Kisah di sebalik lagu Rasa Sayang

Kisah di sebalik lagu Rasa Sayang

DALAM Program Temu Anwar Jakarta, pada 5 September 2023, Perdana Menteri mengesahkan lagu Rasa Sayang adalah milik Indonesia tetapi dianggap milik bersama budaya Melayu rantau ini. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAGU Rasa Sayang sudah sebati dengan penduduk pelbagai kaum di Malaysia. Biasanya, kanak-kanak diperkenalkan dengan lagu ini dan pantun tradisional yang dinyanyikan di sekolah rendah.

Lagu Rasa Sayang terdapat dalam filem Five Faces (1938), Marai No Tora (1943), Matahari (1958), Antara Dua Darjat (1960), Singapore (1960) dan Nasib Si Labu Labi (1963).

Ada juga filem berjudul Rasa Sayang Eh (1959) dan cerpen saya bertajuk Rasa Sayang, Eh! (Dewan Siswa, Mei 2004) pula menceritakan bagaimana sekumpulan pelajar kolej swasta mula mencintai bahasa kebangsaan menerusi nyanyian lagu itu.

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) memulakan program penghayatan bahasa dan sastera kebangsaan di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah kebangsaan (SK) pada 2004. Program sama turut dikendalikan di sekolah menengah dan kolej swasta.

Lagu Rasa Sayang ternyata sentiasa menarik minat peserta untuk menyanyi dengan gembira. Suasana menjadi lebih ceria apabila aspek didik hibur (edutainment) diselitkan secara bijak.

Semasa program Kavyan, peserta diminta menyanyi sambil tersenyum gembira. Mereka juga perlu bertepuk mengikut irama serta melenggok-lenggokkan badan dan kepala. Aksi ini secara langsung membantu mengurangkan tekanan dan kesedihan dalam jiwa.

Selama dua dekad mempromosi lagu Rasa Sayang dan pantun kepada generasi muda, saya sering juga ditanya tentang asal usul dan makna lirik lagu berkenaan. Topik ini sebenarnya menarik untuk diteroka.

Malah, maklumat tambahan berbentuk trivia seperti ini pasti membantu generasi muda lebih mengenali, menghayati dan menghargai lagu tradisional.

Sesungguhnya, amat sukar untuk menentukan asal usul lagu ini secara tepat.

Malah, sehingga kini masih menjadi pertikaian antara Malaysia dan Indonesia.

Saya masih ingat bagaimana pada Oktober 2007, Kementerian Pelancongan menggunakan lagu Rasa Sayang sebagai warisan negara untuk mempromosi kempen Malaysia, Truly Asia.

Serta-merta muncul kritikan dan bantahan daripada penduduk Indonesia yang menuduh Malaysia mencuri tradisi dan warisan mereka. Dibahaskan bahawa lagu itu asalnya bertajuk Rasa Sayange dan lirik ditulis Paulus Pea, seorang guru di Ambon, Maluku.

Ejaan Sayange dalam bahasa Melayu Maluku mungkin boleh menjelaskan mengapa versi di Malaysia ditambah ‘hey’ selepas ‘Sayang’. Namun begitu, tradisi berpantun lebih dekat dengan orang Melayu, Chetti Melaka dan Baba Nyonya semasa penjajahan Portugis dan Belanda, berbanding di Maluku, Indonesia.

Semasa kontroversi pada 2007, Menteri Pelancongan ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim menegaskan, pihak Indonesia tidak ada sebarang bukti untuk menuntut lagu Rasa Sayang sebagai milik mereka.

Tercabar oleh kata-kata itu, pakar seni, budaya, sejarah dan warisan di Indonesia mula mencari bukti untuk mengukuhkan tuntutan mereka. Maka, ditemui salinan filem dokumentari bahasa Belanda bertajuk Insulide zooals het leeft en werkt yang mendokumentasi kehidupan warga kerja di Batavia (Jakarta) sekitar 1927 hinggga 1940.

Lagu Rasa Sayange digunakan sebagai muzik latar dalam dokumentari itu, selain muncul dalam filem Darah dan Doa (1950) dan Lewat Djam Malam (1954).

Lagu berkenaan turut dirakam dalam bentuk piring hitam bersama beberapa lagu lain dan diberi sebagai cenderamata kepada atlet Sukan Asia di Jakarta pada 1962.

Pada masa sama, lagu Rasa Sayang juga sudah sedia popular dan sebati dengan penduduk Malaya (Tanah Melayu) sejak dahulu. Misalnya, filem dokumentari Five Faces (1938) menggunakan lagu itu sebagai lagu latar.

Jadual siaran stesen radio yang diterbitkan di akhbar Penang Gazette and Straits Chronicle (31 Julai 1939) menyenaraikan Rasa Sayang sebagai salah satu lagu keroncong dan rumba yang dimainkan Radio Pulau Pinang.

Sementara itu, kontroversi pada 2007 yang mendapat liputan media antarabangsa turut menyebabkan hampir 1,000 orang Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta pada November 2007.

Akhirnya, selepas bukti berkaitan asal usul lagu Rasa Sayange dikemukakan, agensi berita rasmi Indonesia, Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional Antara (Antara) pada 11 November 2007 memetik pengakuan Rais bahawa sesungguhnya lagu itu milik bersama Malaysia dan Indonesia.

Namun begitu, bak kata pepatah ‘rumah siap pahat berbunyi’, kontroversi timbul semula apabila lagu Rasa Sayang dipersembahkan pada pembukaan Sukan SEA di Kuala Lumpur pada Ogos 2017.

Memburukkan lagi keadaan ialah insiden bendera Indonesia dicetak terbalik pada buku cenderamata upacara itu.

MUKTAMAD
Seterusnya, dalam wawancara khas CNN Indonesia (14 Januari 2023), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menyentuh tentang kontroversi yang berlaku pada 2007.

“Dahulu ada menteri hebahkan lagu Rasa Sayange itu lagu Malaysia. Apa jawapan saya? Saya kata, bukan semua menteri Malaysia itu orang yang pintar,” katanya sambil menambah, sebarang tuntutan seperti itu melanggar fakta dan menunjukkan kejahilan seseorang.

Semasa lawatan Anwar ke Jakarta sempena Sidang Kemuncak ASEAN (5 hingga 7 September 2023), turut diatur program khas, Temu Anwar yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen dan media sosial kedua-dua negara.

Apabila ditanya tentang hubungan Malaysia-Indonesia, Perdana Menteri sekali lagi menyentuh perihal kontroversi lagu Rasa Sayang pada 2007.

“Konflik itu timbul dari tokoh-tokoh politik picisan yang lemah akal. Ada yang bicara (kata), lagu itu asalnya dari Malaysia. Itu Google sahaja kita boleh tahu sejarahnya. Kita tahu asalnya dari Indonesia tetapi kita anggap ia milik bersama budaya Melayu rantau ini,” tegasnya.

Ternyata ada pelbagai kisah berbaur kontroversi yang boleh mencetuskan konflik antara dua negara di sebalik lagu Rasa Sayang. Namun, biarlah anak-anak menyanyikannya dengan penuh kasih sayang demi perpaduan dan kesejahteraan.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×