ISU ejen perisikan Israel bertapak di negara tertentu sehingga merekrut orang tempatan bukanlah asing. Di negara ini pernah terjadi, berjaya dibongkar dan suspek ditangkap.
Sememangnya Zionis tidak pernah putus asa. Asal ada peluang akan cuba dirobeknya pendirian Malaysia terhadap negara haram itu. Terbaharu, penceramah pro-Israel, Dr. Bruce Gilley boleh ‘pecah masuk’ ke universiti tersohor kita, lantas menyebarkan propaganda Zionis.
Patut dijadikan pengajaran. Periksa rekodnya terlebih dahulu, tidak sesekali cuai menilai mana-mana ahli akademik jemputan yang mempunyai rekod kontroversi lampau. Tetapi penyesalan, permohonan maaf tidak berguna. Habis dilanyaknya ahli politik Islam kita yang menyokong perjuangan Palestin konon menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.
Kita umat Melayu di Malaysia harus berwaspada. Banyak pengajaran dan iktibar harus dikutip dari rantau yang aman damai ini. Bukankah Nusantara pernah dipecah-pecahkan mengikut selera kolonial semenjak 1511 hingga ke tahun-tahun merdekanya wilayah-wilayah berkenaan? Bagi tempoh 1642-1945 (303 tahun) terhadap Indonesia dan 1511-1957 (446 tahun) bagi Semenanjung.
Harus ada rasa cuak dan prasangka mengapa politik Melayu di negara ini ‘tampak’ dipecah-pecahkan. Berlarutan sampai tak sudah sehingga ke hari ini tidak mendatangkan manfaat langsung kepada rakyat.
Apa lagi bila ibu kota Indonesia yang baharu, Nusantara nanti muncul gah di Kalimantan. Kelak daya saing kita akan lebih mencabar, selain diasak Singapura, Bangkok dan Hanoi. Walau apa pun yang diutarakan sebagai mercu tanda atau tanda aras sesebuah masyarakat atau bangsa, indeks yang akan kekal tertera sebagai penentu dan cerminan ialah cara hidupnya.
Cara hidup yang dimengertikan sebagai way of life telah terbukti sebagai indeks petunjuk atau lambang penentu capaian hidup sesebuah bangsa.
Sama ada cara hidup mereka menghasilkan bibit-bibit positif yang membina, diterima umum dan berupaya mensejahterakan bangsa itu, atau sebaliknya membawa kegelisahan, konflik dan keadaan yang tidak menentu.
BERPELUK TUBUH
Sebab itu, daya menghidu ancaman geopolitik ini perlu tersemat dalam diri setiap rakyat kita. Hari ini 2024, kita tidak pernah dengar dentuman bom perang. Yang pernah merasai derita ini adalah ayah ibu tok nenek kita dulu semasa zaman keganasan komunis 1960an dan awal 70-an. Yang berlaku pun di era moden ini hanyalah insiden pencerobohan Lahad Datu kira-kira sedekad lalu. Lepas itu tidak ada.
Malah, amat jarang kita dengar di sini orang mati dibunuh setiap hari, setiap bulan macam di Mexico dan satu dua negara di rantau ini. Cuma kalau kemalangan jalan raya dan satu dua tragedi terpencil itu ada ramai terkorban. Tetapi pasal bedilan bom perang langsung tiada.
Ada ketika bila kita diasak untuk berfikir ‘apa sudah jadi dengan dunia ini’, barulah kita tahu besarnya nikmat keamanan yang kita kecapi di Malaysia ini. Lantas segera ambil iktibar, teladan dari isu-isu geopolitik yang terus membadai tanpa perikemanusiaan seperti di Gaza dan Ukraine.
Usah kita berpeluk tubuh, malas berfikir bab-bab geopolitik yang berlaku di seluruh dunia hari ini. Paling dekat dengan kita pastinya isu tuntutan bertindih dan pertembungan China-Amerika di Laut China Selatan. Itu tidak jauh dari perairan Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Terbaharu, ancaman Zionis sama ada nyata dan tidak nyata.
Ada ketika kita cuak juga, tidak pasti sama ada orang politik kita faham pasal geopolitik. Leka bermain politik bawah tempurung. Alih-alih China umumkan peta sempadannya yang terbaharu. Edisi 2023 lagi, yang ‘meletakkan’ Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Sabah dan Sarawak jajahan takluknya.
Tindak tanduk kuasa besar itu tak menghairankan kerana selama ini kita sering didendangkan dengan pencerobohan ruang udara di ZEE dan perairan Laut China Selatan.
KABUR
Kalau imbau sejarah, Tanah Melayu kehilangan wilayahnya yang lebih kecil dari Perlis pada 1960an. Disusuli kemudian pulau sebesar separuh padang bola dekat Negeri Di Ujung Tanah. Namun, mujurlah Sipadan dan Ligitan haknya kepada kita.
Bab geopolitik seharusnya menjadi perhatian serius badan tersohor kendalikan hal ehwal sejarah negara. Ia harus libatkan kepakaran antarabangsa, wilayah serta tempatan dalam apa jua program bertemakan sejarah.
Hakikatnya, terlalu banyak hal dan perkara sejarah di Sabah dan Sarawak misalnya yang masih kabur dan tidak sampai paras muktamad. Tuntutan Filipina dan geng Sulu terhadap Sabah; kesan sejarah tentang pentadbiran Brunei terhadap wilayah-wilayah Sarawak dan Sabah serta apa yang dinamakan watershed areas. Kawasan-kawasan ini yang dilakukan pemetaannya oleh Inggeris banyak yang dipertikai kerana tiadanya batu sempadan.
Itu belum lagi masuk bicara yang cukup rumit babitkan pemilikan lebih 700 terumbu, beting dan rabung yang sudah ‘ditandakan’ banyak negara di perairan luas Laut China Selatan.
Kawasan geopolitik Nusantara di Asia Tenggara sahaja melibatkan penduduk seramai 618 juta dengan keluasan 11 negara, 4.5 juta kilometer persegi. Indonesia sahaja dengan lebih 18,000 pulaunya meliputi kawasan seluas 1.9 juta kilometer persegi dan berpopulasi sekitar 280 juta orang. Sementara Malaysia berkeluasan 329,000 kilometer persegi dengan 32 juta penduduk.
Rakyat Malaysia terutama kepemimpinannya perlu sentiasa berwaspada dengan ancaman anasir luar. Perlu banyak menjelaskan dan menjawab isu-isu libatkan geopolitik berkisar pencerobohan asing di luar sana – ancaman Zionis serta kuasa besar di ruang udara Sabah dan perairan Laut China Selatan. – UTUSAN










