Kita sibuk tengok bola, dia sibuk tengking anak - Utusan Malaysia

Kita sibuk tengok bola, dia sibuk tengking anak

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHAD lalu, beberapa kawan lama mengajak saya minum di restoran mamak. Memang banyak restoran mamak di Kuala Lumpur ini. Tetapi di mana-mana restoran pun penuh pada malam itu sebab berlangsungnya perlawanan yang menentukan pasukan mana yang jadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Saya yang tidak suka bersesak-sesak, terpaksa hadap sajalah. Kawan saya itu pun mencari mana-mana restoran yang membuka siaran perlawanan antara Arsenal dan Everton. Tetapi kebanyakan menyiarkan perlawanan Manchester City dengan West Ham United.

“Rupanya ramai juga penyokong Man City dalam Malaysia ini ya. Ingatkan paling ramai Man United,” kata kawan saya itu sambil tersengih.

Akhirnya kami akur, duduklah di mana-mana pun, asalkan ada tempat kosong dan sambil itu kami berbual hal-hal kerja dan keluarga dalam suasana hingar-bingar orang menonton perlawanan bola.

Tiba-tiba terdengar bunyi suara lelaki menengking. Hendak tersentap jantung saya dibuatnya. Ingatkan ada pergaduhan. Tak akanlah pasal EPL hendak bergaduh, ye tak ?

Saya toleh ke belakang. Rupa-rupanya dia sedang memarahi anaknya. Anak lelakinya itu, berusia mungkin dalam enam hingga lapan tahun. Saya agak semua yang berada di meja itu keluarganya.

Teruk budak itu dimarahi. Suasana yang hingar-bingar tadi jadi senyap seketika. Saya lihat budak itu bergegar badannya, mungkin menahan rasa sebak dan malu.

Saya fikir mungkin sekejap saja dia memarahi anak itu. Tetapi berlanjutan lama juga sampai ia menimbulkan rasa tidak selesa pada sekeliling. Ayat-ayat yang keluar daripada mulut lelaki itu pun, tidak sesuai didengar.

Naluri keibuan saya tersentuh melihat anak itu menangis teresak-esak. Ingin saja saya memujuknya. Saya dapat rasakan selain sedih, dia juga menanggung malu yang amat sangat ketika itu.

Marah apalah sangat, bapanya pun sampai tidak boleh tunggu sampai di rumah. Hendak tunjuk garang, simpanlah dulu di rumah.

“Ini mesti jenis panas baran. Kalau di rumah lagi teruk budak itu kena,” kata kawan saya. Kami berpandangan dan mengeleng kepala dengan harapan apabila si bapa nampak kami geleng-geleng kepala dia akan berhenti memarahi budak itu.

Pada saya, bukan tidak boleh memarahi anak. Tetapi berpada-padalah. Jangan kerana mahu menunjuk-nunjuk kepada orang ramai bahawa anda seorang bapa yang paling tegas dan tidak ‘beri muka’ dalam mengajar anak-anak, anak pula yang mendapat malu.

Siapa kata budak-budak tidak reti malu? Budak-budak pun ada maruah yang perlu dijaga bukan orang dewasa saja yang patut dijaga aibnya.

Justeru saya teringat seorang pakar psikologi ada menulis dalam satu kolum di sebuah portal berita tentang menjaga maruah budak-budak. Jangan marah mereka di hadapan ramai. Kesannya mungkin teruk membawa sehingga dewasa.

Kata pakar itu, walaupun anak itu masih kecil, mereka tetap ada harga diri dan maruah serta tidak suka direndah-rendahkan di hadapan orang.

Hakikatnya, ramai ibu bapa yang memarahi anak keterlaluan termasuk di khalayak ramai bukan kerana kesalahan anak pun atau kesalahan itu sedikit saja. Mereka jadi marah kerana tidak dapat mengurus kemarahan, penat, banyak tekanan di tempat kerja atau faktor kewangan. Kemarahan itu dihamburkan cukup-cukup kepada anak.

Memang betul, anak mesti ditegur dan diajar jika melakukan kesalahan atau terlampau nakal. Kita pun naik rimas apabila budak-budak berlari-lari tak tentu hala dan bising di tempat makan.

Ada yang membiarkan anak walaupun anak mereka bukan sekadar bising tetapi boleh menyebabkan pekerja restoran tersadung jatuh ketika membawa makanan kerana kelasakkan mereka berlari ke sana sini. Selalunya ia dibiarkan saja oleh ibu bapa. Sekadar pandang.

“Kau tak rasa bapa dia itu penyokong Arsenal ke? Bukan main marah lagi dia pada anak bila Foden score tadi,” Tanya kawan saya. Saya diam saja. Bimbang. Nanti ada yang balik jalan kaki.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN