DI sebalik kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Melaka dengan penganjuran rumah terbuka oleh kerajaan negeri di lebih 28 lokasi, terdapat dua isu atau polemik yang timbul di tengah-tengah sambutan lebaran.
Perkara pertama membabitkan peruntukan kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang iaitu ADUN Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof.
Manakala perkara kedua melibatkan impak daripada pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan (ZBK) di Banda Hilir yang terus dibangkitkan wakil rakyat DAP.
Tuntutan terhadap pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di Melaka merupakan rentetan daripada perkembangan politik di peringkat Persekutuan, yang mana Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasar bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Kenyataan itu tidak disia-siakan Mohd. Yadzil yang merupakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menyatakan, ADUN Perikatan Nasional (PN) di Melaka juga perlu diberikan peruntukan sama seperti apa yang diputuskan kerajaan Persekutuan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Berbekalkan hujah bahawa hanya terdapat dua ADUN pembangkang sahaja, justeru faktor kemampuan bukanlah penghalang kepada kerajaan negeri untuk merealisasikannya.
Dakwanya, tambahan pula kerajaan negeri juga pastinya berkemampuan berikutan sebelum ini telah berbelanja besar bagi menyediakan kos tambahan untuk membeli kereta rasmi bagi semua timbalan Exco.
Tidak menunggu lama untuk menamatkan ‘sindiran’ dibuat Mohd. Yadzil, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh tampil menegaskan, kerajaan negeri tidak akan mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, ini kerana peruntukan untuk DUN Bemban, DUN Sungai Udang termasuk DUN Rembia disalurkan melalui Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) bagi membantu masyarakat di kawasan terlibat.
Di sebalik jawapan diberikan Ab. Rauf, muncul persoalan baharu mengenai status ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang terbukti tidak lagi menjadi Pengerusi Penyelaras Japerun Rembia.
Untuk pemahaman orang luar Melaka, jawatan Pengerusi Penyelaras Japerun lazimnya disandang ADUN kerajaan manakala bagi DUN yang dimenangi parti lawan, portfolio itu akan diberikan kepada pimpinan parti memerintah.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Muhammad Jailani mengakui beliau tidak lagi menerima peruntukan seperti diperoleh 20 ADUN Barisan Nasional (BN) dan lima ADUN Pakatan Harapan (PH) di bawah Kerajaan Perpaduan Melaka pimpinan Ab. Rauf.
Senario yang boleh disifatkan sebagai ‘luar biasa’ di mana seorang wakil rakyat kerajaan tidak menerima kemudahan seperti ‘komrad-komrad’ seangkatannya.
Bagaimanapun, ADUN Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan yang kini mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Penyelaras DUN Rembia berkata, apa yang berlaku berpunca kerana wakil rakyat sedia ada tidak turun padang membantu masyarakat.
Beralih kepada ZBK, meskipun sudah hampir 10 bulan ia dilaksanakan sejak Ogos 2023, inisiatif itu ternyata masih gagal diterima semua pihak berkepentingan terutama para peniaga dan penduduk sekitar.
Bukan sekali ia dibangkitkan wakil rakyat DAP seperti Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.
Walaupun kini PH dan BN bersama dalam satu kapal di peringkat Persekutuan dan negeri, kebersamaan untuk menyelesaikan masalah yang timbul seolah-olah tiada, memandangkan mereka masih perlu menggunakan platform sidang akhbar untuk menyuarakannya.
Misi pelaksanaan ZBK adalah amat jelas iaitu ke arah pengurangan kenderaan di sekitar Bangunan Merah atau Stadthuys demi menyelamatkan monumen bersejarah itu daripada kerosakan.
Namun, implikasi daripadanya seperti pertukaran hala jalan yang kerap berlaku lantas membawa kesan kepada masyarakat juga perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib. – UTUSAN










