Kelantan, Thailand mana lebih ‘melekat’?

Kelantan, Thailand mana lebih ‘melekat’?

SENYUM manis yang dilemparkan oleh pemain industri pelancongan termasuklah peniaga di kedai-kedai makan merupakan antara ‘pelaris’ walaupun raut wajah sudah kelihatan penat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN Kelantan mengumumkan 2024 sebagai Tahun Melawat Kelantan (TMK) dengan menyasarkan 10 juta pelancong domestik dan luar negara akan berkunjung ke negeri ini.

Sasaran itu diyakini mampu dicapai menerusi pelbagai program yang sudah dirancang dan disusun sepanjang tahun ini, jika tiada halangan seperti wabak penyakit atau perkara-perkara lain.

Bagaimanapun, TMK berdepan cabaran getir apabila rakyat Malaysia dilihat lebih ‘berselera’ menjadikan Thailand khususnya Hatyai sebagai destinasi pelancongan.

Situasi itu ada asasnya apabila dianggarkan sejumlah RM100 juta mengalir keluar dalam tempoh tiga hari sempena cuti hujung minggu atau cuti persekolahan berikutan fenomena rakyat Malaysia bercuti ke Hatyai.

Jumlah tersebut hanya mengambil kira jika seorang pengunjung atau keluarga berbelanja minimum RM1,000 melibatkan 100,000 pengunjung.

Menambah lagi ‘tekanan’ kepada TMK, Narathiwat yang terletak kira-kira 74.5 kilometer dari bandar Kota Bharu, Kelantan menjadi tarikan baharu pelancongan di negara Gajah Putih itu.

Dianggarkan sejumlah RM1.4 juta mengalir keluar setiap bulan ke Thailand berikutan rakyat Malaysia menjadikan Narathiwat sebagai lokasi ‘makan angin’ baharu selepas Hatyai.

Jumlah itu mengambil kira seorang pengunjung atau keluarga berbelanja sebanyak RM1,000 secara minimum melibatkan 12,000 orang pengunjung.

Malah, pelancong dari utara tanah air iaitu Kedah dan Perlis mula mengubah selera dengan ‘turun’ ke Narathiwat berbanding Hatyai.

Perkara itu, sekali gus memberi isyarat lokasi tersebut bakal ‘meletup’ dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Ia dapat dilihat, apabila chalet berhampiran Summer Thon mulai tumbuh seperti cendawan selepas hujan yang mampu membuatkan rakyat Malaysia bertambah ‘mabuk’ dengan suasana di Thailand walaupun berkongsi laut sama iaitu Laut China Selatan.

MURAH
Walaupun nilai ringgit lebih rendah berbanding Thai Bath, namun rakyat tetap ‘berselera’ memilih untuk melancong Thailand.

Kadar tukaran wang, bukan satu masalah besar yang boleh membuat mereka berbelah-bahagi. Malah mereka seolah-olah tidak kisah apabila memikirkan soal ‘suasana’.

Semuanya, gara-gara pakej yang ditawarkan oleh pemain industri pelancongan bermula dari penginapan, pengangkutan termasuk pengendali makanan begitu murah membuatkan rakyat Malaysia menjadi ‘rambang mata’.

Mana tidaknya, dengan bayaran serendah RM85, rakyat Malaysia sudah dapat menikmati pelbagai hidangan yang lazat dan sarat dengan makanan laut untuk dua hingga tiga orang.

Selain itu, dengan modal serendah RM60, kita sudah mampu meneroka lokasi-lokasi menarik di Narathiwat seperti Pai Na Nara, Summer Thon, Pantai Narathiwat, Rim Khuen Market dan Yakang Market (Pasar Terapung) menerusi lawatan sehari.

Melihat kepada situasi itu, tidak hairanlah rakyat Malaysia sanggup ‘berkampung’ seawal pukul 6 pagi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang untuk melangkah masuk ke Thailand menerusi Pekan Sungai Golok.

 

LAYANAN mesra pelanggan menggamit kehadiran pelancong Malaysia untuk terus menjadikan Thailand sebagai lokasi percutian. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

 

MESRA PELANGGAN
Sikap peniaga yang mesra pelanggan menjadi pelengkap kepada kegilaan rakyat Malaysia untuk terus melekat dengan Thailand sebagai destinasi rehlah selepas penat bekerja.

Senyuman manis yang dilemparkan oleh pemain industri pelancongan termasuklah peniaga di kedai-kedai makan merupakan antara ‘pelaris’ walaupun raut wajah sudah kelihatan penat.

Bagi memastikan pelanggan tidak ‘lari’ ke tempat lain, mereka sanggup menggagahkan diri dengan memberikan layanan supaya ingatan terhadap Thailand sebagai pusat pelancongan terus melekat dalam benak fikiran.

Situasi itu jarang dapat dilihat di negara ini. Namun, di Thailand perkara itu seolah-olah menjadi satu kefarduan buat mereka apabila mereka bersungguh-sungguh dengan menjadikan pelanggan sebagai ‘raja’.

Soal untung kecil bukan satu bebanan buat mereka, asalkan rakyat Malaysia terus ‘berkampung’ di Thailand.

HATYAI KAUT 2 BILION BAHT
Media Thailand sebelum ini melaporkan, rakyat Malaysia menyumbangkan lebih 2 bilion baht kepada ekonomi tempatan dalam tempoh dua minggu melalui pelancongan di Hatyai.

Jumlah itu, berdasarkan kadar tukaran semasa, 100 baht bersamaan dengan RM13.39 dan situasi tersebut menyaksikan lonjakan permintaan yang tidak pernah berlaku dalam dunia perhotelan di Hatyai sebelum ini.

Penginapan di pusat bandar ditempah sepenuhnya ketika kemuncak minggu percutian. Antara daya tarikan Hatyai ialah pilihan makanan yang enak dan beraneka, akses mudah dan mesra bajet.

PERUBAHAN
Sudah tiba masanya, pemain industri pelancongan, penyedia perkhidmatan, peniaga makanan, cenderamata dan sebagainya di negara ini melakukan perubahan dari pelbagai aspek terutama melibatkan soal harga dan layanan.

Janganlah bila cuti sekolah atau cuti umum, harga dinaikan sekali ganda dengan alasan inilah masanya mengaut keuntungan.
Biar untung sedikit…namun berpanjang.

Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Kor Guano?-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×