TUMPAT: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengenal pasti kekosongan asrama di beberapa sekolah sebagai persediaan untuk menempatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir.
Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, langkah itu bagi memastikan calon SPM yang terjejas akibat banjir dapat dipindahkan ke lokasi lebih selamat sebelum menduduki peperiksaan.
Menurutnya, pemindahan calon berkenaan mungkin dilakukan lebih awal sebelum peperiksaan bertulis bermula bergantung kepada situasi semasa.
“Bagaimanapun, tindakan itu bergantung pada keadaan semasa kerana banjir merupakan bencana yang sukar dijangka.
“JPN Kelantan membuat persiapan awal setiap tahun bagi memastikan calon SPM tidak terjejas akibat bencana banjir, termasuk menyediakan penempatan alternatif di sekolah yang kurang berisiko,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Pekan di sini, hari ini.
Siti Norina memberitahu, seperti tahun-tahun sebelum ini, pihaknya sudah menempatkan calon lebih awal di sekolah yang kurang berisiko seperti di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah di sini dan SMKA Lati, Tumpat.
Katanya, persiapan menghadapi musim tengkujuh pada tahun ini sudah dilaksanakan dan JPN Kelantan turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam bagi memastikan tiada calon SPM terkandas akibat banjir. – UTUSAN











