Pada 2012, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan tarikh 21 Mac setiap tahun sebagai Hari Hutan Antarabangsa. Tarikh keramat ini dipilih atas perkaitannya dengan hari pertama musim bunga di Hemisfera Utara kerana musim bunga merupakan masa pokok-pokok mulai menghijau semula dan berbunga selepas tamatnya musim sejuk.
Sambutan Hari Hutan Antarabangsa diadakan bertujuan memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kawasan hutan sebagai satu sumber yang perlu diuruskan secara mampan dan berkekalan.
Masalahnya berapa ramai rakyat kita yang sayangi hutan. Tidak ramai yang sedar kepentingan hutan secara umum. Hanya apabila berlaku bencana alam, barulah kita sedar mengenai kepentingan khazanah sumber asli ini.
Sebenarnya terdapat beberapa jenis hutan di negara ini yang boleh dikelaskan kepada beberapa faktor seperti pengaruh iklim tanah dan biotik
Malaysia merupakan sebuah negara yang paling kaya dengan biodiversiti atau dikenali sebagai wilayah biodiversiti mega (megadiverse) menjadikan hutan kita sebagai satu khazanah berharga yang perlu dijaga dan dipulihara
Ini kerana Malaysia memiliki khazanah alam yang tidak terhitung nilainya yang memberi manfaat dalam pelbagai bidang khususnya penyelidikan saintifik dan kelangsungan hidup manusia.
Justeru program penghijauan dan pemuliharaan alam sekitar perlu diperhebatkan.
Pada masa ini ada program penanaman 100 juta pokok sebagai contoh masih dipergiatkan lagi dan masih berlangsung hingga tahun 2025.
Malaysia masih mengekalkan litupan hutan lebih 52 peratus setakat ini dan jika dicampur dengan kawasan ladang sawit, sebagai contoh Malaysia dilitupi kawasan hijau mencecah 72 peratus. Namun akibat aktiviti manusia seperti untuk tujuan perladangan dan pertanian, hutan akan menjadi korban.
Benarkah kita menghargai hutan atau kita makin memanipulasi hutan untuk pelbagai kepentingan?
Jika kita terus memanipulasi hutan, berharga sangat kah hutan kepada kita? Mengambil perumpamaan bumi sebagai satu tubuh manusia, hutan adalah paru-paru kepada alam ini. Bayangkan tubuh manusia tanpa paru-paru. Itulah hutan.
Mungkin inilah signifikannya sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang disambut secara rasmi di Ipoh Perak hari ini bertemakan Hutan dan Inovasi Penyelesaian Baharu Untuk Dunia Yang Lebih Baik.
Sambutan Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini juga disambut serentak dengan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan pada 2021 yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, individu dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dijangka dilancarkan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
Setakat ini sebanyak 85.8 juta pokok melibatkan 1,814 spesies ditanam di seluruh negara menerusi program tersebut dan dijangka mencapai 100 juta pokok pada tahun ini juga. Baginda dijangka menanam pokok spesies Antiaris toxicaria, atau pokok Ipoh.yang terdapat di hutan Malaysia serta rantau ASEAN yang lain. Bandar Ipoh, Perak juga berkemungkinan mendapat nama sempena pokok tersebut. Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengetuai Jawatankuasa Teknikal Penanaman Pokok dalam kempen tersebut.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM) Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, banyak usaha kerajaan menunjukkan kita menghargai hutan tetapi ada masalah mengenai aspek pelaksanaannya.
Beberapa dasar yang diwujudkan berkaitan hutan seperti Dasar Perhutanan Negara menunjukkan kita menghargai sumber semula jadi tersebut.
Namun bagi, Meor Razak, apa makna kita ada kawasan berhutan yang berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) tetapi sebahagian guna tanahnya dilakukan aktiviti ladang monokultur (ladang hutan), perlombongan dan pengkuariaan, pertanian dan sebagainya
“Dasar di peringkat Persekutuan memang nampak memulihara hutan tetapi realiti kebanyakan negeri tidak mematuhinya.
“Sebagai contoh, Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 pada 2 Disember 2021 bersetuju secara prinsip pelaksanaan moratorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia tetapi realitinya masih ada negeri-negeri tidak mematuhi ketetapan tersebut,” ujar beliau.
Hal yang sama diakui bekas Ketua Pengarah FRIM Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor bahawa usaha pemuliharaan hutan secara lestari memang dilaksanakan tetapi berdepan kekangan kerana hutan berada di bawah kuasa kerajaan negeri.
Segelintir kerajaan negeri mungkin menggunakan hutan sebagai sumber menjana pendapatan dan ini menjadi kebimbangan kepada usaha- usaha pengurusan hutan secara lestari.
Beliau berkata, secara umumnya kebanyakan hutan kita diteroka untuk tujuan aktiviti manusia seperti perladangan sawit dan getah.
“Kita kehilangan lebih 40 peratus hutan untuk ladang kelapa sawit, getah dan pembangunan termasuk jalan,” ujar Salleh.
Beliau berkata, usaha pemuliharaan hutan wajar dilaksanakan memandangkan hutan berperanan penting dalam tiga aspek utama iaitu sebagai kawasan tadahan air, habitat haiwan liar dan ekosistem untuk kegunaan rekreasi atau pelancongan.
Malah beliau turut mencadangkan supaya cukai karbon diperkenalkan iaitu pengunjung dan pelawat yang memasuki hutan dikenakan bayaran tertentu dan kadarnya boleh dibincang antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri .
Pada masa sama, negara- negara yang memiliki hutan yang luas perlu menerima bayaran seperti pampasan kerana jasa mereka mengekalkan hutan untuk kegunaan masyarakat dunia.
Dalam pada itu, sebagai negara yang menganggotai Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Hutan (CiFOR) , Malaysia dan beberapa negara seperti Indonesia, Brazil dan beberapa negara Afrika juga perlu diberi dana bagi menjalankan penyelidikan hutan tropika.
‘Kegagalan’ kita memelihara biodiversiti boleh menyebabkan pelbagai impak seperti pemanasan global, kepupusan dan kekurangan sumber marin, menjejas hasil tanaman pertanian, konflik diantara manusia dengan hidupan liar, kepupusan spesies hidupan liar dan berbagai impak lagi
Maka, sambutan hari Hutan Antarabangsa yang akan diadakan hingga 30 April wajar membuka mata dan sedar hutan bukan sekadar khazanah alam semula jadi tetapi harta berharga yang merugikan apabila hilang. Jangan gondolkan hutan untuk keuntungan jangka pendek tetapi kita menanggung kerugian jangka panjang akibat kemusnahan alam sekitar.
Saleh turut mengesyorkan supaya program penanaman pokok hutan yang lebih pantas tumbuh diperkenalkan bagi menggantikan pokok yang ditebang akibat pembalakan. Ini kerana hutan asli secara am atau purata kadar tumbuhan dalam lingkungan dua meter padu sehektar setahun manakala bagi pokok cepat tumbuh boleh melebihi 25 meter padu sehektar setahun.
Kita sebenarnya, berhutang kepada ekosistem hutan . Banyak mana pun pokok yang kita ada sekarang, apa sumbangan setiap individu kepada hutan?










