PETALING JAYA: Sebanyak 10,000 peserta di jangka menyertai acara Color The Night Run 2026 yang bakal berlangsung pada 28 November ini, sekali gus menjadi acara istimewa sempena ulang tahun ke-10 penganjuran Ice-Watch Night Run di Malaysia.
Acara anjuran Time Zone Sdn Bhd dengan sokongan HABIB Group dan Two Tropics Coffee itu akan berlangsung di IOI Mall Putrajaya, membabitkan kategori larian sejauh 5 kilometer (km) dan 10km.
Pemilik Ice-Watch Malaysia dan Time Zone Sdn Bhd, Datuk Seri Meer Habib berkata, setakat ini, sebanyak 4,000 pendaftaran awal sudah diterima, menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap acara berkenaan.
Katanya, peningkatan penyertaan itu turut mencerminkan penerimaan masyarakat terhadap konsep larian yang lebih santai, berorientasikan keluarga dan tidak terlalu kompetitif.
“Larian ini bukan mengenai persaingan. Apa yang kita mahu ialah apabila orang datang, mereka berseronok dan pada masa sama kita mempromosikan gaya hidup sihat serta menikmati pengalaman yang menggabungkan semangat larian, warna serta kebersamaan.
“Kebanyakan peserta juga adalah keluarga. Jadi, ia lebih kepada keluarga, kawan-kawan dan melakukan sesuatu yang menyeronokkan bersama,” katanya ketika ditemui pada sidang media Color The Night Run 2026 di IOI Mall Putrajaya, baru-baru ini.
Meer berkata, pihaknya tidak bercadang menjadikan Color The Night Run sebagai acara yang terlalu kompetitif, termasuk mengembangkan konsep berkenaan kepada larian separuh maraton.
Sebaliknya, fokus utama adalah menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat menerusi aktiviti yang menyeronokkan.
Menurut beliau, pendekatan itu juga selari dengan usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan aktiviti fizikal, khususnya ketika gaya hidup masyarakat kini turut terdedah kepada risiko penyakit seperti diabetes.
Dalam pada itu, Meer berkata penjualan jenama jam tangan Ice-Watch di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif selepas sedekad berada di pasaran, didorong identiti berwarna-warni serta pendekatan yang lebih dekat dengan gaya hidup pengguna.
Katanya, perubahan ketara dalam tempoh berkenaan ialah perkembangan pasaran jam tangan yang kini turut dipacu kemunculan pelbagai jenama serta produk pintar.
“Kalau kita lihat dahulu, jam tangan adalah sinonim sebagai pelengkap gaya, tetapi sekarang pasaran sudah berubah dan terdapat permintaan terhadap pelbagai jenis jam tangan termasuk jam pintar.
“Ice-Watch pula berasal dari Belgium dan mempunyai identiti sendiri yang berwarna-warni. Jadi, pendekatan kita juga lebih aktif dan kita sentiasa cuba melakukan sesuatu yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran acara seperti Color The Night Run turut menjadi sebahagian daripada pendekatan Ice-Watch Malaysia untuk mendekati pengguna menerusi aktiviti yang menggabungkan gaya hidup, kesihatan dan pengalaman bersama.
Dalam pada itu, Ice-Watch Malaysia turut memperkenalkan dua koleksi baharu sempena sambutan ulang tahun berkenaan iaitu Ice Forever dan Ice Smart Forever 2.0.
Kedua-dua koleksi ini menggabungkan reka bentuk kontemporari, gaya peribadi serta semangat dinamik yang mencerminkan gaya hidup masa kini.
Ice Forever menampilkan interpretasi baharu terhadap gaya ikonik ICE-WATCH menerusi rangkaian jam tangan kontemporari yang direka untuk melengkapi pelbagai personaliti dan gaya harian.
Ice Smart Forever 2.0 pula membawa dimensi baharu kepada jam pintar dengan menggabungkan reka bentuk ikonik Ice-Watch bersama teknologi pintar dalam sebuah aksesori gaya hidup yang moden dan bergaya.-UTUSAN











