UNDANGAN ke Hiroshima, Jepun baru-baru ini mengimbau semula kata-kata mutiara seperti tajuk di atas. Rakyat Jepun yang umumnya amat sopan dan berbudaya tinggi sering menjadi teladan kepada kita di sebelah Timur. Cara hidup mereka Islam. Lebih sesuai dengan cara hidup orang Melayu. Banyak bertimbang rasa, berbeza dengan masyarakat Barat yang agak kasar dan mementingkan diri.
Sayangnya orang Melayu lebih menghormati cara Barat hasil dari asuhan ‘ketuanan’ penjajah begitu lama. Minda dan perilaku masih terjajah.
Apatah lagi, undangan kali ini ada kaitan dengan tiga anak watan yang sememangnya terkenal di Hiroshima. Mereka terdiri para pelajar yang terpilih khas untuk melanjutkan pelajaran di negara matahari terbit itu.
Hasil daripada ketekunan mereka, Nik Yusuf, Syed Omar serta Abdul Razak Hamid dipelawa ke universiti di Hiroshima untuk mendalami bidang pendidikan mulai 1944. Mereka melalui satu cabaran baharu di perantauan walaupun ketika itu berusia belasan tahun dengan hanya berbekalkan kefasihan berbahasa Jepun yang menjadi jambatan persahabatan akrab.
Ketika di Hiroshima, penulis berkesempatan melawat sekolah di mana ketiga-tiga pelajar tersebut memulakan pelajaran bahasa di sebuah kolej bahasa Jepun ketika itu. Di situ satu kelebihan dipelajari tatkala dokumentasi serta rekod pelajar tersimpan sejak 1944 selama 80 tahun. Saya berpeluang meneliti rekod ilmiah mereka yang begitu memberangsangkan dengan menamatkan pengajian bahasa lebih awal dan layak memasuki pengajian tinggi lebih pantas.
Terasa agak sebak mendengarkan bagaimana mereka bertiga bersama-sama membina cara hidup dengan tujuan membentuk sahsiah berdisiplin tinggi ala Jepun berserta amalan yang Islamik. Asuhan Jepun dimanfaatkan dengan rapi tersulam amanah serta etika tiada kompromi terutama dalam memupuk perasaan malu dalam membenteng maruah diri. Pandai menjaga janji, bukan hanya manis dibibir sahaja. Cakap tidak serupa bikin.
Bagaimana ketepatan masa dijaga, begitu juga kebersihan amalan sedia kala, semuanya tersusun rapi dan tidak pula membuat hiruk-pikuk, berborak kosong membuang masa. Begitulah halnya hari demi hari, sambil pertiwi digarap sepenuh hati untuk kembali berbakti nanti.
Namun begitu, ia tidak semudah yang dijangkakan. Tidak disangka-sangka, satu dugaan besar menimpa dengan dahsyatnya. Walaupun pelbagai jenis bom digugurkan di sekitar bandar Hiroshima akibat Perang Dunia Kedua yang melanda, tetapi satu ketika bom yang digugurkan pula merupakan ‘raja segala bom’. Ia belum pernah digunakan sebelum ini oleh mana-mana negara.
Maka tidak pula diketahui apakah kesan yang bakal ditinggalkan ketika itu. Kemusnahannya bagaimana pula?

TIDAK SELARI
Teka-teki ini bermain di kepala semua pihak, apatah lagi tiga orang anak Melayu yang kini terikat dengan pendidikan yang mereka ceburi. Satu azam yang tidak boleh dikhianati. Memalukan amat sangat jika tersepi. Apa pun, kesemua persoalan ini terjawab secara tiba-tiba pada 6 Ogos 1945, jam 8.15 pagi tepat, masing-masing ketika itu sibuk mengikuti urusan dan kuliah sepertimana biasa.
Isyarat kapal terbang melintasi udara untuk mengebom sasaran tetap kedengaran juga. Namun ada sedikit keganjilan pada pagi itu, membezakan bom ‘biasa’ dengan yang satu lagi.
Rupa-rupanya keganjilan ini membawa malapetaka bergelar bom atom yang julung-julung kali digugurkan ke atas khalayak manusia dengan sengaja dan terancang sekali gus membongkar satu peristiwa gila dalam sejarah manusia sejagat.
Sekelip mata 70,000 mangsa terkorban meliputi kawasan yang lebih besar dan luas berbanding bom biasa. Bandar Hiroshima sahaja bertukar menjadi padang jarak padang tekukur. Terlintas pandang ia seumpama kemusnahan di Gaza yang dihujahi bom bertubi-tubi dari Israel.
Hanya di Hiroshima sebutir bom sudah memadai kerana dentuman yang luar biasa.
Gegak gempita. Lebih dahsyat lagi adalah kesan bahang radioaktif bom atom yang membaham sesiapa sahaja dipersekitaran liputannya atau mungkin ‘mencapai’ berbatu-batu jauhnya. Disambar pula api yang disemarakkan oleh angin kencang ekoran letupan yang amat kuat mencetuskan bebola api berguling-guling membakar apa sahaja melintas disekitarnya.
Yang malang adalah mereka yang terperangkap berhadapan sebuah sungai dan tidak boleh lari kemana-mana melainkan terbakar menjadi rentung, terpelanting ke dalam sungai bersama ratusan mayat hanyut terapung. Maka terjadilah sungai merah berdarah bergelimpang dengan jasad manusia tidak putus-putus.
Paling malang sekali adalah pada detik itu Nik Yusuf dan Syed Omar turut terkorban. Allahyarham Nik Yusuf meninggal di Hiroshima dan dikebumikan di sana sementara Allahyarham Syed Omar di Kyoto, semasa dalam perjalanan ke Tokyo. Mereka disemadikan di sana. Kedua-duanya menumpang taman perkuburan tempatan, mengikut hukum hakam agama Islam. Apa yang lebih disyukuri adalah kedua-dua pusara ini dijaga rapi oleh orang Jepun tempatan sehingga hari melalui pertubuhan tertentu yang dipertanggungjawab untuk tugas demikian.
Saya apabila menziarahi kedua-dua perkuburan tersebut ditemani oleh sekurang-kurangnya 10 hingga 20 orang termasuk ahli-ahli jawatankuasa pertubuhan berkenaan serta rakan-rakan sesama mereka sewaktu belajar menghirup pengalaman manis dan mesra.
Ada yang masih hiba mengenang derita rakan-rakan yang tidak dijumpai malah meminta maaf atas kematian yang tidak berdosa. Begitu sekali ikatan dan pertalian persahabatan yang dapat diwujudkan dan jangka masa singkat tetapi sungguh mendalam. Tidak bermuka-muka.
Bagi Abdul Razak pula, umurnya agak panjang. Dilindungi Ilahi dari pelbagai bentuk hasad dengki. Hidupnya bak bukti kekuasaan Maha Suci melindungi sesiapa yang dikehendaki agar peristiwa yang berlaku itu diisi sepenuh erti untuk manusiawi teladani.
Sebagai seorang yang ‘terlepas’ dari malapetaka bom atom tanpa sentuhan radioaktif sama sekali, membuat hidupnya dituntut seolah-olah ‘dikaji’ Ilahi.
Bukan kerana keangkuhan diri, mengatur itu dan ini. Bukan juga tipu helah pangkat dan darjah sedangkan Ilahi tidak merestui. Lantas terbitnya segala bentuk musibah tidak henti-henti sehingga hari ini.
Malam hingga pagi. Tidak menginsafi. Rakan-rakan Jepun turut hairan lalu bertanya mengapa berteka-teki. Tidak Islam lagi?-UTUSAN
Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










