SETIAP polisi baharu yang akan dilancarkan perlu kertas putih terperinci menggariskan objektif, strategi, kos dan faedah, implikasi kepada industri dan semua pihak berkepentingan. Juga meramal sebarang kebarangkalian tentangan dan langkah membidasnya.
Untuk lebih afdal, konsultasi dengan pihak berkepentingan seperti petani, pengilang, peniaga dan pengguna untuk mendapatkan perspektif masing-masing untuk memurnikan sebarang kontradiksi dan ketidakserasian.
Maka, tidak menghairankan ia mencetuskan kontroversi, persoalan dan keresahan dari rakyat. Apakah jalan penyelesaian ke atas masalah Beras Putih Malaysia Madani (BPMM) ini? Jawapannya tersirat dalam isu pokok masalah ini iaitu kenaikan harga beras dunia dan masalah beras campuran dalam negeri.
Kenaikan harga import melebihi harga purata mencecah AS$669/tan (Januari 2024) dan kini menurun AS$615/tan pada 14 Februari 2024. Dalam pasaran terbuka, turun naik dalam jangka pendek adalah fenomena normal.
Mengikut ramalan beberapa institusi seperti Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), walaupun harga mula menurun, namun besar kemungkinan akan berada di tahap yang tinggi kerana kesan El Nino dan juga masalah kekurangan air yang ketara di Sungai Mekong yang mempengaruhi pengeluaran di Vietnam, Kemboja dan Laos.
Pembinaan 11 empangan di China juga telah menghauskan air sungai ini. Kenaikan harga dunia adalah di luar kawalan negara kerana Malaysia hanya pemain kecil dalam pentas beras dunia. Perbezaan wujud antara harga beras tempatan (SST5%) yang ditetapkan pada RM2.60/kg berbanding harga beras import diapungkan yang kini mencapai antara RM3 – RM3.60/kg.
Perbezaan harga ini mendorong kegiatan campuran beras secara haram untuk meraih keuntungan. Walaupun kegiatan campuran telah dilaksanakan oleh peserta industri sekian lama, kali ini situasi lebih buruk kerana beras SST5% dikatakan tiada dalam pasaran. Yang ada hanya beras import.
Walhal Malaysia mengeluarkan 65 peratus beras keperluan tempatan (1.6 juta tan), namun beras ini disorok dan disimpan oleh pengilang atau peniaga untuk menunggu harga yang sesuai untuk melepaskan stok bagi meraih keuntungan.
Pengguna miskin perlu membayar harga tinggi ke atas beras import. Nyata, masalah sorok beras adalah bikinan polisi kerajaan yang melaksanakan polisi harga yang berbeza antara beras tempatan dan import.
Dalam pasaran terbuka (tiada kawalan dan monopoli import), harga dalam negeri dan import akan berada dalam keseimbangan dan kegiatan sorok dan arbitraj adalah minimum.
Sebelum ini kerajaan mengharamkan beras campuran. Tetapi dengan polisi BPMM, ia sebaliknya menghalalkan campuran dengan menyeragamkan harga kedua-dua beras import dan tempatan pada paras RM3.50/kg.
Bererti pengilang dan peniaga kini bebas mencampurkan kedua-dua beras tersebut. Penetapan harga akan mengherotkan pasaran dan melemahkan industri kerana penggunaan sumber tidak cekap. Setelah harga padi dan beras tempatan dikawal selama 50 tahun, ia menampilkan simptom deindustrialisasi yang serius seperti kelembapan, tiada inovasi dan tiada pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana dan pelbagai lagi.
Senjata atasi kegiatan haram mencampurkan beras adalah data. Data terperinci dan terkini akan mendedahkan segalanya.
Sayangnya fungsi untuk mengumpul dan memiliki data telah diserahkan kepada BERNAS walaupun kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya. BERNAS memerlukan data untuk memaksimumkan perniagaannya.
Kerajaan memiliki fungsi sosial-ekonomi yang lebih besar. Ini termasuk memantau penawaran, permintaan dan harga, meneliti stok dan stokpail beras dalam negeri, memantau perilaku seperti penyelewengan, sistem amaran awal dan sebagainya.
Maka, kerajaan perlu memiliki data industri padi untuk pembuatan keputusan yang berlandaskan fakta. Kerajaan perlu menggunakan data profil peserta industri terutama pengilang, peniaga dan BERNAS. Data ini termasuk maklumat pengilang, peniaga, kilang, pengeluaran beras dan kategori yang dikeluarkan oleh setiap kilang, inventorinya dari semasa ke semasa.
Data yang sama dikumpul daripada BERNAS untuk beras import dan peniaga. Data ini akan menunjukkan kuantiti dan kualiti atau gred beras tempatan sama ada SST5%, SST 10% dan beras hancur, gred beras import dan sebagainya.
Pegawai merinyu kerajaan perlu ditugaskan untuk turun padang memantau data dan pembungkusan beras di kilang dan memastikan ia selari dengan laporan. Penguatkuasaan berlandaskan data dan undang-undang adalah kemestian untuk memantau penyelewengan.
Data daripada pemborong dan peruncit merangkumi profil dan perniagaan beras, jumlah dan komposisi belian. Daripada usaha ini, kerajaan dapat mengesan secara tepat aliran beras dalam rantaian bekalan.
Usaha ini memang remeh, tetapi dengan bantuan pakar, ia dapat dilaksanakan dengan mudah. Sebagai permulaan, pesampelan rawak digunakan untuk mengumpul data. Pemantauan ini akan menjadi lebih cekap dan tepat jika aplikasi sensor dibina untuk mengesan kualiti beras.
Usaha sebegini akan diminimumkan beras campuran dan pengguna miskin dapat membeli beras tempatan. Untuk jangka masa terdekat, dua ke tiga tahun ini, dicadangkan supaya subsidi output menggantikan subsidi input iaitu subsidi berdasarkan output atau kuantiti dan kualiti padi yang dikeluarkan.
Dengan cara ini, pesawah terdorong untuk mengeluarkan padi yang bermutu tinggi pada kos yang rendah. Tetapi kerajaan perlu sokong dari segi pengairan yang cekap, pasaran benih yang lebih bersaing, sokongan teknologi termaju dan kemudahan kredit. Ini iakan meningkatkan kuantiti dan kualiti padi yang dikeluarkan lantas mengurangkan beras import.
Dengan harga minimum terjamin yang setimpal dengan kualiti, maka harga runcit juga perlu disemak selari dengan harga padi. Apabila beras tempatan berkualiti dan mencecah harga yang tinggi, kerajaan perlu mengawal import untuk mempertahan harga dalam negeri.
Sokongan padu tambahan perlu diberi kepada petani secara berterusan untuk meningkatkan produktiviti dan kapasiti pengeluaran. Ini termasuk pasaran benih yang bersaing, mesin, jentuai pintar yang mesra sawah kecil, pengeluaran baja di sawah atau tempatan, kilang beras kecil untuk pesawah, gerakan koperasi pesawah yang efektif, khidmat pengembangan dan monopoli import dihapuskan. – UTUSAN
PROFESOR Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad ialah Felo Perunding dan Pemegang Kursi Keterjaminan Makanan Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, UPM.










