Kekang gerakan cuba rendahkan institusi mufti - Utusan Malaysia

Kekang gerakan cuba rendahkan institusi mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rang Undang-undang Mufti (Wilayah Persekutuan) Tahun 2024 telah dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat pada Rabu lalu oleh Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pembentangan ke arah mewujudkan sebuah akta khusus bagi institusi mufti adalah dialu-alukan bagi memartabatkan institusi mufti sebagaimana Enakmen Mufti dan Fatwa Negeri Kedah 2008 dan Enakmen Fatwa Negeri Sabah 2004.

Ini penting bagi memastikan ketetapan yang dibuat oleh mufti khususnya melalui fatwa tidak sekadar diambil maklum oleh pihak-pihak yang berkaitan tetapi diambil tindakan yang menepati dengan kehendak fatwa tersebut.

Jika demikian hal keadaannya ternampaklah jelas negara kita ini mendaulatkan agama Islam selari dengan kedudukan agama Islam sebagai agama negara.

Menariknya, pembentangan di Dewan Rakyat ini dibuat ketika Profesor Dr. Muhammad Ahmad At Tayyeb, Sheikh Al Azhar, institusi di mana ramai mufti-mufti kita di Malaysia ini pernah belajar sedang berada di negara kita.

Jika diluluskan oleh Parlimen kelak, Rang Undang-undang Mufti ini mempunyai sembilan bahagian, 36 fasal dan tiga jadual di mana terdapat empat jawatankuasa yang berpunca kuasa dari Akta Mufti ini iaitu Jawatankuasa Fatwa, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Melihat Rukyah Hilal dan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dan Perunding Akidah.

Tentunya Rang Undang-undang Mufti ini bukan sekadar mengulang lapan peruntukan sedia ada berkaitan mufti di dalam Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 lalu, tetapi jauh daripada itu menambah baik tatakelola institusi mufti dan sedaya yang boleh untuk menutup kemungkinan ia dicabar oleh mana-mana pihak di kemudian hari.

Oleh kerana Mufti dan fatwa tidak dapat dipisahkan, maka peruntukan berkaitan Jawatankuasa Fatwa iaitu 10 peruntukan adalah fasal yang terbanyak di dalam Rang Undang-undang Mufti yang dibentangkan ini.

Tentunya, pembentangan Rang Undang-undang Mufti Wilayah Persekutuan ini adalah inisiatif permulaan bukan pengakhiran di kala semakin banyak proses semakan kehakiman dibuat pelbagai pihak terhadap tatacara pembuatan fatwa kerana seringkali dikatakan mufti dan fatwa itu telah sebenarnya melangkaui bidang kuasanya.

Terdapat usaha berterusan untuk merendahkan institusi mufti dan menggambarkan fatwa tidak langsung boleh wujud dalam hierarki sumber perundangan negara. Digambarkan akan rendahnya darjat fatwa itu hinggakan apa jua yang dikatakan sebagai hak asasi seseorang itu adalah menghampiri hak mutlak yang tidak boleh disangkal.

Jika terdapat intervensi fatwa, maka fatwa itu dikatakan melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mahkamah diajak untuk tidak memberikan pengiktirafan kepada fatwa.

Di antara fatwa-fatwa yang dicabar adalah fatwa berkaitan status anak tidak sah taraf yang tidak boleh dibinkan kepada nama bapa kandungnya, fatwa berkaitan organisasi atau entiti yang tidak dibenarkan melaksanakan aktiviti atau menyampaikan ajaran mereka di sesuatu negeri atas hujah bahawa ia bertentangan dengan hukum syara’, fatwa berkaitan tauliah mengajar kepada penceramah-penceramah agama Islam dalam negeri tersebut dan fatwa berkaitan wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik.

Institusi Mufti melalui jawatankuasa yang dibentuk di bawahnya diberikan kuasa bagi membuat ketentuan hukum dalam sempadan kuasanya contohnya dalam soal siapa yang boleh mengajar ilmu agama Islam dalam sempadan sesebuah negeri atau wilayah itu atau soal bagaimana urusan akidah umat Islam dalam negeri tersebut digarispandukan sebagaimana yang diperkenankan oleh Ketua Agama Islam Negeri iaitu Yang di Pertuan Agong atau Sultan sendiri hinggakan Rang Undang-undang Mufti ini mewujudkan jawatan perunding akidah bagi menjaga akidah umat Islam.

Penyelarasan daripada pemerintah ini adalah penting bagi menjaga maslahah umat Islam yang sebahagian besarnya adalah orang awam agar tidak berpecah belah hingga bertelingkah dalam memahami sesuatu hukum. Ini selari dengan Maxim Salus Populi Suprema Lex Esto iaitu keselamatan rakyat perlu sentiasa diletakkan ditempat yang tinggi.

Maknanya, melestarikan rukun kehidupan dalam ajaran agama Islam mengikut aturan pemerintah yang dizahirkan antaranya melalui fatwa adalah lebih utama berbanding kebebasan sekelompok kecil masyarakat.

Kepentingan fatwa menjadi lebih terserlah dalam masyarakat hari ini apabila terdapat urusan seharian masyarakat yang melibatkan wujudnya silang isu perundangan sivil dan syariah.

Barangkali kita boleh mengimbas kembali kata-kata Tun Salleh Abas di Mahkamah Persekutuan dalam kes Re Dato’ Bentara Luar pada 1981 apabila beliau menyatakan bahawa sungguhpun mahkamah tidak terikat kepada fatwa Mufti Johor berkaitan wakaf tetapi mahkamah juga tidak terikat untuk menolak fatwa tersebut kerana Mahkamah Persekutuan berpandangan bahawa fatwa tersebut telah dibuat oleh mufti yang paling berkelayakan mengeluarkan pandangan hukum syara’ yang menghabiskan usia mereka mengkaji dan menafsirkan ilmu berkaitan perundangan Islam dan untuk itu mahkamah mendapati bahawa mereka tiada alasan untuk menolak fatwa tersebut.

Memartabatkan institusi mufti dan fatwa dalam lanskap perundangan negara adalah selari dengan usaha untuk mengarusperdanakan syariah.
Sungguhpun terdapat kekangan terhadap kuasa perundangan Islam di dalam enakmen negeri pasca penghakiman kes Nik Elin dan Iki Putra Mubarak di Mahkamah Persekutuan, ia tidak sepatutnya melemahkan kita untuk sentiasa mencari jalan bagi memberikan takrifan keluasan tafsiran Perintah Agama Islam.

Ini kerana sifat penghakiman mahkamah tidaklah sepatutnya rigid dan boleh berubah-ubah berdasarkan hujahan dan fakta baharu yang dibawa di hadapan mahkamah dengan syarat mahkamah juga hendaklah sentiasa terbuka untuk mendengar dapatan-dapatan baharu yang dihujahkan di hadapan mereka dari semasa ke semasa.

Kedudukan Islam sebagai agama negara dan agama negeri tidak akan mempunyai makna yang besar jika kita tidak mempunyai institusi pengeluar hukum yang kukuh menjadi tunjangnya.
Malahan, selain daripada mufti terdapat juga pandangan hukum syara’ yang juga mempunyai kesan perundangan dalam negara kita iaitu berkaitan dengan perbankan Islam di mana ia berada dalam bidang kuasa Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia.

Kuasa Majlis Penasihat Syariah melalui Akta Bank Negara Malaysia telah dibincangkan dengan mendalam di Mahkamah Persekutuan dalam kes JRI Resources lawan Kuwait Finance House.

Mahkamah dalam kes tersebut telah memutuskan bahawa kuasa Majlis Penasihat Syariah tersebut adalah sah dan berperlembagaan. Menarik untuk dilihat bahawa mahkamah dalam kes ini memperakui bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai kepakaran untuk menghuraikan isu hukum syara’ dan keputusan Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia adalah mengikat mahkamah.

Amatlah tepat pada masanya untuk negeri-negeri lain menuruti usaha kerajaan mengkanunkan institusi mufti dan fatwa melalui enakmen khusus sebagaimana yang telah ada di negeri Sabah dan Kedah.

Malahan jauh daripada itu perlu ada kehendak politik yang kuat dalam kalangan ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri Islam melangkaui sempadan kepartian untuk meletakkan kemuliaan institusi mufti bukan hanya di dalam akta atau enakmen negeri tetapi di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.

Ini sebagaimana dilakukan Terengganu apabila meletakkan punca kuasa penubuhan institusi Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu.

Segala usaha untuk memperkukuhkan institusi agama Islam seperti mufti, mahkamah syariah, majlis agama Islam negeri serta wewenangnya hendaklah perlu dibuat secara terus menerus.

Malahan perubahan juga telah dibuat pada 2022 apabila Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam atau MKI kini dipengerusikan oleh salah seorang dari sembilan Raja-raja Melayu sebagai manifestasi bahawa majlis itu bukan sekadar sebuah organisasi biasa tetapi adalah pancaran kepada kepentingan institusi Raja-raja Melayu sebagai penjaga utama kesucian agama Islam.

Datuk Ikbal Salam ialah Peguambela dan Peguamcara Johor Bahru

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN