Fenomena El Nino: Jangkaan kesannya kepada Malaysia - Utusan Malaysia

Fenomena El Nino: Jangkaan kesannya kepada Malaysia

Sebahagian Lembah Klang dilanca cuaca sangat panas dengan suhu 33 Celcius namun panasnya disifatkan seperti 41 Celcius.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekali lagi Malaysia dijangka berdepan dengan cuaca panas dan kering berbanding keadaan normal terutama di bahagian Utara Semenanjung, Sarawak dan Sabah sekurang-kurangnya hingga penghujung April ini akibat daripada fenomena El Nino.

Artikel ini bertujuan berkongsi maklumat kepada umum berkaitan fenomena ini dan kesannya di Malaysia.

Ramai yang mungkin beranggapan fenomena El Nino adalah sebahagian daripada perubahan iklim yang disebabkan oleh pengaruh manusia meningkatkan gas-gas rumah hijau di atmosfera.

Tanggapan ini sebenarnya tidak benar. Fenomena El Nino adalah sebahagian daripada keragaman iklim semula jadi iaitu walaupun tanpa peningkatan gas-gas rumah hijau, fenomena ini tetap akan berlaku.

Bagaimanapun, fenomena ini dari segi kekerapan dan intensitinya berkemungkinan dipengaruhi oleh perubahan iklim dan pemanasan global akibat peningkatan gas-gas rumah hijau. Begitu juga dari segi kesannya.

Contohnya, El Nino yang berlaku 50 tahun lalu dari segi impaknya mungkin kurang kuat berbanding El Nino pada masa kini.

Suhu dunia pada ketika ini (termasuk di Malaysia) telah meningkat sekurang-kurang 1oC lebih tinggi berbanding 50 tahun lalu akibat pemanasan global. Ini pastinya menjadikan impak El Nino masa kini menjadi lebih parah berbanding fenomena terdahulu.

Bagaimana fenomena El Nino berlaku? Apakah penyebabnya? Secara ringkas diterangkan bahawa sistem iklim dunia mempunyai sifat-sifat atau mod keragaman iklim tertentu yang mempunyai kecenderungan berulang.

Mod paling utama keragaman sistem iklim dunia adalah yang dipanggil sebagai El Nino – Ayunan Selatan atau El Nino – Southern Oscillation (ENSO).
Mod keragaman iklim ini tercetus akibat daripada interaksi gandingan lautan – atmosfera di Lautan Pasifik.

Gandingan atmosfera – lautan ini bermakna perubahan di lautan akan mempengaruhi atmosfera dan di sebaliknya. Fasa panas ENSO adalah El Nino dan fasa sejuk adalah La Nina.
El Nino dicirikan dengan peningkatan suhu permukaan laut dan fenomena ini kebiasaannya muncul pada Jun atau Julai dan terus berkembang dan memuncak pada hujung tahun dan bermula Januari tahun berikutnya fenomena El Nino mula menurun dan keadaan di Lautan Pasifik kembali kepada keadaan normal.

Seterusnya berkemungkinan akan menjadi lebih sejuk dan sistem atmosfera bertukar kepada fasa La Nina yang akan berkembang hingga ke hujung tahun dan beberapa bulan tahun berikutnya.

Sejak 1950, lebih 20 kali El Nino pelbagai kategori telah berlaku. Begitu juga La Niña.
Perubahan sistem atmosfera – lautan di Lautan Pasifik berkait dengan fenomena El Nino dan La Nina akan merubah corak iklim peredaran atmosfera global dan menyebabkan keragaman iklim di seluruh pelosok dunia dan bukan hanya di Lautan Pasifik di mana fenomena – fenomena ini berlaku.

Di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan Indonesia impak fenomena-fenomena ini ketara.
Bagaimanapun, berbanding Malaysia, impak lebih teruk di Indonesia.

El Nino berlaku di Lautan Pasifik akan menyebabkan pencapahan kelembapan dari rantau Asia Tenggara dan menyebabkan keadaan yang lebih kering dan panas.

Bagaimanapun, keadaan ini bergantung kepada musim sepanjang fenomena El Nino berlaku dan kesan lebih ketara jika El Nino adalah dalam kategori ekstrem seperti El Nino 1997/98,2015/2016.

Di peringkat awal fenomena El Nino pada bulan-bulan Jun hingga September, kawasan Sumatera dan Kalimatan Indonesia kebiasaannya akan mengalami kemarau teruk dan ini menjelaskan mengapa kebiasaannya kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan berlaku pada bulan-bulan

ini.
Pada bulan-bulan ini, Sabah dan Sarawak dan juga sebahagian kawasan di Semenanjung menerima impak tetapi tidak seteruk di Indonesia.

Menjelang penghujung tahun dan beberapa bulan dari Januari hingga April tahun berikutnya dalam fasa penurunan episod ini bahagian Utara Sarawak, Sabah dan Utara Semenanjung biasanya akan mengalami keadaan kering dan panas.

Gelombang haba dengan suhu melebihi 35oC akan mudah berlaku pada ketika ini. Semasa fenomena La Nina, keadaan seperti terbalik.

Keadaan suhu permukaan laut yang sejuk di Lautan Pasifik mengukuhkan angin timuran dan menyebabkan penumpuan kelembapan ke rantau Asia Tenggara dan menjadi pemangkin kepada pelbagai keadaan cuaca ekstrem termasuk banjir. Banjir teruk yang berlaku di Selangor pada Disember 2021 lalu berlaku semasa episod La Niña.

Kejadian El Nino sendiri ada keragaman dan perbezaan dari satu episod ke episod lain. El Nino 2023/2024 kali ini agak unik.

Ramalan yang dikeluarkan oleh pusat ramalan iklim di Amerika Syarikat dan Korea tahun lepas menunjukkan ia berkategori antara sederhana dan kuat.

Bagaimanapun, pencerapan terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat menunjukkan peningkatan suhu permukaan laut di Lautan Pasifik melebihi 3oC hampir menyamai fenomena El Nino 2015/2016.

Maka, El Nino 2023/2024 ini juga mungkin boleh dikategorikan sebagai El Nino ekstrem.

Walaupun pusat-pusat ramalan El Nino meramalkan El Nino ini dalam proses fasa penurunan dan keadaan di Lautan Pasifik akan kepada normal pada Mei 2024, dalam tempoh kini sehingga penghujung April Malaysia terutama Sabah, Utara Sarawak dan Utara Semenanjung Malaysia akan berdepan cuaca kering dan panas dengan kemungkinan tinggi berlakunya gelombang haba.

Dalam tempoh ini orang ramai perlu memberi perhatian kepada ramalan cuaca harian yang dikeluarkan oleh MetMalaysia, mengurangkan aktiviti luar rumah semasa tengah hari dan petang, mengelakkan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut.

Penulis ialah Pakar klimatologi dan bekas profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×