Adakah silibus, kurikulum sesuai untuk keperluan kerjaya 2040?

Adakah silibus, kurikulum sedia ada sesuai untuk keperluan kerjaya 2040?

PEMBAHARUAN kurikulum 2027 bukan sekadar pendidikan digital atau pendidikan karakter sahaja tetapi memahami kondisi masyarakat di tahun-tahun mendatang. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJUMLAH 5,055,784 murid memulakan persekolahan bagi sesi 2024/2025 minggu ini bagi semua peringkat di prasekolah, sekolah rendah dan menengah.

Proses pembelajaran dan pengajaran akan diteruskan di 10,232 sekolah di seluruh negara di bawah sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan mengikut hala tuju reformasi pendidikan negara yang dirancang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pendidikan manusiawi yang ditekankan Kerajaan Madani bagi memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua dan tiada siapa terpinggir perlu dilaksanakan secara holistik baik di 5,926 sekolah bandar mahupun di 4,332 sekolah luar bandar.

Keterlibatan seramai 413,459 guru berperanan penting dalam merangka pembelajaran dan pengajaran (PdP) mengikut tuntutan dunia pendidikan masa kini yang bukan lagi sekadar mengajar tulis, baca dan mengira tetapi pelbagai dimensi dan potensi murid perlu diterokai.

Tempoh tiga tahun menjelang pelaksanaan kurikulum baharu 2027 menjadi tempoh percubaan penting yang bermatlamat melahirkan insan sejahtera melalui beberapa pendekatan baharu termasuk memberi fokus pendidikan karakter.

Tiga pendekatan baharu akan diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 melibatkan pendidikan karakter, penekanan literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu selain melaksanakan Dasar Pendidikan Digital (DPD) untuk melahirkan generasi fasih digital dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan era ekonomi digital.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman berkata, bermula tahun ini, semua pentadbir sekolah perlu memastikan arahan KPM dilaksanakan sepenuhnya yang memberi kuasa autonomi kepada guru dalam perancangan dan pelaksanaan proses PdP dalam bilik darjah.

Guru boleh menilai potensi murid dengan mengambil kira latar belakang mereka, persekitaran dan sumber yang ada dan memilih pendekatan, strategi pelbagai serta sesuai dengan minat, bakat dan gaya pembelajaran dan potensi murid.

“Guru boleh melihat kurikulum sedia ada dan ubah suai secara anjal mengikut kesesuaian pelajar tersebut di mana guru berada dalam persekitaran sekolah untuk menentukan kesesuaian tersebut.

“Cara PdP guru diberi kuasa untuk menentukan teknik apa nak mengajar dalam bilik darjah, pentaksiran yang bersesuaian supaya isu-isu sekarang seperti silibus tinggi atau masalah akses pelajar di kawasan pedalaman dapat dilaksanakan melalui kebijaksanaan guru dengan adanya autonomi itu,” katanya.

Fungsi guru untuk mendidik perwatakan yang merupakan antara elemen kurikulum 2027 perlu dikembalikan semula kerana guru-guru hari ini banyak menghabiskan masa dengan bebanan tugas bukan pengajaran.

Guru-guru adalah kumpulan fokus utama yang perlu diberi pemahaman tentang pelaksanaan kurikulum 2027 dan tempoh tiga tahun ini adalah masa terbaik dalam proses rintis memahami kurikulum tersebut sebagai tempoh percubaan, penyesuaian, pemerhatian dan tambah baik sebelum tempoh sebenar dilaksanakan.

“Sekolah boleh mula mencuba mana-mana pendekatan yang dicadangkan dalam kurikulum itu kepada pelajar mereka terutama soal penekanan kemahiran insaniah dan perwatakan adalah dominan selain akademik mengikut pendekatan kurikulum itu.

“Pelajar hari ini lebih ke depan kerana didedahkan dengan penggunaan internet. Jadi guru perlu mahir mengajar bukan hanya pegang buku teks, tetapi lebih kepada fasilitator kerana potensi pelajar adalah berbeza dan pendekatan harus berlainan.

“Jadi sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang digunakan sekarang menilai keupayaan murid secara holistik bukan semata-mata bersandarkan akademik. Namun ramai masih tidak faham sistem ini jadi ia nampak cacat,” katanya.

Murid Tahun 1 yang mula sekolah hari ini akan tamat persekolahan pada 2035 dan akan bergraduan pada 2040.

Dalam perkembangan masa depan, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad mempersoalkan, adakah kurikulum dan silibus sedia ada sesuai untuk keperluan kerjaya anak-anak pada 2040 nanti?

Jika kurikulum 2027 masih kekal dengan matlamat, kandungan, bentuk PdP dan pentaksiran seperti Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Menengah (KSSR) dan (KSSM) pastinya anak-anak kita akan ketinggalan.

“Penyediaan kurikulum 2027 mestilah melalui proses reformasi total, bukan sekadar mengubah sedikit sebanyak di sana sini, menambah baik mana yang kurang atau sekadar menempel supaya nampak cantik.

“Kurikulum 2027 mestilah mereformasikan matlamat, kerangka, isi kandungan, PDP dan pentaksiran yang diamalkan sekarang. Asas kurikulum 2027 mestilah jelas. Penglibatan ibu bapa dan komuniti mesti lebih besar,” kata Anuar.

Pembaharuan kurikulum 2027 bukan sekadar pendidikan digital atau pendidikan karakter sahaja tetapi mesti benar-benar memahami kondisi masyarakat di tahun-tahun mendatang.

“Penggubal kurikulum 2027 mesti arif tentang cabaran globalisasi, digitalisasi, konsumerisme, perubahan teknologi, amalan demokrasi, dan bentuk kewarganegaraan yang multidimensional. Tidak mudah untuk sediakan kurikulum masa depan,” katanya. – UTUSAN

MAISARAH SHEIKH RAHIM ialah Koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×