Perkukuh keselamatan maritim demi kedaulatan negara

Perkukuh keselamatan maritim demi kedaulatan negara

PENDEKATAN pertahanan menyeluruh (Hanruh) boleh memainkan peranan penting dalam mengekalkan keselamatan maritim dengan agensi penguatkuasaan dimodenkan melalui penggunaan peralatan terkini dan sistem pemantauan canggih. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA dikategorikan sebagai sebuah negara maritim, dikelilingi perairan Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu-Celebes. Ia dianggap antara perairan utama dan memainkan peranan penting dalam keselamatan, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar negara.

Sebagai sebuah negara perdagangan utama dengan lebih daripada 90 peratus barangan yang diperdagangkan melalui perkapalan laut, maka melindungi perairan amat penting bagi mengekalkan kedaulatan dan kemakmuran negara, memantapkan kepentingan ekonomi dan mempromosikan kestabilan serantau.

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang menganjurkan Bual Bicara Menteri INTAN, sebuah forum membincangkan hal ehwal semasa membuka mata banyak pihak dalam mengetengahkan pelbagai isu secara mendalam tentang kepentingan keselamatan maritim untuk kemakmuran negara.

Perairan maritim negara sangat penting dari segi strategi dan ekonomi. Selat Melaka merupakan salah satu laluan perkapalan tersibuk di dunia yang memudahkan laluan ribuan perkapalan antarabangsa setiap tahun.

Laut China Selatan pula kaya dengan sumber marin dan hidrokarbon merupakan satu lagi kawasan kepentingan ekonomi utama untuk negara-negara serantau.

Industri perikanan yang menawarkan sumber mata pencarian tempatan dan keselamatan makanan negara, sangat bergantung kepada perairan ini. Di samping itu, potensi rizab minyak dan gas yang besar menonjolkan kepentingan ekonomi di perairan tersebut selain menjadi medan rebutan kuasa-kuasa tertentu.

Melindungi perairan maritim secara intrinsik berkait rapat dengan perlindungan kedaulatan negara dan integriti wilayah. Laut China Selatan, khususnya adalah antara perairan yang kerap menjadi medan pertikaian wilayah yang melibatkan pelbagai negara termasuk China, Filipina, Vietnam, Brunei dan Malaysia.

Keupayaan Malaysia menegaskan tuntutan wilayahnya dan melindungi sempadan maritim adalah mustahak untuk mengekalkan kedaulatan negara.

Kegagalan berbuat demikian boleh membawa pencerobohan, membahayakan keselamatan negara dan melemahkan kedudukan Malaysia dalam urusan serantau dan antarabangsa.

Beberapa ancaman keselamatan termasuk masalah lanun, penangkapan ikan haram, penyeludupan, pendatang haram, pemerdagangan manusia serta pertikaian wilayah. Penangkapan ikan haram bukan sahaja mengurangkan sumber marin tetapi juga menjejaskan mata pencarian komuniti tempatan.

Pertikaian terutamanya di Laut China selatan boleh meningkat kearah konflik yang serius selain mengancam kestabilan serantau jika tidak dikawal melalui rundingan damai.

PELABURAN TEKNOLOGI
Dalam hal ini, pendekatan pertahanan menyeluruh (Hanruh) boleh memainkan peranan penting dalam mengekalkan keselamatan maritim. Peranan agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen tidak boleh dipertikaikan.

Memodenkan agensi-agensi ini dengan aset maritim yang terkini dan sistem pemantauan yang canggih adalah penting. Pelaburan dalam teknologi seperti sistem udara tanpa pemandu, dron, dan pesawat rondaan dilengkapi dengan sistem kecerdasan buatan (AI) boleh meningkatkan keupayaan pemantauan serta pengintipan dengan berkesan selain membolehkan tindak balas segera ketika menghadapi sebarang ancaman.

Usaha berterusan dalam mengukuhkan hubungan rapat dengan negara-negara serantau dan terlibat dalam latihan maritim bersama, perkongsian risikan serta rondaan berkoordinasi boleh diperluaskan lagi.

Platform seperti ASEAN, Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) menyediakan ruang kolaborasi yang berkesan dalam mengukuhkan strategi pertahanan negara.

Selain daripada itu, kerjasama dengan komuniti antarabangsa lain membolehkan penawaran bantuan dan pindaan teknologi, latihan bersama serta sokongan strategik.

Langkah berterusan kerajaan dalam menganjurkan perdamaian dan menyelesaikan pertikaian sempadan melalui forum antarabangsa dan mekanisme timbang tara mendapat perhatian antarabangsa dan dipuji pelbagai pihak.

Penglibatan diplomatik dengan negara-negara jiran untuk menubuhkan sempadan maritim yang jelas dan perjanjian kerjasama boleh mengurangkan konflik selain mempromosikan manfaat bersama. Ini termasuk melaksanakan peraturan ketat terhadap penangkapan ikan tanpa permit dan luar kawalan.

Selain daripada itu, menangani ancaman alam sekitar seperti pencemaran laut dan perubahan iklim melalui inisiatif nasional serta serantau wajar bagi mengekalkan kelestarian persekitaran maritim.

Pendekatan menyeluruh yang merangkumi peningkatan keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan, kerjasama serantau, sistem mahupun pelaksanaan perundangan yang ketat serta amalan diplomatik meluas perlu dipertahankan sepanjang masa.

Dengan mengutamakan keselamatan maritim, Malaysia boleh melindungi kedaulatannya, memastikan kemakmuran ekonomi dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.-UTUSAN

DR. G. Periasamy ialah Felo Penyelidik Kanan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN