SUDAH dikenali di mata dunia bahawa masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, agama, budaya dan adat resam.
Orang Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah penduduk jati yang telah membina sejarah dan warisan sosiobudaya-politik di negara ini.
Sesuai dengan kedudukan bangsa Melayu dan kaum Bumiputera sebagai teras kependudukan di negara ini, maka beberapa elemen warisan sosiobudaya dan sosiopolitik dimaktubkan dalam perlembagaan seperti kedudukan istimewa raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Sungguhpun begitu kaum-kaum lain yang sejarahnya berasal dari kawasan luar dari alam Melayu (Nusantara) turut diberi jaminan hak kebebasan beragama, menjalankan kehidupan sebagai rakyat berdasarkan perlembagaan dan undang-undang negara.
Pada asasnya semua kaum dan penganut agama di negara ini hidup harmoni dan bersatu padu.
Sungguhpun begitu, adakalanya isu-isu perkauman dan keagamaan timbul apabila ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengeksploitasinya untuk kepentingan dan agenda mereka. Isu-isu sensitif berkaitan agama dan kaum yang dimainkan secara melampau boleh mencetuskan ketegangan hubungan kaum di negara ini.
Kajian yang dibuat oleh Abdul Salam Muhammad Shukri (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM, 2005) berjudul Does Religious Tension Exist in Malaysia? A Survey of Malaysian Newspaper Report on Religious Tension Incidents From 1997-2003 mendapati ketegangan agama memang wujud di Malaysia, namun masih di tahap yang dapat dikawal.
Demikian juga kajian yang dibuat oleh Thameem Ushama (UIAM, 2006), berjudul The Image of Islam and Muslims Among Non-Muslims in Malaysia mendapati ketegangan agama boleh wujud akibat dari ketidakfahaman antara penganut-penganut agama yang ada di Malaysia.
Menurut Dr. Chandra Muzaffar, dalam tahun 1990-an, isu-isu agama mempunyai pengaruh besar dalam hubungan etnik di negara ini. Menurutnya, isu-isu berkaitan sensitiviti agama begitu kritikal impaknya berbanding isu-isu lain dalam hubungan kaum.
Perlembagaan negara menggariskan secara jelas hak kebebasan beragama di negara ini.
Walaupun agama Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3), namun setiap penganut agama bebas menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan damai di negara ini.
Kita akan dapat menikmati kedamaian dan keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara sekiranya masing-masing mengamalkan ajaran agama secara positif dan menjauhi prejudis perkauman. Ironinya, pantang larang perlembagaan yang sudah jelas ini juga yang suka dipermainkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Hari ini, di era kemajuan teknologi maklumat isu-isu perkauman dan keagamaan mudah dibangkitkan dan dimainkan dengan meluas melalui media sosial. Penyalahgunaan media sosial untuk membangkitkan sensitiviti agama dan kaum menyebabkan timbulnya keresahan dalam masyarakat di negara ini.
Di media sosial ramai yang bersifat cakap sejengkal dibawa sehasta, iaitu perkara-perkara kecil suka diperbesar-besarkan.
‘ULTRA KIASU’
Ahli-ahli politik yang terlalu taksub dengan perjuangan kaumnya juga menjadi penyebab meletusnya isu-isu perkauman. Ada ahli politik yang suka mengartikulasi dan mengeksploitasi isu perkauman dan keagamaan sehingga boleh mencetuskan konflik dalam hubungan kaum.
Kerajaan yang lemah dan terpaksa bergantung kuasa kepada golongan cauvinisme yang ada dalam kerajaan juga boleh menyebabkan puak ‘ultra kiasu’ ini mengambil kesempatan mencabar dan mempertikaikan perkara-perkara berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam dari dalam kerajaan sendiri.
Golongan ‘ultra kiasu’ itu dengan kuasa yang dimiliki dalam kerajaan cenderung untuk menjayakan agenda atau kehendak-kehendak sempit mereka sendiri dan di luar semangat nasional. Situasi tidak sihat ini jika tidak dikawal dan diambil tindakan tegas maka ia mampu menggugat keamanan dan keselamatan negara.
Seharusnya kerajaan dan kepimpinan yang berwibawa mampu merapatkan rakyat pelbagai kaum dengan membentuk perpaduan yang kukuh serta erat, bukannya bercelaru dan seolah-olah hilang arah sehingga elemen etnisiti menjadi satu cabaran yang semakin berat dan sukar diuruskan dengan baik.
Pemimpin-pemimpin dalam kerajaan tidak sepatutnya menjadi pencetus kepada isu-isu perkauman.
Sepatutnya kerajaan bertanggungjawab mencari kaedah terbaik mengurus elemen etnisiti yang terdapat di negara ini secara berkesan dan bijaksana, bukannya melonggarkan ikatan-ikatan etnisiti yang sudah terikat dengan kukuh selama ini.
Sebenarnya, kita boleh hidup dengan harmoni dan aman sekiranya kita berpegang kepada Perlembagaan, kontrak sosial yang pernah disepakati bersama, melalui undang-undang negara serta menghayati prinsip-prinsip dan falsafah Rukun Negara.
Sistem pendidikan nasional satu aliran juga patut dilihat sebagai medium penting untuk membentuk generasi Malaysia yang bersatu padu dan saling bertoleransi dalam erti kata yang sebenarnya.
Saya sendiri tidak faham mengapa kerajaan sehingga hari ini tetap mempertahankan kewujudan sekolah vernakular dengan mencipta pelbagai alasan palsu.
Hakikatnya, walaupun negara merdeka lebih 60 tahun dan pelbagai usaha ‘kejuruteraan’ sosial, dibuat untuk memperkukuh perpaduan negara, terutamanya selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, namun isu perkauman masih sering meletus yang kebanyakannya mencabar sensitiviti kaum Melayu dan agama Islam. Malah turut mencabar, mempertikai dan menghina orang Melayu dan Islam.
Apapun, sebarang isu yang berbangkit seharusnya dibawa ke meja rundingan dan dialog yang sihat antara kaum dan agama kerana ia boleh menjadikan kita lebih memahami antara satu sama lain.
Jika dapat berunding dan berdialog secara sihat maka kita pasti dapat mengambil yang baik dan membuang apa yang keruh bak kata perumpamaan seperti memerah nyiur, santan diambil hampas dibuang.
Usah biarkan perpaduan nasional kita tergugat dengan isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama yang suka dimainkan oleh mereka yang memiliki minda dan jiwa kacau.
Golongan berminda dan berjiwa kacau ini sebenarnya dapat menjangkakan atau memahami risiko yang akan terjadi (calculated risk) hasil daripada permainan jahat tetapi sengaja melakukannya untuk tujuan menangguk di air keruh demi kepentingan dan agenda tertentu mereka.-UTUSAN
Penulis adalah penganalisis sosiopolitik bebas.










