LAZIMNYA, apabila berbicara tentang Orang Asli, kita sering melihat mereka sebagai golongan terpinggir yang kurang maju dan terkebelakang berbanding golongan lain. Ramai beranggapan kerana mereka terpisah daripada kota dan tidak kuasai sains teknologi moden, maka golongan ini yang perlu belajar daripada warga kota.
Saya sendiri pernah mempunyai tanggapan sedemikian, namun setelah pergi ke kampung Orang Asli, banyak yang saya pelajari daripada masyarakat mereka.
Oleh itulah sepanjang beberapa bulan yang lalu, saya bersama-sama pihak universiti bertungkus-lumus membuat persediaan bagi menganjurkan World’s Indigenous Peoples Showscase: Demonstrating Multiculturalism (WISDOM), sebuah siri program yang bermula pada 23 Julai hingga 2 November.
Program ini bertujuan mengarusperdanakan ilmu pengetahuan Orang Asli sedunia untuk pemakaian semua.
Acara tersebut dilancarkan secara bersama oleh Presiden dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Samsudin Osman dan Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pada 23 Julai baru-baru ini.
Pada hari berikutnya, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM berkenan mencemar duli berangkat ke universiti ini untuk sebuah majlis, termasuklah melawat reruai pameran yang diadakan.
Kebetulan pula, salah satu reruai tersebut dipasang oleh Pusat Sejahtera untuk Kemampanan dan Kemanusiaan UIAM. Saya amat berbesar hati kerana ditugaskan untuk memberi penerangan kepada Tunku Azizah tentang program WISDOM serta usaha-usaha untuk memperkasakan Orang Asli.
Amat jelas sikap prihatin dan sayang Baginda akan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa keturunan. Malah, sebelum meninggalkan reruai kami, Baginda bertitah, lebih suka menggunakan istilah ‘orang kita’ berbanding ‘Orang Asli.’
Perkara ini membuat saya terfikir semula, mungkin tanggapan bahawa mereka sebagai golongan terasinglah yang menyebabkan kita memandang rendah akan keupayaan mereka. Jarang sekali kita mengetahui ilmu dan pengetahuan mereka kerana merasakan ia tidak relevan. Walhal, begitu banyak khazanah mereka dalam bidang seperti perhutanan yang sepatutnya kita manfaatkan.
Ramai memandang rendah akan kebolehan Orang-orang Asli dan menganggap mereka kurang berpengetahuan berbanding warga kota yang lebih ke hadapan dari segi kemajuan di bidang sains dan teknologi moden. Jarang sekali kita memandang tinggi akan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan yang tidak berorientasikan sains ini. Sesungguhnya, persepsi ini langsung tak berasas lagi tidak benar.

Kita semua hidup dalam dunia yang berbeza, dengan cara hidup dan kepentingan berlainan. Kita di kota lebih cenderung mengejar kejayaan secara individu sedangkan Orang Asli mempunyai semangat kesemasyarakatan yang kukuh.
Menarik sekali, pada kala kita terlalu sibuk mengejar merit dan angka seperti tempat teratas dalam tangga kedudukan atau hasil pendapatan terbanyak, falsafah Orang Asli pula lebih banyak berkitar sekitar konsep mutu dan pembangunan diri. Hal ini semakin kurang diberi perhatian dan penekanan dalam kalangan orang awam saat kini.
Sebaliknya, kita melihat dunia sebagai satu pertandingan di antara individu-individu berlainan. Ada yang sanggup berbuat sahaja demi memperoleh nama besar atau harta banyak.
Kini kita sedang menyaksikan Sukan Olimpik 2024 yang begitu besar di mata dunia. Walaupun baru bermula minggu lalu, sudah kedengaran kes penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan ahli sukan yang bertanding. Tanpa mengambil kira prinsip moral, mereka rela berbuat apa-apa sahaja asalkan dapat memperoleh sekeping pingat emas.
Ini juga dapat dilihat dalam bidang pendidikan dan penyelidikan, seperti apa yang dibongkarkan oleh pasukan penyelidik di salah satu institut Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU). Menurutnya, sebahagian besar syarikat ternama sedunia yang melakukan penarafan universiti tidak bersikap telus dan melibatkan bayaran untuk mendapat kedudukan penarafan tinggi.
Akhirnya, mutu universiti tidak lagi memberi makna memandangkan kedudukan tersebut diberi kepada siapa yang rela mengeluarkan belanja yang paling besar bagi tujuan itu. Hal ini pernah menjadi tajuk perdebatan hangat di tanah air, akhir tahun lepas hingga Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan Tinggi, pernah sama menyanggah hal ini kerana begitu teruk merosakkan alam pendidikan kita.
Kira-kira pada masa ini jugalah saya kali pertama mengikuti projek santun masyarakat di perkampungan Orang Asli. Apabila memasuki pedalaman kampung dan bercakap-cakap sesama mereka, kita dapat melihat bahawa mereka kurang peduli tentang menjadi nombor satu antara satu sama lain, tetapi sebaliknya saling membantu masing-masing untuk sama gerak ke depan.
Saya juga tertarik dengan cara mereka memberi fokus untuk melatih daya kemahiran serta fikiran kritikal kepada generasi mereka yang seterusnya. Kercang, sebuah alat permainan penyelesaian masalah tradisional mereka, bukanlah sekadar permainan semata-mata. Ia sangat penting dalam kehidupan sesetengah masyarakat )Orang Asli dan ia mengasah kemahiran berfikir secara tidak lurus.
Sebelum boleh membuat sesetengah perkara seperti berkahwin, mereka perlu menyelesaikan tahap-tahap kesukaran yang ditetapkan dalam permainan ini terlebih dahulu bagi membuktikan kebolehan daya mereka. Apa yang mengagumkan saya ialah kehebatan rekaan alat permainan ini sebenarnya menunjukkan kebijaksanaan mereka. Banyak lagi permainan dan elemen kebudayaan mereka sebenarnya mempunyai tujuan untuk membangunkan generasi baharu yang lebih matang lagi berdaya.
Janganlah kita mengasingkan sesetengah golongan hanya kerana kehidupan yang berbeza.
Banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada mereka, terutamanya tatkala kita terlalu sibuk mengejar segala ‘kekasaran’ dunia. Mungkin itulah juga kebijaksanaan di sebalik titah Tengku Ampuan Pahang tentang Orang Asli sebagai orang kita sendiri.
Jangan kita melihat mereka hanya istimewa untuk dipertontonkan keunikan budaya semata-mata. Sebaliknya, lihatlah kepada apa yang boleh kita pelajari daripada khazanah ilmu pengetahuan mereka.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










