SEMUA pihak disaran memberi perhatian serius kemunculan 2050 yang dikaitkan dengan peningkatan paras laut. Pakar pelbagai disiplin dari universiti, institut penyelidikan dan industri mengunjurkan pinggir laut, bandar pelabuhan, delta, tanah rendah dan gugusan pulau bakal ditenggelami air laut akibat limpahan air batu cair di seluruh dunia.
Menurut beberapa jurnal dan portal, pemanasan global menyebabkan air batu di Artik, Antartika, Greenland selain puncak gunung serta lembah glasier cair. Jika semua air batu itu cair, paras air laut bakal meningkat sehingga 80.32 meter daripada paras sekarang.
Malaysia pada 2050 dijangka kehilangan lebih 1,300 kilometer pantainya. Hakisan pantai dan air laut menelan tanah berpuluh kilometer ke daratan.
Hutan bakau, perkampungan, tempat kediaman, pekan, pangkalan, pelabuhan selain bandar pelabuhan di pinggir pantai lenyap atau berada dalam laut kira-kira 26 tahun lagi. Kemusnahan turut melibatkan rangkaian jalan dan lebuh raya, sekolah, jambatan, kedai dan kompleks mahupun binaan serta aset lain.
Sekurang-kurangnya lima kawasan di Malaysia iaitu pantai dan tanah rendah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor serta Kelantan tenggelam akibat pandemik alam menjelang 2050.
Namun jika merujuk portal penyedia sistem pemetaan web membabitkan peta ketinggian dan kenaikan aras laut global, hampir seluruh pantai di negara ini mengalami musibah serupa.
Seterusnya, Malaysia akhir abad ini (tahun 2100) diunjurkan menduduki senarai ke-16 daripada 20 negara terjejas teruk akibat peningkatan paras laut dan melibatkan kira-kira 1.2 juta penduduk.
Kenaikan paras laut global bagi tempoh 1990-2100 dijangka setinggi 18-59 cm. Nilai aset global yang terdedah ancaman atau musnah ketika itu dianggarkan ratusan trilion dolar.
Seramai 147 hingga 216 juta warga global dijangka terkesan akibat ‘ulangan tragedi Atlantis’ itu. Lebih 50 kota dan bandar pelabuhan menjadi tukun serta 420,000 kilometer persegi muka bumi lenyap ditelan laut.
Realitinya jalur pantai dan delta yang tenggelam adalah zon produktif menghasilkan bekalan makanan negara khususnya jelapang padi di Selangor, Perak dan Kedah yang menghasilkan lebih 70 bekalan beras negara.
Aktiviti akuakultur serta penghasilan telur, daging, sayur dan buahan turut diusahakan di zon itu. Jalur sama juga pengeluar utama komoditi negara iaitu kelapa, kelapa sawit, koko, nanas dan getah.
Laporan NAHRIM
Rata-rata jurnal, laporan pakar dan jawatankuasa khas antarabangsa mengenai ancaman kenaikan paras laut ini menyarankan kita melaras serta mengadaptasi situasi melibatkan beberapa strategi khususnya membina struktur pertahanan dan berasaskan alam seperti landskap hutan bakau dan nipah yang dapat menampan sekali gus menyerap hakisan ombak serta limpahan air laut.
Berpindah atau menghindari secara berperingkat dari zon tenggelam ke garis pantai yang baharu adalah perkara utama mesti dilakukan. Proses itu memerlukan kesungguhan politik untuk menyediakan pelan dan stratregi mahupun peruntukan besar selain tapak, kemudahan asas serta logistik untuk membangunkan kehidupan baharu di lokasi selamat.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan memperuntukkan RM22 bilion bagi membiayai Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang turut merangkumi projek tebatan pantai. Justeru, pelaksanaan RTB boleh dijadikan asas kajian bagi meningkatkan keberkesanan pelan dan strategi baharu menguruskan bencana limpahan air laut yang semakin parah menjelang 2050.
Kerajaan juga perlu meneliti semula laporan ‘Kesan Perubahan Iklim: Unjuran Kenaikan Aras Laut Bagi Laporan Akhir Malaysia 2017’ yang disediakan Pusat Penyelidikan Pantai dan Oseanografi, Institut Penyelidikan Hidraulik Negara Malaysia (NAHRIM). Laporan itu penting dalam memberi input dan pemahaman semua pihak.
Namun ada keperluan menambah baik laporan NAHRIM itu dengan fakta, info dan dapatan baharu menerusi kajian membabitkan skop lebih luas serta mendalam. Pelan dan strategi baharu lebih ampuh perlu disedia serta dilaksanakan segera memandangkan peningkatan paras laut tidak dapat dielakkan sekali gus perlu diurus dengan apa jua kudrat dan kos.
Pasukan Petugas Penyelidik dan Teknikal Kebangsaan baharu perlu ditubuh bagi menyediakan Kertas Putih Ancaman Limpahan Air Laut 2050 atau mencadangkan pelan dan strategi baharu kepada Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai ancaman tersebut beserta data pakar serta pengalaman negara lain.
Perlu dipertimbangkan wakil pelbagai agensi, penyedia perkhidmatan, ahli akademik serta wakil industri. Dengan meletakkan Jawatankuasa Khas Kabinet di paras teratas carta, badan ini mesti disusun rapi supaya mampu bertindak cekap dan berkesan.
Kritikal
Ia distruktur mengikut bidang – alam sekitar, sosiekonomi, komunikasi, bekalan air dan tenaga, perindustrian, pembiayaan dan kewangan, hartanah, keselamatan rakyat (kesihatan dan pendidikan), politik, bekalan dan keselamatan makanan, perundangan, perancangan bandar, pentadbiran kerajaan, kedaulatan negara dan lain-lain.
Berikutan ancaman kenaikan paras laut ini kritikal maka hanya penyediaan pelan induk dan strategi terbaik serta peruntukan besar bakal menjamin kejayaan membina ‘benteng pertahanan mega’ ini bagi menyelamatkan rakyat dan negara.
Mantan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada 5 September 2022 menyebut, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya RM392 bilion sehingga 2100 bagi melaksanakan inisiatif mengatasi bencana banjir.
Sebanyak RM230.71 bilion bagi komponen tebatan banjir dan saliran bandar manakala RM126.55 bilion lagi membina infrastruktur pantai.
Ternyata projek infrastruktur tebatan pantai ini menelan kos amat besar. Semua inisiatif membina pertahanan, pemindahan penduduk dan tapak penempatan serta kawasan pertanian baharu perlu dirancang teliti dalam pelan induk jangka panjang kebangsaan bagi menjamin kelangsungan rakyat serta negara menongkah bencana ini.
Rakyat juga perlu dibimbing bagi menghadapi ancaman ini menerusi program kesedaran awam sistematik mulai sekarang supaya mereka sedia mengadaptasi sebagai endemik dan beralih menempuh landskap kehidupan baharu lebih mencabar ketika itu.
Tindakan menghadapi bencana peningkatan paras laut ini mesti dilakukan mulai hari ini demi menyelamatkan semua aktiviti kehidupan di zon pinggir pantai serta tanah rendah seluruh negara menerusi pelan dan strategi pengurusan bencana berkesan, kalis masa depan serta lestari. – UTUSAN
MOHD. Kamal Ahmad adalah pengamal dan perunding media, komunikasi, penulisan serta penerbitan.










