Aneh. Itu sahaja perkataan yang terpacul dari mulut saya setelah mendapat tahu tentera Ukraine membekukan sperma mereka sebelum bertempur di medan perang.
Apa rasionalnya membekukan sperma dengan pergi berperang? Kedengaran tidak logik bukan?
Namun, bukan sahaja kerajaan Ukraine ‘menghalalkan’ tindakan berkenaan, malah, Russia juga dilaporkan memberi subsidi kepada tenteranya untuk menjalankan proses pembekuan sperma dan telur.
Parlimen Ukraine pada 22 November tahun lalu meluluskan draf undang-undang dalam bacaan pertama yang membenarkan pengumpulan percuma dan pemeliharaan sel pembiakan untuk askarnya.
Menurut Ahli Parlimen, Yaroslav Zhelezniak, rang undang-undang itu membolehkan askar Ukraine mengekstrak dan menyimpan sel pembiakan mereka di bank krio secara percuma supaya jika menerima kecederaan di medan perang yang menjejaskan fungsi seksual, mereka masih boleh mempunyai anak.
Rang undang-undang itu terpakai kepada lelaki dan wanita.
Di samping itu, ia akan membolehkan wanita mempunyai anak dengan pasangan lelaki yang terkorban semasa menjalankan tugas.
Matlamat asal pembekuan sperma tentera-tentera Ukraine adalah untuk meningkatkan lagi populasi rakyat mereka yang dikatakan ramai terkorban dalam peperangan dengan Russia.
Malah, sebuah kumpulan sivik Ukraine mengesahkan kematian hampir 25,000 askar Ukraine sejak pencerobohan Rusia pada Februari 2022 manakala laporan pada Ogos tahun lalu oleh New York Times, memetik pegawai Amerika Syarikat (AS) tanpa nama meletakkan angka kematian Ukraine hampir 70,000 termasuk orang awam.
Dikatakan usaha membekukan sperma ini turut mendapat permintaan daripada ahli keluarga tentera.
Bagi ahli keluarga, hal ini sangat memberi makna kerana dianggap menyambung pewaris keluarga mereka. Namun, baru-baru ini isu membekukan sperma tentera Ukraine ini menjadi kontroversi.
Seorang Ahli Parlimen Ukraine bertindak menongkah arus dengan memperkenalkan rang undang-undang baharu untuk membatalkan tindakan berkenaan.
Undang-undang baharu yang akan dikuatkuasakan Mac ini memerlukan sperma dan telur yang disimpan oleh askar sebelum ke medan perang dimusnahkan selepas kematian mereka. Tetapi hal itu mencetuskan perdebatan emotif di negara yang dilanda perang.
Timbalan Speaker Parlimen, Olena Kondratyuk berkata, penggubal undang-undang akan memperkenalkan pindaan baharu itu yang akan melupuskan bedah siasat biomaterial.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Ukraine mengeluarkan kenyataan bercanggah yang mengatakan bahawa klinik pembiakan tidak akan melupuskan biomaterial beku tentera yang ‘gugur’.
Larangan menerusi undang-undang baharu itu adalah konflik perundangan yang perlu diselesaikan secepat mungkin, tambah kementerian itu.
Tidak seperti kebanyakan negara Eropah lain, Ukraine membenarkan ibu tumpang dan sebelum perang, negara itu dilaporkan menjadi destinasi popular untuk pasangan antarabangsa.
Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.










