‘Bila pula UMNO ditunggang DAP?’

‘Bila pula UMNO ditunggang DAP?’

UMNO Selangor pertahan titah Sultan Sharafuddin
MEGAT ZULKARNAIN OMARDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
MEMBESAR dalam dunia politik, DATUK MEGAT ZULKARNAIN OMARDIN melihat dengan mata sendiri bagaimana satu ketika dulu UMNO menjadi parti dominan di Selangor.

Iaitu mendominasi 54 daripada 56 kerusi parlimen, kemudian terus jatuh kepada dua kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November 2022. Ini menyebabkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu nekad melakukan perubahan drastik untuk mengembalikan semula sentuhan UMNO terutama di kawasan luar bandar.

Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia ZULKIFLI JALIL, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, FARIZ RUSODIO di Putrajaya baru-baru ini, Megat Zulkarnain menarik perhatian kewajaran UMNO mengembalikan semula tawaran 75 daripada 373 jawatan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau ketua kampung kepada Kerajaan Negeri Selangor. Beliau turut mengulas cabaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

PERANAN UMNO DALAM PRK

Kita (UMNO) kena bersetuju bahawa calon yang diketengahkan adalah calon daripada Kerajaan Perpaduan. Maknanya ia melangkaui mana-mana parti dalam kerajaan.

Pastinya Barisan Nasional (BN) yang berada dalam kerajaan atau sebahagian daripada kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memenangkan calon.

Ini antara perkara pokok yang kita mesti faham. Asasnya, kita sebahagian daripada kerajaan. Ini calon kita. Sama ada suka atau tidak, kita tak boleh kata dia calon mewakili parti-parti tertentu tapi dia calon kerajaan.

MENANGKAN DAP?

Benda ini akan dimainkan. Kita pun sudah fikir bagaimana ingin berdepan lemparan kata-kata sebegini tapi kita mesti faham ini adalah calon Kerajaan Perpaduan.

Mesti melihat mengapa kita merasakan (untuk) membenarkan andaian ini, mereka kata kita ditunggang dan dipergunakan DAP. Tak boleh ke kita melihat dari satu sudut yang lain, dengan keberadaan UMNO dalam kerajaan berjaya menyederhanakan, kita bawa politik yang moderate. Maknanya semua pihak, UMNO, DAP, PKR, Amanah (Parti Amanah Negara) dengan keberadaan UMNO dalam kerajaan boleh bawa mereka ini dalam keadaan yang sederhana.

Dan UMNO mewakili suara Melayu. Jika ada tanggapan negatif kepada DAP sebelum ini dapat kita ‘neutralize’kan. Kita dapat menyederhanakan DAP itu sendiri.
Kita fahamlah politik apatah lagi PN (Perikatan Nasional) mahu main isu-isu yang dekat dengan sensitiviti pengundi Melayu. Mereka lupa yang mereka dulu juga pernah berada dalam pakatan yang sama tetapi masa itu dengan pelbagai alasan yang lain.

3R TERUS DIPERMAINKAN

Sudah pasti. Itu strategi pembangkang untuk memainkan isu yang boleh beri kerisauan dan menakut-nakutkan pengundi Melayu seperti Islam akan terhakis, Islam akan terjejas, Melayu akan terhina.

Cuma kalau kita tengok balik, rentetan daripada apa yang berlaku seperti isu kalimah Allah pada stoking, kita nampak tiada langsung dalam kalangan mereka bagi kenyataan. Ramai orang tak perasan pemimpin Pas membisukan diri soal isu ini, pemimpin Bersatu tutup mulut bercakap soal ini.

Ketua Pemuda UMNO lantang sehingga kawan-kawan dalam Kerajaan Perpaduan tak selesa dengan kelantangan Dr. Akmal (Dr. Muhamad Akmal Saleh). Tapi itulah UMNO. Kita tidak salahkan Dr. Akmal kerana sebagai Ketua Pemuda, beliau mengatakan kerisauan dan sanggup berbuat apa sahaja demi agama, bangsa dan negara.

Sehingga beliau dinasihati dan menjunjung titah Tuanku Agong. Ramai orang tak nampak kenapa Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pas senyap dan membisu seribu bahasa sebab pada mereka undi Melayu sudah ada dengan mereka. Dan mereka sedang nak memenangi pengundi bukan Melayu. Kononya pengundi bukan Melayu akan berkata “Wah, baguslah Bersatu dan Pas seperti isu stoking kalimah Allah, mereka moderate, mereka tak bersuara, tiada keluarkan arahan boikot, tak menjadi ekstrem seperti UMNO.

Jadi, nasib UMNO ini bersuara orang marah. Tak bersuara pula orang Melayu akan kata UMNO mendiamkan diri tapi pernah tak orang Melayu tanya kenapa Pemimpin Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tak keluar satu kenyataan boikot. Begitu juga Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad tidak bersuara sebab mahu mengaburi pengundi bukan Melayu supaya melihat mereka lebih rasional, lebih moderate kerana merasakan dalam bakul sokongan mereka pengundi Melayu memang sudah ada.

Maknanya apa benda pun akhirnya mementingkan keuntungan politik. Isu agama dan kalimah Allah pun mereka boleh politikkan.

UMNO tak. UMNO, mana yang kita rasa perlu bersuara, kita bersuara. Saya minta, pengundi Melayu fikir ‘kebijaksanaan’ pemimpin PN memainkan politik dengan menggaburi pengundi Melayu dengan menggunakan isu 3R terutamanya agama untuk dapatkan sokongan orang Melayu tapi bila memang berlaku isu-isu agama,mereka mendiamkan diri, membisukan mulut sebab nak dapat undi bukan Melayu.

Mereka main politik lebih dari parti lain. Kadang-kadang kita rasa UMNO ini kesian, buat salah, tidak buat pun salah. Pada saya, yang penting Allah akan menentukan nasib kita.

 

UMNO TIDAK LAGI WAKILI ORANG MELAYU?

Selagi UMNO diserang, maknanya parti ini kuat. Selagi diserang bertali arus, selagi cuba dijatuhkan dengan apa juga alasan dan label yang diberikan itu bermakna UMNO itu kuat, keberadaan UMNO dirasai. Kalau tidak kuat atau tiada sokongan, orang tidak peduli terutama musuh politik tetapi mereka terus menyerang kerana mereka yakin UMNO masih lagi sebuah parti politik yang ada sokongan dan pengaruh tersendiri. Jadi mereka akan menggunakan apa jua keadaan, apa jua alasan sehingga melabelkan UMNO dengan apa juga nama untuk terus menyerang.

Macam kita, orang dah tak kuat, you tidak akan pukul, akan biarkan sahaja, dia tidak boleh bangun. Tetapi bila dia masih boleh beri saingan dalam politik negara, maka serangan ini akan berterusan. 

DESAKAN ZAHID LETAK JAWATAN

Nak bagi siapa? Bagilah nama siapa yang layak. Saya pernah tanya kalau Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak layak, siapa yang layak? 

Selama saya berada dalam majlis tertinggi, tidak pernah sekalipun beliau menggunakan kedudukan untuk tidak membenarkan demokrasi berlaku dalam UMNO. Pintu demokrasi sentiasa terbuka.

Kalau kita ingat yang terakhir dengan pemilihan kepimpinan UMNO daripada cawangan, bahagian hingga ke Pusat, MKT (Majlis Kerja Tertinggi) buat keputusan buka semua tapi ada 150 ketua bahagian membuat pendirian untuk tidak mahu jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan. Bukan suara majlis tertinggi dan ini berlaku dalam satu pertemuan dengan 150 ketua bahagian di Royal Chulan dan itulah keputusan yang dibawa dan akhirnya diterima. 

Ketua-ketua bahagian yang sayang kepada UMNO mewakili bahagian masing-masing menuntut agar tidak dipertandingkan tetapi Ahmad Zahid sebagai individu dan presiden parti tidak pernah menggunakan kedudukannya untuk menghalang demokrasi dalam UMNO.

PUNCA ZAFRUL UNDUR DIRI

Saya anggap sudah selesai. Kita terima perletakan jawatan beliau sebagai Bendahari UMNO Selangor.  Saya percaya beliau mungkin ada sebab-sebab tertentu, mungkin kesibukan masa kerana selalu tiada dalam negara kerana mengikut PM (perdana menteri)  ke luar negara, mungkin atas sebab itu beliau tak boleh beri komitmen kepada tanggungjawab ini. Selama saya ingat, beliau hanya dapat hadir sekali sahaja ke mesyuarat, lepas itu tidak dapat hadir dan setiap kali mesyuarat diwakili timbalan ketua bahagian.

Sebenarnya (tanggapan Zafrul bahawa perancangan kebangkitan UMNO di Selangor hambar dan tidak sehaluan dengan tema di UMNO Pusat) itu tidak betul. Kita berusaha bersungguh untuk kembalikan semula kekuatan UMNO di peringkat  akar umbi.

Saya dalam UMNO puluhan tahun. Saya melihat ketika UMNO menjadi parti dominan di Selangor, kita menang 54 kerusi daripada 56. Saya juga menyaksikan kekalahan UMNO daripada 54 tinggal 20 kerusi. Saya juga dalam UMNO dari 20 tinggal 12 kerusi, kemudian  lapan, empat dan terakhir dua kerusi. Saya melihat proses ini dan  waktu saya menjadi pengerusi perhubungan, kita hanya tinggal dua kerusi. 

Saya pastinya gunakan pendekatan berbeza dalam keadaan yang serba kekurangan. Kita tiada dana yang banyak seperti sebelum ini, tiada kedudukan kuat dalam kerajaan negeri macam mana kita pernah ada ketika menteri besar dari UMNO, kita kena buat dalam keadaan yang kita ada ketika ini.

Dengan kekurangan inilah, saya ambil alih UMNO Selangor tetapi ia tidak langsung melemahkan semangat saya dan kawan-kawan lain sebab itu Zafrul sebut tak sealiran dengan Kerajaan Pusat. Mana mungkin sebagai setiausaha politik Ahmad Zahid, saya mengemudi UMNO atau BN Selangor dengan satu cara yang bertentangan dengan apa yang dibuat Kerajaan Pusat. 

Saya percaya Zafrul merujuk kepada keputusan mengembalikan 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mengembalikan 75 jawatan ketua kampung atau Pengerusi MPKK kepada kerajaan negeri.

Sewaktu keputusan itu dibuat, Zafrul seorang sahaja tidak hadir dan sewaktu kita membuat pembentangan keputusan menyuarat perhubungan negeri kepada presiden parti, kesemua 21 ketua bahagian yang hadir mencapai keputusan sebulat suara, bukan kita serah kepada Ahmad Zahid untuk buat keputusan. 

 

KOMUNITI DESA MADANI

Kita ada 373 jawatan Pengerusi Komuniti Desa Madani yang boleh diisi kesemua pimpinan UMNO. Pada saya inilah antara perkara yang kita hendak (lakukan untuk) mengembalikan kekuatan UMNO. Dengan ruang ini, ahli UMNO di peringkat akar umbi boleh terus berkhidmat kepada masyarakat. Tang mana yang keputusan saya yang tidak ingin melihat UMNO kembali kuat?

Kalau you tanpa jawatan, rakyat tidak akan jumpa. Paling tidak dengan jawatan kecil yang ada, rakyat masih lagi berjumpa. Nak masuk anak sekolah, nak minta sokongan, bab jalan berlubang, atap bocor boleh jumpa dengan Pengerusi Komuniti Desa Madani. Dengan jawatan ini, pemimpin UMNO di peringkat akar umbi masih lagi boleh memberi perkhidmatan kepada rakyat. 

Jadi saya tak nampaklah cara melainkan, beliau ingin pemimpin UMNO duduk diam sahaja, tak berkhidmat untuk rakyat. 

Apa salahnya ada dua iaitu pengerusi MPKK yang mewakili kerajaan negeri dan Pengerusi Komuniti Desa Madani? Saya ada terbaca satu komen kononnya dengan pelantikan jawatan ini akan menghabiskan duit rakyat untuk memberi keuntungan kepada ketua bahagian. Isunya, tiada seorang pun dari mereka (ketua bahagian), timbalan dan naib ketua bahagian yang isi jawatan ini.

Lagipun peruntukan ini sudah ada dalam kementerian. Ia bukan peruntukkan atau jawatan baharu. Jawatan ini sudah ada dengan elaun RM500 sahaja manakala setiausaha menerima RM250, bukannya bajet tambahan untuk menampung pelantikan ini.

Jangan risau UMNO Selangor tidak akan membuat sesuatu yang akhirnya memerlukan dana tambahan dan menggunakan duit rakyat

Pada saya, langkah ini membolehkan UMNO terus berfungsi. Jika dilihat UMNO menang di kawasan kampung dan jika diberi peluang, maka UMNO masih hidup, orang pergi jumpa seperti pemimpin UMNO.

 

UMNO SELANGOR TAMAK?

Ada tohmahan kata UMNO Selangor tamak, ada dua persepsi saya perlu jawab.

Satu, orang kata kalau saya terima 20 (kuota kerusi ahli majlis PBT), orang akan cakap, “Inilah Datuk Megat daripada 279 kerusi ahli majlis, 20 pun dia ambil.” Maknanya UMNO  betul-betul jadi penunggang dalam kerajaan, UMNO memang takut dengan DAP, UMNO dapat begitu ‘ciput’ pun ambil , langsung tiada pertahankan maruah parti.

Tetapi bila tolak, kembalikan, mereka cakap UMNO tamak. Saya bukan tamak, saya tidak minta lebih pun sebaliknya pulangkan semula 20 kerusi untuk diisi oleh rakan-rakan dalam PH. Saya beritahu menteri besar biar majlis perbandaraan, PH uruskan tetapi biarkan kami uruskan di peringkat kampung kerana mesti diakui UMNO, suka atau tidak adalah parti  yang mempunyai kekuatan ahli terutama di luar bandar, kawasan kampung. Sehingga hari ini UMNO tak boleh dinafikan mempunyai struktur parti yang tersusun.

Jadi macam mana ahli parti nak mainkan peranan di kampung-kampung kalau tiada satu perjawatan yang membolehkan mereka menjalankan tugas dengan rakyat?

Saya memperjuangkan agar ahli-ahli kita dapat berperanan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Jadi, tak timbul soal tamak.

 

UMNO KETINGGALAN DI BANDAR?

Kita faham, minta maaf cakap, kalau dalam bahasa mudah dengan hanya ada seorang sahaja daripada 24 ahli majlis, apa peranan yang kita boleh mainkan? Tak apalah, kita bagi sokongan kepada mereka. 

Di Gombak ada 17 kampung, Shah alam ada juga beberapa kampung,  Ampang ada kampung tradisi, bolehlah kita berperanan. Maknanya sentuhan pemimpin UMNO masih dirasai, dari langsung tiada.

Ahli majlis pula hanya beroperasi dalam zon tertentu sahaja. Saya buat andaian katakan zon itu kecil, dia bukan boleh pergi ke zon lain. Berbeza pula dengan ada 17 kampung dalam kawasan Parlimen tersebut. Di Gombak ada tiga DUN (Dewan Undangan Negeri) iaitu Hulu Kelang, Gombak Setia dan Sungai Tua. Tiga-tiga DUN ini ada kampung, jadi boleh main di seluruh kampung dan saya percaya di semua bahagian.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini