Komuniti Malabari ‘kempunan’ tuntut hak Bumiputera?

Komuniti Malabari ‘kempunan’ tuntut hak Bumiputera?

DI Malaysia, komuniti Malabari adalah minoriti orang Malayali beragama Islam yang mengamalkan budaya Melayu dan bahasa Melayu. – IHSAN ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOMUNITI Malabari ialah sebahagian daripada orang keturunan Malayali yang nenek moyangnya berasal dari Benua Kecil India. Nama ‘Malabari’ adalah sempena Pantai Malabar di Kerala di mana penduduk ini tinggal.

Apabila menyebut nama Malabari, kita pasti teringat Tun Mahathir Mohamad yang kelihatan sering berubah-ubah pendirian tentang asal usul dan darah keturunan. Isu ini ada disentuh dalam buku Suvarna Bhumi (2022).

Turut dihuraikan dalam buku itu dan Dewi Pertiwi (2024) ialah perihal istilah Keling yang masih juga digunakan dalam konteks yang salah di Malaysia. Kita juga lebih mengenali orang Keling dan Kalinga berbanding Malabar dan Malabari.

Majoriti penduduk di Pantai Malabar ialah orang Islam yang digelar Mapilla, Moplah atau Mopla, sebagaimana dihuraikan dalam buku Mandala Bicara (2016). Komuniti ini tetap berpegang teguh pada adat dan budaya Malayali walaupun tidak lagi beragama Hindu.

Menurut portal The Malaysian Malabari, penghijrahan secara besar-besaran orang Malabari-Muslim ke Tanah Melayu berlaku pada 1921 susulan Pemberontakan Malabar menentang penjajah British. Sejak itulah di negara kita, gelaran ‘Malabari’ digunakan khusus bagi Malabari-Muslim walaupun sebenarnya ada juga penganut Hindu, Kristian dan Yahudi dalam komuniti itu di Pantai Malabar.

Pada masa sekarang di Malaysia, komuniti Malabari adalah minoriti orang Malayali beragama Islam yang mengamalkan budaya Melayu dan bahasa Melayu. Sering kali mereka dilabel ‘Keling’ sedangkan Malabari dan Keling merupakan dua kelompok yang amat berbeza, kecuali persamaan dari segi agama.

Hasil rujukan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), saya mendapat data tujuh pertubuhan Malabari yang masih aktif. Selain Dewan Perniagaan Malabari Malaysia (MMBC), terdapat juga Persatuan Keturunan Malabari Pahang dan Persatuan Kebajikan Komuniti Malabari Ulu Tiram (Johor).

Pertubuhan berdaftar lain ialah Persatuan Malabari Muslim Jama’at Selangor dan Wilayah Persekutuan (MMJ), Persatuan Malabari Malaysia, Persatuan Perintis Malabari Malaysia serta Gabungan Persatuan Malabari Malaysia (GPPM).

Pada 12 Julai 2005, Jemaah Malabar Muslim Johor dengan kerjasama 25 pertubuhan Malabari menganjurkan ‘Majlis Jasamu Dikenang’ khas bagi meraikan Tun Mahathir yang dikatakan membantu membangunkan komuniti Malabari sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri (1981-2003).

Dalam ucapannya di majlis itu, portal The Malaysian Malabari melaporkan, Tun Mahathir mengaku “mempunyai pertalian darah” dengan masyarakat Malabari. Sepertimana kita sedia maklum, pendirian dan kenyataan politikus veteran itu sering berubah dalam soal darah, keturunan dan asal usul.

Berbalik kepada komuniti Malabari, pada Mei 2019 iaitu sewaktu Tun Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri bagi kali kedua (2018-2020), presiden MMJ, Abu Bakar Koyakutty menggesa kerajaan memberi status Bumiputera kepada etnik Malabari. Tuntutan itu sudah lama dibuat tetapi khabarnya tidak mendapat maklum balas positif yang diharapkan.

Abu Bakar berhujah bahawa komuniti Malabari sebenarnya sudah bertapak di sini sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Malah ada pandangan mengatakan orang Malabari yang mula-mula membawa ajaran Islam ke Nusantara.

Pada masa sekarang, dianggarkan terdapat sekitar 700,000 orang Malabari di negara ini dengan Selangor, Kuala Lumpur dan Johor menjadi pusat tumpuan.

Apa yang menarik, sebagaimana ‘nasib’ golongan Keling (Tamil-Muslim), ada orang Malabari (Malayali-Muslim) didaftar sebagai kaum India dan ada pula yang ‘berjaya’ didaftar sebagai Melayu.

“Kami tak minta banyak, dapat Bumiputera pun dah memadai,” kata Abu Bakar mewakili komuniti Malabari di Malaysia.

Sebenarnya, perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi saya sebagai individu keturunan Malayali. Saya turut mengikuti perkembangan dan usaha dilakukan rakan saya, Dr. Maszlee Malik sewaktu beliau menjadi Menteri Pendidikan (2018-2020).

Misalnya, pada Februari 2019, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam (2018-2022) mengadakan mesyuarat bersama Jemaah Malabar Muslim Johor dalam usaha mempercepatkan usaha mendapatkan status Bumiputera bagi komuniti itu.

Pada pendirian orang Malabari, mereka beragama Islam, mengamalkan budaya Melayu dan berpakaian Melayu. Maka, cukup syarat mengikut Perlembagaan Persekutuan (Perkara 160) untuk mewajarkan tuntutan komuniti Malabari diberi status Bumiputera.

Perlu diakui bahawa kaum Melayu di Malaysia sekarang bukanlah ‘anak jati’ atau ‘darah tulen’ kerana terdapat kahwin campur sejak dahulu dengan orang Arab, India, Cina, Eropah, Turki, Bangladesh, Afrika dan sebagainya.

Bagi komuniti Malabari pula, mereka dikategorikan sebagai ‘India-Muslim’ serta tidak layak menikmati keistimewaan ditawarkan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Misalnya, mereka tidak layak menerima bantuan MARA mahupun melanjutkan pengajian di Pusat Giat MARA dan pusat asasi di universiti awam.

Anak-anak Malabari juga tidak layak belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Isu ini turut diketengahkan sewaktu pertemuan wakil komuniti itu dengan Maszlee, lima tahun lalu.
Namun begitu, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan kerana orang Malabari belum diiktiraf sebagai Melayu atau Bumiputera.

Media pada Februari 2019 melaporkan janji Maszlee untuk mengemukakan isu permohonan status Bumiputera bagi komuniti Malabari kepada Tun Mahathir selaku Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri pada waktu itu.

Kita boleh membayangkan situasi agak huru-hara yang wujud susulan penularan Covid-19 serta pergolakan politik yang berlaku sejak awal 2020 di Malaysia. Dalam pada itu, hasil maklumat sahih yang saya terima, Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin menolak bulat-bulat cadangan yang dibawa Maszlee.

Maknanya, usul supaya komuniti Malabari diberi status Bumiputera sudah ditolak dan dibakul sampahkan sebelum dibawa untuk dibahaskan di peringkat lebih tinggi seperti Kabinet dan Dewan Rakyat.

Sekadar perbandingan, komuniti Siam dan Portugis di Malaysia sudah diberi status Bumiputera. Komuniti Chetti Melaka, Baba Nyonya dan Malabari yang bertapak di sini selewat-lewatnya sejak era Kesultanan Melayu Melaka pula masih kempunan dan berada dalam situasi seperti pungguk rindukan bulan. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN