Apabila ada ujian pengesan penipuan untuk kaki cemburu - Utusan Malaysia

Apabila ada ujian pengesan penipuan untuk kaki cemburu

Debbi Wood menuntut suaminya Steve menjalani ujian mengesan penipuan. - Agensi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelik perangai manusia zaman sekarang. Macam-macam perkara akan dilakukan jika berasa cemburu dengan pasangan.

Cemburu yang dimaksudkan adalah cemburu yang disyaki dicurangi, bukan disebabkan kejayaan dalam sesuatu perkara. Kalau cemburu akibat kejayaan, hal itu membina.

Dalam laporan berita sebelum ini, ada kes cemburu yang sampai ke tahap terjun dari jambatan atau bangunan, malah ada yang sanggup terjun dari kereta untuk menunjukkan tanda protes dan tidak suka hati disakiti.

Cemburu sebegini amat parah dan payah. Buat sakit badan sendiri sahaja. Sungguhlah tidak berbaloi hanya kerana cemburu membabi buta. Itu pun sekiranya tidak terus ke alam barzakh.

Bagi kebanyakan suami, sering kali jenaka yang selalu menjadi siulan rakan-rakan adalah terpaksa tidur di luar rumah gara-gara isteri cemburu atau protes akan sesuatu.

Apa pun cemburu itu tandanya sayang. Sikap cemburu itu kalau bersederhana, ia akan menjadi positif, manis dan tidak menyakitkan. Jadi, bersederhanalah.

Minggu ini saya ingin mengutarakan mengenai kisah seorang wanita dari United Kingdom yang digelar wanita paling cemburu di dunia.

Wanita ini dikatakan menuntut suaminya mengambil ujian pengesan penipuan setiap kali keluar rumah sejak beberapa tahun lalu.

Dalam temu bual dengan saluran ITV, Debbi Wood juga memberitahu sentiasa menyemak rekod panggilan dan mesej di telefon pintar serta penyata bank milik suaminya, Steve.

Tidak dapat dibayangkan sekiranya hal sebegini berlaku kepada diri kita. Hidup diibaratkan dibayangi misteri. Misteri oleh si Queen Control.

Namun, tidak dapat dinafikan ramai juga dalam kalangan lelaki yang kaki cemburu. Malah, tahap cemburunya mungkin melebihi wanita. Buruknya.
Namun, saya yakin para wanita Malaysia mungkin ada yang bersetuju dengan tindakan Debbi berkenaan.

Ya lah, tindakan sebegitu konon-kononnya dapat mengikat kenakalan pasangan.
Debbi berkata, idea membeli ujian pengesan penipuan muncul selepas suaminya, Steve menyebut tentang alat itu untuk membuktikan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika disoal siasat pada awal hubungan mereka.

Ketika itu, katanya, mereka menjalin hubungan jarak jauh.

Debbi cuba merasionalkan tindakannya dengan menyifatkan suaminya adalah seorang lelaki yang terlalu baik.

Malah, Debbi turut mengakui bergelut dengan rasa cemburu keterlaluan terhadap Steve dan turut mengehadkan rancangan yang boleh ditonton lelaki itu di televisyen selain memasang tapisan untuk kanak-kanak pada komputer riba dan emel suaminya.

Debbi dikesan menghidap sindrom Othello yang melibatkan rasa cemburu tidak rasional dan obsesif terhadap pasangan.

Azman IBRAHIM ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN