Budaya sejahtera Melayu dikagumi, dijunjung warga Korea

Budaya sejahtera Melayu dikagumi, dijunjung warga Korea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA menggambarkan bangsa. Justeru, perbendaharaan kata sesuatu bahasa dapat memberi gambaran budaya, tatasusila serta sikap anak bangsanya. Inilah cerminan nilai-nilai penting yang menjadi jiwa kepada sesuatu bangsa itu.

Umpamanya, tidak semua bahasa mempunyai perkataan yang membawa maksud yang sama seperti perkataan sejahtera dalam bahasa Melayu. Maksud sejahtera mempunyai konteks yang luas dan holistik, merangkumi hubungan manusia dengan Tuhan, sesama manusia dan alam secara keseluruhannya. Ia bukan sekadar ketenteraman dan kekayaan semata-mata.

Justeru, tidak menghairankan apabila RCE Tongyeong, Korea Selatan amat tertarik dengan konsep sejahtera berdasarkan budaya Melayu.

Mendapati tiada istilah dalam bahasa Korea yang benar-benar dapat menterjemahkan maksud sejahtera, akhirnya mereka meminjam istilah Melayu ini. Hasilnya, sejahtera turut diguna pakai sebagai nama institusi RCE Tongyeong, iaitu Sejahtera Centre dan Sejahtera Forest.

Minggu lalu, kami di RCE Greater Gombak (RCEG2) meraikan kedatangan lima tetamu daripada RCE Tongyeong yang dipimpin Penyelaras Belia RCE mereka, Woojin Lee.

Selain perbincangan tentang pembangunan mampan serta berkongsi kaedah dan amalan kami di RCEG2, lawatan ini juga memberi peluang untuk saling mengenali budaya masing-masing.

Mereka dibawa melawat projek-projek Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan RCEG2 dalam kawasan kampus selain mengunjungi beberapa badan di bawah rangkaian RCEG2 di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur.

Bagi memperjelaskan keunikan kesenian dan budaya Melayu, kami membawa mereka melawat rumah tradisional Melayu lama di dalam kawasan universiti kami. Saya menerangkan kepada mereka bahawa sebenarnya konsep pembangunan mampan telah diamalkan dalam kehidupan Melayu sejak zaman dahulu lagi, contohnya dari sudut reka bentuk rumah Melayu.

Salah satu elemen yang dititikberatkan dalam seni bina rumah Melayu lama ialah pengaliran udara yang baik agar haba tidak terperangkap. Hal ini menjadikan suasana dalam rumah sentiasa nyaman secara semula jadi walaupun pada hari yang panas.

Oleh kerana kita menerima kadar taburan hujan yang tinggi, reka bentuk atap yang condong dapat memastikan air hujan mengalir turun dengan mudah dan cepat bagi mengelakkan air bertakung dan merosakkan struktur atap sepanjang musim hujan.

Pada hari terakhir, sebelum mereka bertolak ke Pulau Pinang, kami makan tengahari di Stesen Sentral Kuala Lumpur. Setelah beberapa hari dijamu dengan makanan tempatan, mereka memilih untuk makan di restoran Korea dan memperkenalkan juadah popular negara itu seperti bibimbap dan pajeon.

Oleh kerana hidangannya besar, sebelum pulang, saya meminta pekerja restoran membungkus makanan yang tidak dapat dihabiskan. Masing-masing terkejut kerana bukan sahaja permintaan saya dipenuhi tanpa apa-apa soalan, tetapi pihak restoran turut menyediakan bekas dan membungkusnya secara percuma.

Mereka kagum apabila saya menerangkan bahawa budaya kita melarang makanan dibazirkan, apatah lagi membuang makanan yang masih boleh dimakan. Malah, secara tradisinya sarapan nasi goreng ialah hasil olahan daripada lebihan makanan hari sebelumnya.

Apa yang tidak boleh dimakan, contohnya tulang, kulit buah-buahan dan sebagainya dijadikan makanan haiwan peliharaan atau ditanam. Hakikatnya, proses menghasilkan kompos bukanlah asing bagi masyarakat kita, cuma perkataan kompos itu yang baharu bagi kita.

Saya jelaskan kami masih mengamalkan budaya ini dalam kehidupan harian kami di rumah. Hasilnya sampah yang kami buang jauh berkurangan jumlahnya.

 

PENULIS (tiga diri kiri) bersama lima tetamu daripada RCE Tongyeong yang dipimpin Woojin Lee (kanan) ketika melawat Tugu Negara di Kuala Lumpur, pada 25 Januari lalu.

 

PEMBANGUNAN MAMPAN
Cakap mestilah serupa bikin. Jangan hanya gah di mulut namun diri tidak melakukan apa yang dilaung. Lihat sahaja di sekeliling kita, betapa banyaknya makanan yang masih boleh dimakan tetapi dibuang begitu sahaja tanpa rasa berdosa.

Hari ini, dunia bercakap tentang kepentingan merealisasikan matlamat pembangunan mampan (SDG). Justeru, pelbagai kajian dijalankan oleh pakar-pakar di seluruh dunia bagi mencari formula terbaik dan berkesan untuk mencapai hasrat murni ini.

Menerusi pendidikan pembangunan mampan (ESD), setiap warga bumi diberi kesedaran agar menghargai dan melindungi kelestarian bumi yang kita warisi ini melalui pemerkasaan pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Ungkapan SDG, ESD, lestari dan mampan masih asing bagi masyarakat kita. Malah, jika ditanya maksud lestari, mungkin ramai yang menggaru kepala atau hanya boleh sebut tentang slot siri drama televisyen.

Namun, sungguhpun kita belum mesra dengan ungkapan mampan atau lestari, tetapi konsepnya sudah menjadi amalan nenek moyang kita sejak zaman berzaman, bagi mencapai kesejahteraan hidup.

Secara tradisinya, leluhur kita sangat tertib dan teliti dalam menjaga hubungan mereka dengan alam semula jadi agar sentiasa seimbang dan sejahtera.

Ramai yang arif tentang rahsia alam serta mengenali tumbuh-tumbuhan yang mempunyai khasiat serta menjadi penawar kepada pelbagai penyakit. Tetapi mereka tidak tamak dan rakus.

Mereka begitu cermat dan cuma mengambil apa yang perlu sahaja agar ekosistem hutan sentiasa terpelihara dan khazanah hutan kita tidak pupus. Generasi terdahulu menghargai hutan yang menyimpan pelbagai khazanah alam.

Maka, hutan dara tidak diranapkan sesuka hati hanya untuk mendapatkan kayu balak berharga, menjalankan projek pertanian ataupun untuk membina pusat peranginan yang kononnya mesra alam.

Dahulunya, air sungai mengalir jernih dan bersih, tidak tercemar atau berwarna persis teh tarik akibat selut dan tanah yang mengalir daripada kawasan bukit tergondol.

Nenek moyang telah menyerahkan segala kepada kita, termasuklah budaya sejahtera dan mampan yang dikagumi dunia luar. Adakah kita sekadar menutup mata dan membuta tuli akan hal ini, lantas tidak mempedulikan kesejahteraan dunia?

ngatlah tanggungjawab kita terhadap mereka yang akan menerima bumi ini daripada tangan kita.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×