Azerbaijan rayu perhatian dunia

Azerbaijan rayu perhatian dunia

PERIUK api yang diletakkan Armenia menjadi masalah besar kepada Azerbaijan hingga ke hari ini. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 4 April setiap tahun menandakan sambutan Hari Kesedaran dan Tindakan Periuk Api Sedunia. Sempena sambutan itu, Azerbaijan yang berhadapan dengan isu periuk api selepas krisis dengan Armenia menyeru masyarakat antarabangsa supaya tidak menutup mata mengenai pelanggaran negara itu terhadap kewajipan antarabangsanya.

Ini termasuk dasar Armenia yang dengan sengaja meletakkan periuk api, menghalang kepulangan orang yang dipindahkan kembali ke kampung halaman dan enggan memberikan maklumat mengenai lokasi periuk api yang ditanam dengan tepat.

Azerbaijan menghadapi cabaran besar akibat pencemaran periuk api dan sisa letupan perang (RW) hampir tiga dekad pendudukan tentera oleh Armenia.

Azerbaijan adalah antara negara yang paling banyak dicemari dengan periuk api di seluruh dunia, dengan kira-kira 1.5 juta periuk api dan jumlah peluru yang tidak diketahui pula mencemari kira-kira 12 peratus wilayah negara itu.

Wilayah Karabakh dan Zangazur Timur Azerbaijan dipasang periuk api secara intensif sejak 1990-an oleh angkatan bersenjata Armenia.

Berikutan pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991, Armenia melancarkan serangan ketenteraan berskala penuh terhadap Azerbaijan. Perang berdarah itu berlarutan sehingga gencatan senjata dicapai pada 1994 dan menyaksikan Armenia menduduki 20 peratus wilayah Azerbaijan.

Lebih 30,000 rakyat Azerbaijan terbunuh, hampir 4,000 hilang dan satu juta diusir dari negara tersebut dalam kempen pembersihan etnik yang kejam dijalankan Armenia.

Pada 27 September 2020, konflik yang telah lama berlarutan apabila tentera Armenia, yang ditempatkan secara haram di tanah Azerbaijan yang diduduki, menyerang kedudukan tentera dan penempatan awam Azerbaijan.

Dalam serangan balas 44 hari, tentera Azerbaijan membebaskan lebih daripada 300 penempatan, termasuk bandar Jabrayil, Fuzuli, Zangilan, Gubadli, dan Shusha, daripada pendudukan Armenia.

Perang berakhir pada 10 November 2020, dengan kenyataan tiga pihak yang ditandatangani oleh Armenia, Azerbaijan, dan Rusia.

Namun, ia tidak berakhir begitu sahaja kerana legasi yang ditinggalkan ialah perangkap maut yang telahpun membunuh ribuan orang awam Azerbaijan.

Ini menimbulkan risiko serius kepada orang awam dan menghalang pembangunan sosioekonomi.

Pada mulanya, Armenia menyatakan tidak mempunyai peta lokasi periuk api yang dipasang di wilayah Azerbaijan. Selepas itu mereka menyatakan sedia memberikan beberapa peta, tetapi ketepatannya sangat diragui.

Sejak berakhirnya perang pada 2020 hingga 4 April 2024, sebanyak 206 insiden letupan periuk api berlaku, dengan 350 warga Azerbaijan menjadi mangsa. Daripada jumlah itu 65 orang daripadanya terbunuh, 285 cedera parah, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Sepanjang 30 tahun yang lalu, jumlah korban periuk api di Azerbaijan mencecah 3,429 orang.

Dengan berakhirnya perang pada 2020 menandakan permulaan usaha untuk membersihkan periuk api secara meluas di Azerbaijan. Ia untuk mengembalikan keselamatan di wilayah yang telah dibebaskan, memudahkan pembinaan semula kawasan-kawasan itu dan membolehkan mereka yang menjadi pelarian akibat perang dipindahkan kembali ke kampung halaman dengan selamat.

Agensi Tindakan Periuk Api Republik Azerbaijan diwujudkan dan agensi kerajaan lain turut mengambil bahagian dalam tindakan membersihkan senjata tersembunyi itu.

Bantuan asing menyumbang hanya lima peratus daripada sumber yang dikhaskan untuk proses pembersihan perangkap berbahaya itu.

Ini adalah sangat rendah, memandangkan cabaran penghapusan jerangkap yang dihadapi sangat berat dan jika dibandingkan dengan tahap sumbangan yang biasanya dilakukan oleh komuniti penderma antarabangsa dalam isu yang sama di tempat lain.

Keengganan Armenia untuk menyerahkan peta periuk api yang dipasang dengan tepat menyukarkan usaha membersihkan jerangkap dan menghalang kepulangan 800,000 mangsa perang ke rumah mereka.

SOKONGAN POLITIK ANTARABANGSA
Memandangkan kesan buruk kemanusiaan cukup besar dan fakta bahawa pencemaran periuk api yang berterusan menimbulkan cabaran kepada usaha untuk mencapai keamanan dan perdamaian, Azerbaijan bergantung pada sokongan politik yang praktikal daripada masyarakat antarabangsa dalam usaha memusnahkannya.

Dalam hal ini, ungkapan solidariti manusia dengan Azerbaijan dalam menangani masalah serius ini dan mendesak Armenia untuk menyerahkan peta periuk api yang tepat di wilayah yang pernah didudukinya sangat penting untuk kestabilan serantau.

Ia juga penting untuk memberikan bantuan praktikal untuk usaha membersihkan periuk api.

Memandangkan kapasiti institusi dan rangka kerja latihan Azerbaijan yang agak maju, bentuk bantuan paling kritikal yang diperlukan pada peringkat ini ialah sumbangan kewangan langsung untuk meluaskan skop operasi.

Keutamaan lain termasuk bantuan kepada mangsa periuk api, tinjauan teknikal dan kajian kebolehlaksanaan, pengurusan data dan kemajuan teknologi, penggunaan metodologi geospatial dan teknologi permukaan untuk menambah baik keperluan pembersihan, sokongan untuk pasukan wanita, penambahbaikan mekanikal periuk api, latihan anjing pengesan, persempadanan dan pengepungan serta pendidikan risiko senjata letupan.

Malangnya, kecuali beberapa negara, masyarakat dunia berdiam diri sebagai tindak balas terhadap keganasan Armenia terhadap Azerbaijan.

Negara dan organisasi yang banyak bercakap tentang hak asasi manusia tidak bertindak balas terhadap keganasan Armenia melalui pemasangan periuk api itu dan tidak meminta Armenia untuk menyerahkan peta lokasinya kepada Azerbaijan.

Ini menunjukkan Armenia juga tidak menghormati undang-undang antarabangsa.

Sebagai sebuah negara yang mesra dan bersaudara, Malaysia diharap menyokong Azerbaijan dalam perkara ini. Menyediakan sokongan berdasarkan kedua-dua struktur kerajaan dan negara serta masyarakat sivil, selain sebagai tanda persahabatan dan persaudaraan, yang mana ia boleh menjadi sumbangan penting kepada pembebasan wilayah Azerbaijan daripada ancaman periuk api dengan lebih cepat.

Ini bagi menyediakan suasana kehidupan yang kondusif serta aman kepada rakyat di kawasan yang dibebaskan dan untuk membolehkan mereka pulang ke kampung halaman tercinta bagi memulakan kehidupan baharu.-UTUSAN

PENULIS adalah Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN