DARI hari pertama menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menekankan mengenai soal tatakelola yang baik dalam pentadbiran negara. Walaupun ada yang komplen sudah jemu mendengarnya, tetapi itulah iltizam Perdana Menteri yang bukan sekadar kata-kata tetapi pelaksanaan.
Antara perkara besar yang dilakukan oleh Perdana Menteri ialah memperkenalkan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengadakan peruntukan bagi tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal.
Akta yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2023 dan Dewan Negara pada 27 November 2023 ini antara lainnya menyasarkan defisit fiskal sebanyak tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kurang manakala had statutori hutang keseluruhan adalah 60 peratus atau kurang.
Lebih dari itu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 14 September 2023 setuju untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi meningkatkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pihak yang terlibat dalam perolehan kerajaan.
Kedua-dua akta ini telah dicadang untuk dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sewaktu ia memerintah dari Mei 2018 ke Februari 2020 dengan sasaran untuk membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal di Parlimen pada Julai 2020 dan untuk membentangkan Akta Perolehan Kerajaan di Parlimen pada tahun 2021.
Walaupun begitu, kelewatan melaksanakannya menyebabkan ia tidak terhasil di bawah kerajaan PH sehingga kerajaan PH tumbang di pertengahan jalan. Mengambil iktibar ini, Akta Tanggungjawab Fiskal terus dibentangkan pada tahun lalu dan Akta Perolehan Kerajaan pula dalam perancangan untuk dibentangkan pada tahun ini.
Lebih mutakhir, iltizam Perdana Menteri untuk melaksanakan tatakelola yang baik dalam pentadbiran negara semakin terserlah bila RUU Audit (Pindaan) 2024 yang memperluaskan tugas dan kuasa Ketua Audit Negara diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Julai lalu. RUU ini kritikal kerana ia sudah usang setelah 33 tahun ia tidak dipinda.
RUU ini melibatkan pewujudan peruntukan baharu serta pindaan kepada beberapa peruntukan sedia ada seperti berikut: (i) Pengauditan Badan Lain Termasuk Syarikat Di Mana Kerajaan Mempunyai Kepentingan Dalam Bentuk Jaminan Kewangan; (ii) Pengauditan Melalui Pendekatan Follow The Public Money Audit, Tertakluk Kepada Kementerian Kewangan Atas Dasar Kepentingan Awam; (iii) Kuasa Ketua Audit Negara Untuk Mengeluarkan Apa-Apa Garis Panduan Yang Melibatkan Pengauditan; dan (iv) Pelaksanaan Audit Susulan Terhadap Apa-Apa Syor, Pemerhatian Atau Pandangan Yang Diberikan Dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Paling penting ialah RUU ini akan membenarkan Ketua Audit Negara memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain, termasuk syarikat di mana kerajaan mempunyai kepentingan dalam bentuk jaminan kewangan, serta memastikan pengesanan serta pengauditan menyeluruh terhadap wang awam untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti.
Ia juga akan memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara mengeluarkan garis panduan yang relevan untuk mengekalkan kualiti pengauditan serta memastikan pihak yang diaudit mengambil tindakan pembetulan dan pencegahan berdasarkan syor, pemerhatian atau pandangan yang diberikan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi meningkatkan pematuhan serta tatakelola.
Pengambilan tindakan pembetulan dan pencegahan ke atas LKAN ini adalah sesuatu yang amat signifikan kerana hampir setiap tahun kita didedahkan dengan berbagai pendedahan mengenai ketirisan, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa dalam berbagai agensi kerajaan peringkat persekutuan dan negeri, termasuk pihak berkuasa awam dan badan lain tetapi tindakan susulan ke atasnya amat hambar.
Oleh itu, setelah berkuatkuasanya RUU Audit (Pindaan) 2024 ini maka Ketua Audit Negara dan LKAN pastinya akan lebih bertaring manakala pihak-pihak yang mendapat teguran dalam LKAN tidak akan lagi terlepas daripada membuat tindakan pembetulan dan pencegahan sebagai susulan ke atasnya sekali gus mengelakkan kesilapan dari berulang.
Belum pun RUU Audit (Pindaan) 2024 berkuatkuasa, matlamatnya sepertinya telah hampir tercapai. Ketua Audit Negara sewaktu membentangkan LKAN terbaru dilihat mempunyai kegagahan baharu dengan membuat teguran keras ke atas badan besar seperti Majlis Profesor Negara (MPN) yang didedah melakukan penyalahgunaan dana berjumlah RM373,516.
Begitu juga dengan teguran ke atas Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) yang didakwa melakukan salah urus ratusan juta ringgit melibatkan geran latihan, pelaburan dan pembelian hartanah seperti seramai 3,726 peserta mengikuti latihan melebihi sekali di bawah skim yang sama melibatkan bayaran berjumlah RM51.69 juta.
Apa yang baiknya, selaras dengan cadangan Ketua Audit Negara supaya Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, segera bertindak ke atasnya.
Steven Sim terus mengarahkan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Shahul Dawood, untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penemuan laporan berkenaan menunjukkan pengiktirafan beliau kepada wibawa LKAN.
Inilah hasil awal daripada iltizam Perdana Menteri mengenai pengamalan tata kelola baik dalam kalangan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan. Peningkatan kemampanan tata kelola tidak boleh dinafikan memang berlaku melalui tata kelola rangka kerja institusi dan perundangan berkaitan rasuah. Rasuah yang sistemik memerlukan perubahan sistem dan kini di bawah kerajaan Madani sedikit demi sedikit sistem itu telah berjaya diubah. – UTUSAN
DR. Mashitah Mohd Udin ialah Pengarah Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme (GSEEP) di Universiti Utara Malaysia.










