MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah menyuarakan perhatian yang mendalam mengenai kemenjadian mahasiswa. Perkara ini mencerminkan kesedaran akan pentingnya transformasi pendidikan tinggi dalam konteks global yang berubah dengan pesat.
Beliau memahami bahawa keunggulan akademik sahaja tidak mencukupi untuk mempersiapkan mahasiswa menghadapi cabaran masa depan. Dalam era globalisasi yang semakin kompetitif, keperluan untuk melahirkan individu yang tidak hanya unggul dari segi akademik tetapi juga memiliki keupayaan untuk bersaing di peringkat global dalam pelbagai bidang menjadi sangat penting dalam membangunkan negara pada masa hadapan seiring pemodenan zaman.
Mahasiswa merupakan tunjang pembangunan masa depan sesebuah negara. Kini, kita tidak dapat menafikan bahawa mahasiswa membawa harapan untuk menerajui inovasi, perubahan sosial dan kemajuan ekonomi pada masa hadapan. Bagi memastikan mahasiswa yang akan dilahirkan adalah relevan dan memberi impak positif kepada masyarakat dan negara, adalah penting untuk membentuk kemenjadian mahasiswa dengan cara holistik. Dalam konteks ini, konsep minda usahawan perlu didoktrin kepada seantero mahasiswa sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan yang berkualiti.
Minda usahawan bukanlah merujuk kepada kecenderungan untuk menjalankan perniagaan semata-mata, tetapi ia merupakan tonggak pembentukan kemenjadian mahasiswa holistik. Melalui pendekatan ini, mahasiswa didorong untuk memperoleh nilai murni, sikap dan kemahiran yang memberikan anjakan paradigma dalam pendidikan mereka. Berbeza dengan pendekatan konvensional yang mungkin menekankan pada pemahaman teori semata-mata, pendekatan minda usahawan ini menekankan pada pemikiran proaktif, inovatif dan bertanggungjawab.
Kemapanan minda usahawan mendorong pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan mahasiswa. Alpukah ini mengatasi pemikiran konservatif dengan mencari penyelesaian unik kepada masalah yang dihadapi. Mahasiswa yang menerapkan minda usahawan tidak akan berpandangan sarwa tetapi mereka akan meneroka lebih banyak peluang dan dapat mencipta nilai tambah. Landasan berfikir yang berteraskan inovasi dapat mengubah kebiasaan mahasiswa untuk bertindak dan berinteraksi dengan dunia di sekeliling mereka.
Minda usahawan membantu mahasiswa menggelora keupayaan mereka mengurus risiko yang penting dalam kehidupan dan kerjaya. Pemikiran ini mengajar mahasiswa untuk tidak takut dengan kegagalan bahkan melihatnya sebagai suatu proses pembelajaran untuk mengecapi kejayaan. Perkara ini juga melahirkan sifat keberanian kepada mahasiswa untuk mengambil risiko yang dikawal dengan bijak dan menyedarkan mereka untuk tidak hanya berada dalam zon selesa sederap merentasi sempadan bagi mencapai potensi maksimum mereka.
Kemahiran keusahawanan juga ditekankan dalam proses pembentukan kemenjadian mahasiswa. Perkara ini merangkumi kemahiran merancang, berkomunikasi serta kecekapan dan tidak hanya memahami aspek-aspek teknikal dalam pengurusan perniagaan. Mahasiswa akan diterapkan dengan ilmu-ilmu untuk merangka strategi yang efektif, menganalisis sesuatu perkara dengan tepat dan mengenalpasti peluang yang berpotensi tinggi. Hal ini sekaligus dapat melahirkan mahasiswa yang holistik dan berketerampilan unggul.
Sikap bertanggungjawab dan integriti dalam kalangan mahasiswa dapat dibentuk daripada minda usahawan. Pendidikan minda usahawan dapat menjadi satu medium yang berkesan untuk membentuk nilai-nilai ini. Melalui pendekatan usahawan, mahasiswa diajar untuk mengambil tanggungjawab terhadap tindakan dan keputusan mereka, serta memahami bahawa integriti merupakan asas utama dalam mencapai kejayaan jangka panjang. Dalam dunia perniagaan, kejujuran dan kepercayaan adalah nilai-nilai yang tidak boleh dipisahkan daripada keberhasilan sesebuah perniagaan. Oleh itu, mahasiswa yang menerapkan minda usahawan akan lebih cenderung untuk memperkukuhkan sikap bertanggungjawab dan integriti dalam setiap aspek kehidupan mereka, termasuk dalam interaksi sosial dan akademik.
Minda usahawan dapat memupuk sifat kerjasama dan kemahiran komunikasi dalam kalangan mahasiswa. Mahasiswa ditekankan untuk bekerjasama secara efektif dalam kumpulan serta menghormati pendapat orang lain dalam mencapai matlamat bersama. Kita tidak dapat menyangkalkan bahawa komunikasi yang jelas dan efektif adalah kunci kejayaan dalam setiap usaha sama ada dalam akademik mahupun bidang kerjaya yang bakal dikecapi mahasiswa ke depan. Mahasiswa minda usahawan mempunyai kelebihan dalam menyampaikan idea dan berinteraksi secara berkesan merangkumi pelbagai konteks.
Esensi minda usahawan sangat memainkan peranan yang penting dalam pembentukan otak dan watak mahasiswa. Keupayaan menangani krisis minda dan ilmu serta kemampuan melangkaui sempadan terhadap perbezaan pandangan dapat direalisasikan dengan lahirnya mahasiswa berminda usahawan. Penekanan yang disinggung sebelum ini dapat membentuk mahasiswa yang berdaya saing sekaligus melahirkan generasi pelapis negara yang bakal memajukan negara dalam pelbagai aspek.
Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021-2025 yang membawa slogan ‘Memartabatkan Keusahawanan dalam Memperkasakan Negara’ memberikan rangka kerja yang menyeluruh untuk mengintegrasikan minda usahawan dalam kalangan mahasiswa. Pelan ini menekankan pembangunan ekosistem keusahawanan di institusi pendidikan tinggi melalui pelbagai inisiatif seperti penubuhan inkubator perniagaan, pusat keusahawanan, dan program mentor-mentee.
Pelan tindakan ini juga mencakupi penyediaan kursus keusahawanan dan latihan praktikal yang bertujuan untuk membentuk pemikiran proaktif, inovatif, dan bertanggungjawab dalam kalangan mahasiswa. Pelan tindakan ini bukan sahaja membantu dalam membina minda usahawan dalam kalangan mahasiswa, tetapi juga berperanan penting dalam membentuk kemenjadian mereka secara holistik. Ini memastikan bahawa mereka bukan sahaja unggul dari segi akademik tetapi juga memiliki keupayaan untuk bersaing di peringkat global dalam pelbagai bidang, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik perlu Kementerian Pendidikan Tinggi cerakin dengan menukar paradigma warga universiti termasuk mahasiswa dengan memperkasa konsep minda usahawan dalam menghasilkan pemimpin masa depan yang berwawasan.
Dalam menyemai pemikiran minda usahawan ini, universiti dapat membentuk persekitaran yang mampu memupuk kemahiran merentas sempadan, menjana pemimpin masa depan yang berwawasan, inovatif dan mampu mengubah landskap negara ke arah kemajuan yang berkekalan. – UTUSAN
MEGAT Muhammad Daniel Azlinzal ialah Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT).










