan, tanah, ekonomi dan peluang pekerjaan. Konvensyen Pemuda UMNO Felda dijangka berlangsung dalam tempoh enam bulan sebagai sebahagian daripada usaha ini.
Inisiatif inovatif turut diperkenalkan termasuk aplikasi telefon pintar yang dinamakan ‘Hey Pemuda’ yang membolehkan orang ramai membuat aduan berkaitan masalah setempat, dengan barisan Pemuda UMNO siap sedia untuk membantu menyelesaikannya.
Ini adalah tambahan kepada usaha-usaha terdahulu seperti Tabung Pendidikan Melayu yang dilancarkan oleh Zahid pada 7 Jun 2023 bertujuan membantu pelajar yang memerlukan untuk melanjutkan pelajaran. PAU 2024 menyaksikan sumbangan dana kepada pelajar di 191 bahagian UMNO seluruh negara, membabitkan jumlah RM5,000 setiap bahagian oleh Pengerusi Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.
Membantu menjadikan PAU 2024 lebih bertenaga ialah kemenangan besar calon UMNO, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang telah saya jangkakan dengan tepat sebelum ini kerana strategi dan pendekatan bijak UMNO kali ini.
Kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN telah menyebabkan Pas dan Bersatu hilang arah, dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengeluarkan kenyataan sehari sebelum PAU 2024 berlangsung menuduh UMNO menggunakan dasar Dajjal yang sesat dengan tenaga perasuah dan penerima rasuah untuk menang dalam PRK Nenggiri itu.
Melabelkan UMNO menggunakan prinsip dan konsep kebendaan sebagai senjata dengan cara yang lebih daripada Dajjal dan mendakwa UMNO lebih Dajjal daripada Dajjal serta membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya menyokongnya adalah satu tindakan amat tidak bertanggungjawab. Sepatutnya Hadi bersikap matang dan mengambil iktibar dari kekalahan, bukan membuat label yang boleh meningkatkan api permusuhan dalam kalangan rakyat.
Saya bersetuju dengan ucapan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, yang meluahkan kekesalan beliau dengan tindakan tidak mahu berlawan menggunakan idea sebaliknya memainkan sentimen label-melabel kerana ini bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang untuk menimbulkan persepsi yang jelas sengaja ditimbulkan tanpa bukti.
Secara keseluruhan, PAU 2024 telah menyediakan hala tuju yang jelas dan konkrit untuk ahli UMNO dalam memperkukuh kekuatan parti. Ini jauh berbeza dengan Pas yang lebih cenderung menyalahkan pihak lain tanpa memperbaiki kelemahan diri apabila kalah. Dengan terus mengamalkan pendekatan begini percayalah Pas dan PN tidak akan ke mana. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Rusdi Omar ialah penganalisis sosio-politik Malaysia.










