Terjemahan cerpen Tamil masih lesu

Terjemahan cerpen Tamil masih lesu

ANTARA cerpen tamil yang diterbitkan secara terjemahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GALAKAN menterjemah karya bahasa Tamil oleh penulis tempatan sudah dibuat sejak 1970-an. Usaha ini amat wajar kerana pembaca pelbagai kaum berpeluang memahami dan menikmati gambaran budaya serta pemikiran komuniti India apabila karya diterjemah kepada bahasa kebangsaan.

Malangnya, sewaktu saya membuat kajian bagi disertasi sarjana sastera pada 2019, saya menyedari usaha terjemahan karya bahasa Tamil amat mengecewakan.

Pihak berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) sehingga kini masih gagal memainkan peranan yang sewajarnya.

Usaha awal menterjemah karya Tamil dapat dilihat dalam akhbar Balai Muhibbah yang terbit mulai Disember 1969. Akhbar ini diusahakan Kementerian Perpaduan susulan peristiwa 13 Mei 1969 yang menggugat perpaduan kaum.

Kemudian, pada Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya (16 hingga 20 Ogos 1971), Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Hassan Ahmad mencadangkan supaya usaha menterjemah karya Tamil, Mandarin, Inggeris dan bahasa-bahasa etnik lain kepada bahasa kebangsaan diberi perhatian.

Beliau melihat usaha terjemahan sebagai langkah awal ke arah pembentukan sastera kebangsaan, selain membolehkan pelajar sekolah menikmati karya sastera pelbagai kaum yang sudah diterjemah.

Susulan itu, majalah Dewan Sastera mula menyiarkan beberapa cerpen Tamil dalam terjemahan. Misalnya, cerpen Racun Fikiran oleh Farithamanalan (April 1971), Si Tua Malang oleh M. Kumaran (Jun 1971) dan Jurang Perbezaan oleh Peer Mohamed (Ogos 1971) yang diterjemah oleh G. Soosai.

N. Govindan pula menterjemah cerpen Perempuan-perempuan Peminta Sedekah oleh S. Veluswamy (Julai 1971) dan Itu Tak Mengapa oleh Peer Mohamed (Oktober 1971).

Soosai menerusi tulisannya di sebuah akhbar tempatan pada 8 Ogos 1971 turut menggalakkan karya Tamil diterjemah supaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia boleh menikmati hasil karya penulis Tamil tempatan.

Beliau sendiri menterjemah banyak cerpen untuk siaran Balai Muhibbah. Misalnya, Burung Pencari Rezeki oleh Sanggu Shanmugam (Februari 1972), Isyarat Bahaya oleh Mageswari Nadeson (Februari 1972), Pokok Pisang oleh R. Karthigesu (Jun 1972) dan Garam di Laut, Asam di Darat oleh S.V. Shanmugam (Julai 1972).

Peer Mohamed yang merupakan setiausaha Persatuan Penulis-Penulis Tamil Malaysia menyebut di Balai Muhibbah (Ogos 1972) bahawa persatuan itu sedang menyelenggarakan antologi 30 cerpen Tamil.

Katanya, kesemua cerpen itu akan diterjemah dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena). Namun, selepas separuh abad, buku terjemahan belum muncul.

Soosai pula berjaya menterjemah 12 cerpen karya T.M. Anna Mary dengan judul Wanita Malang (1972). P. Palaniappan menterjemah empat cerpen oleh Samy Moorthy, M. Perumal, R. Karthigesu dan S. Vadiveloo untuk dimasukkan dalam antologi Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (1977) terbitan Penerbit Universiti Malaya.

Vadiveloo turut meminta bantuan A. Nagappan menterjemah tiga cerpennya kepada bahasa kebangsaan untuk dimasukkan dalam antologi Puthiya Paathai (1981).

P.Palaniappan pula menterjemah empat rencana oleh D. Dhandayudham mengenai perkembangan cerpen Tamil di Malaysia untuk siaran majalah Dewan Sastera pada 1984.

Joseph Selvam menerusi kertas kerja bertajuk Penulis dan Sastera Tamil di Malaysia pada Pertemuan Penulis Melayu, Tamil dan Tionghua di DBP (19 Jun 1976) menyatakan tidak ramai penulis Tamil melakukan kerja terjemahan cerpen dan sajak Tamil.

Komitmen majalah Dewan Sastera menyiarkan cerpen Tamil yang diterjemah hilang begitu sahaja sebaik Datuk Usman Awang tidak lagi menerajuinya. Cerpen Tibanya Tahun Ular karya Vadiveloo yang diterjemah oleh M. Mannar Mannan sempat disiarkan pada Januari 1985.

Tempoh dari 1985 hingga 1997 boleh dianggap zaman kegelapan bagi usaha terjemahan karya Tamil tempatan. Pada masa sama, muncul beberapa penulis kaum India seperti Saroja Theavy, M. Mahendran dan S. Kamalah yang mula mewarnai peta sastera kebangsaan.

Menerusi tulisan bertajuk Sasterawan Bukan Melayu (Dewan Sastera, Februari 1997), saya menyarankan supaya majalah itu kembali menyiarkan cerpen terjemahan oleh penulis Tamil tempatan.

Susulan itu, V. Siva Rubini menterjemah dan saya menyunting cerpen Sang Suria Telah Dibunuh oleh R. Karthigesu (Dewan Sastera, Julai 2012). Terdahulu, M. Balachandran menterjemah dan saya menyunting 12 cerpen untuk antologi ‘Seruling di Persimpangan’ (1999).

Penulis seperti Mahendran menterjemah sendiri cerpennya. Ada dua cerpen seperti itu dalam buku Karupaya (2018). Beliau turut menterjemah kumpulan cerpen M. Ramaiah dan terbit dengan judul Mimpi dan Impian (2013).

Majalah Dewan Sastera kembali menunjukkan minat terhadap cerpen Tamil sejak beberapa tahun lalu. S. Saravanan menterjemah cerpen Kilat (Ogos 2021) dan Apsara (Jun 2022) karya M. Yogesvaran. Kamala Udayan pula menterjemah cerpen Baby Kutty (Mei 2024) oleh K. Balamurugan.

Sebuah novel Tamil oleh M. Mathialagan tidak diterjemah tetapi diadaptasi oleh Kamala Udayan dan terbit dengan judul Sangkar Saksi (2022). Semua unsur India-Hindu ditukar kepada unsur Melayu-Islam kerana novel itu disasarkan kepada pembaca Melayu.

Novel Sigandi tulisan M. Yogesvaran diterjemah oleh Saravanan dan diterbitkan Buku Fixi (2023). Beberapa cerpen melibatkan penulis dan penterjemah itu juga disiarkan di portal Eksentrika.

Amat jelas kerja-kerja terjemahan diusahakan orang perseorangan dan bukannya pihak berwajib seperti DBP atau ITBM yang menerima dana khas dalam Belanjawan 2023.

 

GALAK

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) menggalakkan penulis kaum India menghasilkan karya asli dalam bahasa kebangsaan. Penulis Tamil pula disaran menterjemah karya mereka untuk siaran.

Undangan dibuka semasa projek antologi cerpen Seruling Malam (2024) tetapi tiada penulis Tamil menunjukkan minat. Projek antologi seterusnya sedang diusahakan dan undangan sudah dihantar kepada komuniti penulis Tamil tempatan.

Semoga akan ada minat dan usaha menterjemah cerpen Tamil supaya kandungan cerita dapat dinikmati pembaca pelbagai kaum apabila dibukukan.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN