Ramadan bukan asbab melayan hawa nafsu

Ramadan bukan asbab melayan hawa nafsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN sudah tiba lagi. Ketibaan bulan mulia yang penuh barakah ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh umat Islam seluruh dunia. Bagi kebanyakan kita, kedatangan Ramadan turut membawa kembali berbagai-bagai kenangan yang menyentuh hati.

Bagi perantau, kerinduan kepada ibu bapa, kaum keluarga dan kampung halaman semakin membara, lebih-lebih lagi ketika berbuka puasa dan bersahur. Siapa yang tidak akan merindui juadah air tangan ibu, ditambah lagi dengan kemeriahan berbuka bersama-sama ahli keluarga?

Di ibu kota, suasana menyambut Ramadan begitu meriah sekali. Bazar-bazar Ramadan dan gerai-gerai makanan muncul di mana-mana, bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Bagi yang mampu, pilih dan beli sahaja apa yang berkenan di hati.

Ada yang tidak mahu terlalu berkira tentang perbelanjaan ketika berpuasa. Mahal sedikit pun tak apa, apatah lagi jika ia tular di media sosial, pasti ramai yang sanggup beratur panjang untuk membeli.

Ramadan sering membawa kembali nostalgia dan memori lalu. Pelbagai kenangan lama akan kembali terbayang di mata. Kita merindui insan-insan tersayang yang telah pergi meninggalkan kita dan ramai yang tercari-cari makanan orang lama-lama yang pernah dihidangkan nenek kita suatu masa dahulu.

Ketika inilah makanan-makanan tradisional banyak dijual di bandar-bandar besar. Negara kita sememangnya kaya dengan makanan tradisional yang lazat dan unik, yang patut dipromosikan dan diperkenalkan kepada dunia luar.

Setiap negeri pasti mempunyai hidangan berbuka puasa istimewa masing-masing dan inilah yang sering dicari-cari sebagai juadah berbuka.

Sewaktu kecil, kami biasanya pulang ke kampung seminggu sebelum tibanya hari raya. Ketika berbuka puasa, nenek akan menyajikan pelbagai juadah dan kuih-muih tradisional kegemaran kami. Seronoknya masih terasa apabila mengimbau kenangan manis bersama arwah atuk dan nenek.

Kami turut diperkenalkan juadah tradisional yang tidak kami kenali, begitu juga dengan buah yang jarang dijumpai di kota raya, contohnya buah katak puru.

Adakala, pada mulanya teragak-agak juga kami untuk mencuba sesuatu yang nampak asing di mata, namun ibu sentiasa memastikan kami menjamahnya biarpun sedikit, agar kami kenal akan warisan budaya bangsa.

Sering mendengar kakak-kakak seronok bercerita tentang pengalaman mereka berpuasa, saya menjadi tidak sabar untuk turut sama merasai pengalaman hebat itu. Awal belajar berpuasa, ibu memujuk saya untuk ‘bersahur’ pada waktu tengah hari sebelum menyambung puasa sehingga waktu berbuka.

Ketika itu, puasa bagi saya ialah satu ibadah yang sangat istimewa, maka hebat rasanya apabila boleh turut sama berpuasa. Seperti kanak-kanak lain, saya sangat teruja berbuka setelah seharian berpuasa untuk pertama kalinya.

Oleh kerana saya tidak perlu dipaksa untuk berpuasa, maka tiada sebab bagi saya untuk curi-curi makan atau minum.

Saya mula ikut-ikut bertarawih di rumah pada usia empat tahun, namun hanya pada usia lima tahun, barulah ayah membenarkan saya mengikutinya bertarawih di surau.

Pengalaman pertama bertarawih secara berjemaah di surau saya rasakan begitu menakjubkan sehingga sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Masih segar dalam ingatan, ketika berjalan pulang ke rumah, saya sibuk bercerita sambil mengajukan berbagai-bagai soalan yang berkaitan kepada ayah.

Tiba-tiba terdengar jeritan memberi amaran ada mercun dilempar ke arah kami. Ayah segera menarik saya dan mujurlah kami sempat mengelak daripada terkena mercun yang meletup di sebelah kami.

Sebaik tiba di rumah, saya bercerita kepada ibu betapa kesal dan marahnya saya apabila memikirkan ada orang yang sanggup melakukan perbuatan buruk seperti itu.

Tentu ada sesuatu yang sangat tidak kena pada seseorang apabila merasa seronok melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain, apatah lagi di bulan Ramadan.

Saat itu, saya telah didedahkan tentang kepentingan menjaga kemampanan alam sekitar. Bagi saya membakar mercun pun salah, ia bukan sahaja seperti membakar duit tetapi turut mencemarkan udara dan alam sekitar. Apatah lagi membaling mercun yang sedang terbakar ke arah orang lain.

Sejak awal, ibu bapa menjelaskan mengapa kami dilarang bermain mercun. Malah, ketika keluarga berkumpul, kami tidak ikut tatkala mereka membakar mercun dan bermain bunga api di luar kerana kami tidak mahu meraikan aktiviti yang negatif dan memudaratkan.

Justeru, kejadian dibaling mercun ketika pulang bertarawih di surau itu lebih membuka mata saya tentang keburukan kegiatan sebegitu.

 

RAMADAN bukannya pesta melayan hawa nafsu dengan melakukan pembaziran makanan dan duit sebaliknya gunakan peluang pada bulan mulia ini untuk menginsafi golongan susah. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR

 

BAZIR
Kami juga diterangkan tentang pembaziran yang biasa berlaku ketika membeli makanan dan ketika berbuka di restoran atau membeli-belah di bazar, yang mana sering kali banyak makanan terbuang begitu sahaja kerana tidak dapat dihabiskan.

Saya akan merasa sedih memikirkan apa yang akan berlaku kepada bumi akibat terlalu banyak sampah yang dibuang, walhal baki makanan kita sepatutnya disimpan untuk dimakan lagi pada masa yang lain.

Itulah cara ibu bapa mendisiplinkan kami apabila berkunjung ke bazar Ramadan yang mana semuanya nampak menyelerakan. Lebih-lebih lagi apabila disambut deretan air balang berwarna-warni pada hari yang panas ketika kita sedang berpuasa.

Ramadan sepatutnya mendidik kita erti kesabaran dan pengorbanan. Ia bukannya satu pesta melayan hawa nafsu, lantas membazir dan membuang makanan dan duit. Kita juga harus insaf melihat mereka yang hidupnya lebih susah daripada kita.

Semoga Ramadan ini membawa perubahan ke arah yang lebih baik kepada kita semua. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Semoga negara kita lebih makmur dan aman, tanpa persengketaan yang akhirnya hanya akan menghancurkan segalanya.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN