Kecerdasan sosioemosi lebih penting daripada kecerdasan buatan

Kecerdasan sosioemosi lebih penting daripada kecerdasan buatan

DZULKIFLI Abdul Razak (kiri) ketika berkongsi pandangan pada Simposium Antarabangsa dengan tema Reimagining Education - From Gross National (GNH) Perspective di Paro College of Education, Bhutan, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BHUTAN, sebuah negara di kaki banjaran Himalaya tidak menonjol seperti negara lain dalam deretan yang sama. Nepal misalnya, lebih dikenali rakyat Malaysia kerana ramai warga negaranya bekerja di negara kita. Ini tidak sama dengan Bhutan. Malah banyak perkara lain yang membezakan antara keduanya.

Di Nepal, boleh panjat gunung Himalaya sebagai rekreasi dan sumber pendapat ekonomi dari sektor pelancongan. Di Bhutan, panjat gunung tidak dibenarkan secara rasmi kerana menghormati tempat tersebut dari kaca mata nilai budaya dan agama. Bukan dijadikan sumber duit dengan mempergadaikan nilai dan prinsip mereka.

Kita terkenang peristiwa pelancong asing berbogel di puncak Gunung Kinabalu pada satu ketika dahulu. Dikaitkan dengan gegaran tertentu sehingga ciri utama gunung tersebut ‘tercabut’ dan mencacat terus menerus!

Bhutan dalam hal ini lebih bijak dan berani. Lebih bermaruah dalam menetap apa yang terbaik bagi negara berdaulat dan merdeka. Tidak semua boleh dijual beli.

Dalam hal ini, Bhutan adalah satu-satunya contoh sejagat yang tidak menggunakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai petunjuk kemajuan negaranya. Ia dilakukan sejak awal lagi berdekad-dekad yang lalu melalui titah rajanya.

Sebaliknya yang usulkan ada petunjuk berasaskan ‘kebahagiaan’ dalam kerangka Kebahagiaan Negara Kasar (GNH). Dalam perlembagaannya tercatat bahawa kerajaan Bhutan bertanggungjawab menganjurkan kebahagiaan untuk rakyat dan negara berasaskan empat aspek utama.

Bagi Bhutan, kebahagiaan tidak boleh dijual beli. Ini bukan bahan ekonomi untuk diperagakan. Maka KDNK ditolak sebelah, ataupun dinaungi GNH.

Pada ketika membuat perisytiharan tertentu, dunia terpegun. Ada yang tertawa berdekah-dekah. Sebuah negara yang tidak dikenali berani mencabar norma dunia selama ini yang diampu kuat oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Sudah tentu Bhutan terpencil dan terpaksa berpatah balik! Ini ramalan dan ejekan yang dilemparkan kepada negara tersebut.

Namun Bhutan dengan jumlah pendudukannya yang kecil pasrah atas pegangannya. Tidak berdolak-dalik. Kerajaan dengan sokongan Istana terus mara, tidak mundur setapak pun. Para cerdik pandainya tampil ke hadapan dengan hujah serta tindakan wajar dalam melaksanakan matlamat GNH sepenuh hati.

Universiti merupakan benteng terkehadapan. Cukup bijak, bukan haprak! Mereka insani, bukan teknologi.

Kesemua ini terpampang dalam satu Simposium Antarabangsa minggu lalu atas tema: Reimagining Education – From Gross National (GNH) Perspective bertempat di Paro College of Education, anjuran Royal University of Bhutan bersama Kementerian Pendidikan Bhutan.

Lebih dari 300 orang pendidik seluruh dunia hadir mewakili lebih 25 buah negara termasuk dari Barat serta organisasi seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Yayasan Kebahagian Dunia.

Tidak silaplah jika dikata negara dan organisasi mengejek dahulu kini terpaksa menjilat semula kata-kata kesat mereka. Kini berpura akur dan puji-pujian yang cukup munafik sifatnya. Malah ada yang sudah menjadi penyokong kuat GNH.

Simposium ini yang bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam selama seminggu itu menyatakan ada sesuatu yang pendidikan Bhutan sudah pahat pada warga dan negara.

Masing-masing ingin tahu apa ‘rahsia’ nya! Bagaimana Bhutan boleh menjadi satu-satunya contoh sejagat sebagai negara negatif karbon sekali gus mengalahkan negara maju dengan KDNK yang dikatakan ‘cemerlang’ tetapi masih terkial-kial dalam mencari penyelesaian selepas membuat berbagai janji itu dan ini. Termasuk aspek kecerdasan buatan (AI).

Apapun ini jelas dari tema simposium tersebut yang mana hujah-hujah utama yang dikemukakan tidak menyentuh hal-ehwal teknologi, malah insani.

Pada pembentangan awal tentang GNH, penulis buku Happy Organizations (2024), memetik kata-kata, kecerdasan sosioemosi adalah lebih penting daripada kecerdasan buatan. Noktah.

AI kontang dari sudut sosioemosinya, yakni bukan manusia seperti hujahan minggu lalu (30 Mei 2024), Perkara ini terbukti apabila pakar OECD menggambarkan kecenderungan negara yang baik angka Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA)nya dari aspek ilmiah (termasuk teknologi) menunjukkan bahawa aspek sosioemosinya agak rendah. Maksudnya matlamat GNH tidak kesampaian. Paling malang ada negara yang kedua-duanya gagal! Banyak lagi pembentangan yang mencelikkan mata, termasuk hati mati tentu sekali.

Perdana Menteri Bhutan dalam ucaptamanya membuka gelanggang apabila menggariskan dengan jelas tujuan pendidikan negara mengikut perspektif GNH. Selepas menekankan bahawa dasar pendidikan tidak berganjak sejak GNH diperkenalkan, walaupun kerajaan serta pegawai berubah-ubah.

Yang nyata bagi pendidikan didasari GNH tidak berbaur politik sama sekali. Semuanya diserahkan para profesional terlatih beretika tinggi. Satu mesej yang penting bagi kita dalam mengemudikan pendidikan berasaskan falsafah pendidikan negara sejak lebih tiga dekad lalu.

TIGA NILAI
Lantas Perdana Menteri Bhutan mengingatkan tiga nilai utama dalam menyempurnakan pendidikan GNH. Pertama, kebijaksanaan, kedua keberanian dan ketiga, belas kasihan.

Nilai pertama menentukan arahan tujuan untuk masa hadapan yang lebih cerah. Namun ia sering tinggal dalam pemikiran dan tidak terlaksana. Banyak celoteh dari amalan. Cakap tidak serupa bikin. Di sini sifat keberanian, mengikutnya adalah penting. Tanpa sifat berani, kebijaksanaan kekal dalam buku atau minda tanpa dizahirkan.

Gabungan kedua-duanya menentukan kebijaksanaan dijelmakan untuk kebajikan bersama.

Individu, keluarga, masyarakat dan negara. Hatta dunia sekalipun. Sungguhpun begitu ada ketika terdapat kebolosan apabila kedua-dua nilai ini terbabas dari sasaran GNH.

Maka di sinilah datangnya ciri-ciri belas kasihan dalam menentukan keadilan tidak disia-siakan. Tanpa rasa belas kasihan penganiayaan akan bermaharajalela. GNH kecundang seperti banyak negara lain.

Oleh itu natijahnya dalam semua ini adalah meletak nilai kemanusiaan mengatasi yang bukan manusia.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN