OpenAI, syarikat bertanggungjawab membangunkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) ChatGPT, sedang membangunkan satu lagi aplikasi dipanggil Sora, aplikasi model AI generatif yang berupaya menghasilkan video dengan menggunakan kata arahan teks atau prompt.
Aplikasi ini dilatih dengan data gambar yang luas untuk memilih elemen visual, warna dan komposisi bagi menghasilkan video dikehendaki pengguna. Sebagaimana penggunaan Midjourney, aplikasi AI yang digunakan bagi tujuan penjanaan imej pegun menggunakan prompt, Sora berupaya menghasilkan video melalui arahan teks sama ada dalam bentuk plot atau sinopsis.
Penggunaan Sora bakal menyediakan ruang kepada pengguna mempelbagaikan kandungan video untuk tujuan pendidikan, pemasaran mahupun hiburan mengikut daya imaginasi masing-masing tanpa peruntukan besar melibatkan peralatan kamera dan lain-lain. Namun begitu aplikasi ini masih di peringkat prototaip serta penggunaan nama Sora hanyalah sebagai bentuk kod rujukan projek serta OpenAI masih belum menetapkan tarikh untuk pelancaran rasmi aplikasi ini.
Sedutan keupayaan aplikasi Sora walau bagaimanapun telah ditunjukkan dalam bentuk video pendek di laman web OpenAI pada November 2022 lalu.
Teknologi AI dinyatakan ini hanyalah secebis dari keupayaan AI yang dapat dikaitkan dengan penggunaan dalam bidang seni budaya dan kandungan kreatif kerana pada masa kini terdapat lebih dari 10 jenis aplikasi yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut.
Realiti sebenar ialah kemaraan teknologi AI tidak dapat lagi dibendung dan tidak terhad hanya dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perkilangan tetapi turut digunakan dalam industri kreatif dan seni budaya. Atas faktor ini juga semua pihak perlu mengambil inisiatif mempelajari atau setidak-tidaknya mengetahui keupayaan AI mempengaruhi kehidupan masa kini.
Dalam konteks ini juga penggiat seni budaya tidak harus duduk diam dan membiarkan diri ketinggalan dalam proses pendigitalan melalui teknologi AI. Mereka perlu berani melibatkan diri dengan mempelajari pengetahuan tentang AI ke tahap optima untuk berupaya menghasilkan karya seni yang relevan di era kini.
Cetusan ilham imaginasi yang menggabungkan pemikiran kreatif dengan estetika seni budaya tempatan dapat membantu menghasilkan prompt bagi mencipta karya yang luar biasa menggunakan aplikasi tersebut.
Penggiat seni tidak lagi terasa terbeban untuk mencari ilham atau berhadapan dengan kekangan kreativiti. Untuk tujuan itu, mereka perlu mempunyai iltizam serta keinginan mempelajari serta mengadaptasi perubahan yang sedang berlaku di persekitaran mereka.
UNDANG-UNDANG
Di sebalik kecanggihan dan keterujaan terhadap keupayaan teknologi AI membantu menghasilkan sebuah karya seni, timbul isu etika serta hak cipta karya yang dijana teknologi AI.
Walaupun penggunaan teknologi AI untuk penghasilan karya seni kreatif membuka banyak peluang baharu, ia juga mempunyai cabaran tersendiri dalam aspek etika dan undang-undang berhubung hak cipta karya. Salah satu isu utama adalah mengenai hak cipta ke atas karya yang dihasilkan oleh AI.
Perdebatan ini masih berlaku memandangkan konsep keaslian dan kreativiti dalam undang-undang hak cipta tradisional dicabar oleh karya yang dihasilkan oleh mesin.
Terdapat kebimbangan terhadap potensi mencetuskan unsur tidak adil dan ketidaksaksamaan hasil karya AI jika sesuatu set data latihan mengandungi unsur-unsur stereotaip kepada tertentu.
Selain itu terdapat keperluan mendidik penggunaan AI secara berhemah, khasnya untuk tujuan penghasilan kandungan kreatif untuk mengelakkan dari disalahguna untuk tujuan memudaratkan seperti penipuan atau penghasilan kandungan berbahaya.
Kesimpulannya, walaupun aplikasi Sora adalah perkembangan AI kreatif tetapi ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para penggiat seni dengan mengimbangi peluang inovasi baharu dan menangani cabaran etika dan undang-undang yang wujud.
Kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan seperti pengembang AI, pengguna, peguam, wakil penggiat seni dan badan pengawal atur diperlukan untuk mewujudkan garis panduan dan peraturan yang komprehensif.
Hanya dengan cara ini, kita dapat mengeksploitasi potensi teknologi AI secara optimum sambil melindungi hak dan kepentingan semua pihak yang terlibat dalam ekosistem kreatif yang semakin berkembang ini.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Produk Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara.










