Perpaduan terbentuk secara semula jadi semasa Aidilfitri

Perpaduan terbentuk secara semula jadi semasa Aidilfitri

PENDUDUK Kampung Baru Palawan dekat Langkap, Perak yang menjadi perhatian kerana usaha mereka membuka jalan tikus untuk dilalui pengguna Melayu yang mahu pulang ke ibu kota selepas cuti hari raya baru-baru ini. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH sekumpulan penduduk Kampung Baru Cina Palawan dekat Langkap, Perak yang membuka jalan pintas atau jalan tikus menggunakan jentolak bagi membolehkan pengguna kenderaan melalui jalan tikus untuk pulang ke ibu kota selepas sambutan Aidilfitri meninggalkan kesan mendalam dalam hati rakyat Malaysia.

Ramai yang menyifatkan bantuan kecil itu memberikan impak dan makna yang cukup besar terutama dalam memupuk perpaduan antara kaum.

Tindakan penduduk kampung itu yang terdiri daripada kaum Cina langsung tidak dijangka.

Ia menunjukkan mereka benar-benar ambil peduli kepayahan orang Melayu yang terperangkap dalam kesesakan trafik di lebuh raya untuk kembali ke ibu kota selepas hari raya.

Utusan Malaysia yang menemual penduduk kampung tersebut dapat merasai betapa prihatinnya mereka yang mahu membantu rakan-rakan Melayu yang memilih jalan tikus bagi mengelak kesesakan trafik di lebuh raya.

Walaupun suasana ketika itu sudah malam, iaitu kira-kira pukul 10 malam, sekumpulan penduduk sanggup membawa jentolak bagi meratakan bahagian jalan yang bercerun supaya dapat dilalui kenderaan untuk terus ke pekan Bidor dan meneruskan perjalanan ke ibu kota.

Pemandu yang melalui jalan tikus itu mengakui terharu dengan bantuan yang mereka terima yang memberi makna besar ketika bantuan seperti itu diperlukan.

Penduduk di kampung itu pula gembira kerana dapat membantu orang Melayu pulang ke ibu kota selepas menyambut Hari Raya, bantuan tanpa mengira bangsa.

Sifat mahu membantu sesama rakyat Malaysia sebenarnya begitu tinggi apabila penduduk kampung mengakui kasihan dan susah hati melihat ramai, terutama orang tua dan kanak-kanak yang terperangkap berjam-jam dalam kesesakan trafik.

“Hebat orang-orang Cina Perak. Power. Ini barulah bangsa Malaysia,” katanya seorang pengguna media sosial yang begitu terharu dengan bantuan yang diberikan oleh penduduk kampung tersebut.

Kisah itu merupakan sebahagian daripada ragam rakyat Malaysia yang menjadi perhatian warganet semasa Aidilfitri.

Kisah berbeza namun matlamatnya sama iaitu memupuk perpaduan kaum dipamerkan kaum India yang tidak kurang menjadi perhatian apabila video sekumpulan gadis India menari sambil menyanyikan lagu raya turut tular dalam media sosial.

Mereka menyanyikan lagu, Alamak Raya Lagi sambil menggayakan baju kurung dan kebaya menari menggunakan lagu itu dalam aksi klip video hari raya sehingga trending di TikTok malah merekodkan hampir satu juta tontonan dalam semua platform media sosial.

Usaha kumpulan itu berjaya menarik minat pelbagai kaum untuk bersama-sama meraikan dan memeriahkan Aidilfitri.

Pemuda India juga tidak mahu ketinggalan apabila muncul dengan rakaman sekumpulan belia memukul gendang sambil menyanyikan lagu raya.

Berdasarkan komen daripada kaum Melayu, mereka terharu dan memuji idea yang dihasilkan.

Kini, mereka tidak sabar untuk ‘membalas’ semasa Deepavali nanti untuk giliran Melayu pula memeriahkan sambutan perayaan kaum India.

Idea-idea seperti itu nampak kecil tetapi memberikan impak yang besar dalam menyemai perpaduan.

Orang Melayu ternyata amat terharu dengan cara kaum lain meraikan hari raya. Mungkin ini adalah antara cara yang berkesan untuk memupuk perpaduan kaum. Mungkin perpaduan hari ini tidak semestinya dipupuk pada penganjuran majlis sambutan perhimpunan besar-besaran.

Idea simple boleh menyentuh hati dan meninggalkan kesan mendalam untuk perpaduan antara kaum terbentuk dengan sendiri, secara semula jadi tanpa perlu dipaksa.

Apa yang berlaku bertepatan dengan pandangan seorang Exco Kerajaan negeri Perak dari DAP, Loh Sze Yee yang berkata, perpaduan rakyat Malaysia perlu terbentuk dengan secara semula jadi.
Beliau berkata, perpaduan tidak perlu sering dilaung-laungkan kerana ia sebenarnya perlu dibentuk secara semula jadi.

Kata-kata beliau itu bersandarkan pengalaman semasa zaman persekolahan, yang mana persahabatan beliau dengan rakan-rakan dari kaum lain adalah secara semula jadi yang menjadikan hubungan lebih mesra dan ikhlas.

TANGGUNGJAWAB PEMPENGARUH
Perpaduan bukan lagi sekadar kata-kata retorik dan ia perlu terbentuk secara semula jadi.

Dalam masa sama, kemunculan pempengaruh dari kalangan bukan Melayu juga boleh dijadikan elemen untuk meningkatkan perpaduan seperti Mek Yun, gadis berketurunan Cina yang fasih berbahasa Kelantan.

Pempengaruh seperti Mek Yun boleh dijadikan contoh perpaduan kaum apabila berjaya mencuri perhatian orang ramai selepas video-videonya bercakap dalam dialek Kelantan tular dalam media sosial.

Dia mengakui tujuannya itu untuk menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, walaupun bangsa berbeza tetapi masih boleh belajar tentang bangsa dan budaya lain.

Rakyat dilihat memainkan peranan menyatukan semua bangsa menerusi kandungan kreatif di media sosial tanpa menyentuh sensitiviti berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan raja.

Aidilfitri bukan sekadar sambutan keagamaan, ia adalah peristiwa menyatukan pelbagai budaya dan tradisi rakyat berbilang kaum dan agama.

Budaya ziarah menziarahi dan tradisi rumah terbuka yang diteruskan menyerlahkan semangat toleransi dan hormat menghormati yang selama ini menjadi tunjang kekuatan rakyat Malaysia.

Sambutan Aidilfitri kali ini menghadirkan hikmah yang besar buat seluruh rakyat agar sentiasa memperteguhkan sifat saling hormat menghormati, kasih mengasihi serta lengkap melengkapi antara satu sama lain.-UTUSAN

PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN