SEAWAL pasca kemerdekaan Malaysia, ramai tenaga kerja yang berpengetahuan serta berkemahiran dikeluarkan bagi memenuhi permintaan pasaran kerja yang kebanyakannya diperlukan bagi mengisi kekosongan jawatan di sektor awam pada ketika itu.
Pada awal 90-an, perkembangan ekonomi negara pesat dengan lebih banyak pelaburan asing mula beroperasi di Malaysia.
Peningkatan pertumbuhan industri ini telah menyebabkan permintaan pasaran kerja perlahan-lahan beralih dari sektor awam ke sektor swasta. Kesemuanya ini membuka peluang yang lebih luas kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor swasta mahupun awam.
Transformasi kebolehpasaran graduan menyaksikan program pengajian di peringkat pendidikan tinggi juga dibentuk bagi memenuhi kehendak pasaran kerja terutamanya dengan peralihan dari permintaan lebih dari sektor swasta pada ketika itu.
Walau bagaimanapun, ada ketika permintaan tenaga kerja oleh sektor awam mahupun swasta berkurangan dek kemelesetan ekonomi, sedangkan jumlah graduan yang berjaya menamatkan pengajian dan memasuki pasaran kerja meningkat saban tahun.
Apa yang lebih penting, masyarakat telah mula sedar terhadap keutamaan dalam menyediakan modal insan berkualiti berdasarkan penjanaan ilmu pengetahuan dan pembinaan kemahiran secukupnya bagi memenuhi kehendak pasaran kerja yang serba kompetitif.
Bertitik tolak dari dinamika penawaran dan permintaan tenaga kerja ini, agenda kebolehpasaran graduan menjadi topik perbualan hangat dan mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan masyarakat umum tetapi juga penggubal dasar mahupun pemain industri setiap tahun.
Memandangkan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi mula diberi perhatian, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dipertanggungjawabkan untuk membangun dan mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang kondusif ke arah pembentukan pusat ilmu yang unggul dan bakat yang punyai ‘otak dan watak’. Ini dapat memastikan graduan yang dihasilkan bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan sahsiah, malah mampu membina profil kerjaya selari dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Walau bagaimanapun, kesan peningkatan jumlah graduan dari institusi pengajian tinggi mempunyai kesan luar jangka pada penawaran dan peluang kerja dalam kebanyakkan sektor dan industri. Sebagai contoh, ada sektor dan industri yang tidak mengguna penuh bakat dan kapasiti modal insan dengan menawarkan jawatan tidak setara dengan kelayakan.
Statistik menunjukkan seramai hampir 100,000 graduan bekerja di bawah tahap kelayakan setiap tahun. Keadaan lebih meruncingkan lagi apabila ada juga syarikat tempatan dan multinasional mula memberi perhatian terhadap pengurangan kos tenaga kerja menerusi aplikasi teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam organisasi mereka. Ini telah memberi kesan yang tidak seimbang antara penawaran dan permintaan pasaran tenaga kerja dalam hampir semua sektor.
PERNIAGAAN
Malah, keadaan ekonomi yang kurang stabil juga memberi kesan terhadap perkembangan industri tempatan yang menyebabkan kurang penawaran tenaga kerja kepada graduan lepasan institusi pengajian dan juga kolej kemahiran.
Berdasarkan daripada isu yang timbul, pihak kerajaan mula memberi perhatian terhadap pembinaan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar lepasan universiti, kolej dan juga pusat kemahiran yang lain.
Tujuannya untuk menggalakkan para graduan lebih berkecimpung dalam dunia perniagaan dan tidak hanya bergantung kepada pasaran kerja. KPT mengeluarkan Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu (EIE) bagi membangun dan mempraktikkan pendidikan keusahawanan yang inovatif menyokong visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan menjelang 2030.
Tujuan dasar ini adalah untuk meningkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana melalui pembentukan usahawan graduan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif. Kesemuanya adalah untuk menyelesaikan isu yang hadir berikutan ketidak seimbangan penawaran dan permintaan pasaran kerja.
Selain dari itu, KPT juga melancarkan Dasar Pembangunan Keusahawanan (DPN) bagi menggalakkan dan memantapkan pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar yang lebih terancang dan holistik. DPN juga bertindak untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan dalam kalangan graduan institusi pendidikan tinggi yang bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi teknologi.
Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam ucapan Landasan Hala Tuju KPT baru-baru ini menyeru agar para pendidik untuk menyemangati ‘Zeitgeist’ dan bersikap adaptif terhadap perubahan yang berlaku. Oleh itu, para pendidik harus mendukung usaha ke arah pembangunan pendidikan keusahawanan dalam pelbagai disiplin ilmu bagi membina peluang kerjaya baharu para graduan seterusnya memacu pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Sebagai contoh, bagi merealisasikan hasrat KPT, Pelan Strategik Universiti Malaysia Terengganu (PSUMT) menetapkan sasaran Indeks Petunjuk Utama (KPI) iaitu bilangan penawaran program akademik baharu yang mempunyai program minor keusahawanan seperti yang digariskan dalam Teras 2 : Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran dengan merujuk khusus kepada mewujudkan program akademik berkualiti.
Sehubungan itu, satu jawatankuasa diwujudkan untuk melihat perkara ini dengan teliti seterusnya menentukan kursus yang sesuai dan memenuhi keperluan minor keusahawanan serta bertepatan dengan EIE.
Secara tuntasnya, dunia keusahawanan adalah antara era baharu yang harus diterokai oleh pelajar lepasan institusi pengajian tinggi, pusat kemahiran dan juga belia lain.
Pada hari ini, pelbagai perancangan dan program telah dilaksanakan oleh pemegang-taruh seperti jabatan dan agensi kerajaan, badan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama menggalakan pelajar dan graduan menerokai peluang dalam dunia niaga sekarang ini.
Kesemua usaha ini akan membina transformasi kerjaya baharu dari berpaksikan peluang pekerjaan kepada peluang perniagaan.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azizul Yadi Yaakob ialah Pengarah Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT GEM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).










