PETALING JAYA: Tindakan menyalahkan sistem permohonan dalam talian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) disifatkan sebagai usaha mengambil jalan mudah tanpa menangani akar umbi krisis pelarian di negara ini.
Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen baru-baru ini mengaburkan masalah sebenar yang dihadapi negara berhubung pengurusan pelarian dan pencari suaka.
Menurut beliau, walaupun sistem dalam talian UNHCR mungkin mempunyai kelemahan, ia bukannya punca utama kepada kesukaran yang dialami Malaysia dalam mengawal selia keberadaan golongan berkenaan.
“Sistem permohonan dalam talian itu sekadar memburukkan masalah sedia ada, iaitu ketiadaan kerangka undang-undang dan pentadbiran negara yang lebih menyeluruh untuk menguruskan pelarian dan pencari suaka secara berkesan.
“Keengganan Malaysia meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 menyukarkan negara ini membangunkan kerangka undang-undang kebangsaan bagi membezakan pelarian tulen daripada migran ekonomi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa sistem pendaftaran dalam talian UNHCR membolehkan warga asing memohon status pelarian dari luar negara dan memasuki Malaysia sementara permohonan mereka masih diproses.
Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, ketiadaan dasar rasmi kebangsaan menyebabkan proses pengesahan, penguatkuasaan dan akauntabiliti kini terlalu bergantung kepada maklumat yang disediakan oleh UNHCR.
Katanya, pada masa sama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu tidak diberikan pengiktirafan dan kedudukan institusi yang sewajarnya oleh kerajaan bagi membantu menangani krisis berkenaan secara bersama.
“Malaysia menanggung beban kewangan dan pentadbiran dalam menguruskan pelarian, namun kesukaran ini bertambah rumit disebabkan ketiadaan sistem undang-undang dan pentadbiran kebangsaan yang menyeluruh untuk melengkapi usaha UNHCR.
“Proses pengesahan, penguatkuasaan dan akauntabiliti dilihat terlalu bergantung pada maklumat UNHCR, namun agensi tersebut tidak sentiasa diberikan pengiktirafan dan kedudukan institusi yang sewajarnya untuk membantu menangani pelbagai masalah rumit yang dihadapi kerajaan,” katanya.
Tambahnya, peranan dan pertimbangan politik tempatan yang melindungi pelarian atas dasar etnik atau agama secara terpilih turut menjejaskan kredibiliti agensi penguatkuasaan serta pembentukan dasar yang konsisten.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan supaya tidak menuding jari dan segera merangka dasar kebangsaan yang mempunyai prosedur jelas bagi pendaftaran, pengesahan status, penguatkuasaan kemanusiaan serta penyelesaian undang-undang jangka panjang.
“Soalan sebenar hari ini ialah sama ada kerajaan bersedia menangani ketiadaan kerangka kebangsaan ini dan memikul tanggungjawab untuk membangunkan penyelesaian jangka panjang terhadap masalah pelarian di Malaysia,” katanya. –UTUSAN











