AYUH buka tirai Tahun Baharu 2004 ini dengan tekad untuk membina Malaysia yang hebat.
Yang sudah lepas, lepaslah. Lupakan untuk kita salahkan sebilangan menteri yang masih tidak berubah – membatu diri, tidak agresif gerakkan kementerian dan kurang berinteraksi dengan masyarakat.
Tetapi kali ini masuk tahun baharu, semua pihak tidak boleh lagi ‘bulan madu’. Cukup. Para menteri perlu tetapkan tanda aras (benchmark) kepada para pegawai masing-masing. Jika kurang ligat tidak bermaya kaedah kerja unit komunikasi korporatnya (UKK), tidak cenderung akrab dengan pihak media, elok sahaja difikir-difikirkan rombak dan lantik orang baharu. Mesti setiap kementerian, baik menteri dan UKK ada perasaan bersedia untuk membawa rekod-rekod yang baik yang kerajaan ini sudah laksanakan. Kecilkan kecacatan dalam Laporan Audit Negara kelak – yang biasa muncul di hujung tahun dalam bentuk laporan dan tatapan.
Jangan lagi banyak ‘pukul’ orang dari kerajaan terdahulu. Pukul sana, tampar sini hanya cetuskan isu – yang buruknya nanti kerajaan sendiri. Jika ada bukti seleweng, bawa sahaja ke mahkamah. Tak payah lagi ‘gendang kecapi’ itu ini.
Diakui dalam usaha melicinkan pentadbiran kerajaan, ekonomi dan cara hidup rakyat Malaysia, terdapat banyak akronim atau huruf potong yang berkaitan dengan dasar dan implimentasinya. Ini bukan suatu kerja mudah untuk Perdana Menteri menerangkan, khasnya kepada orang kampung, erti dan implikasi akronim-akronim ini. Tetapi jika jentera kerajaan mencuba sedaya upaya, nescaya dasar-dasar utama kerajaan ini dapat dimaklumi dan difahami di akar umbi.
Mana-mana pembangkang pun akan menidakkan binaan negara yang sedang dilaksanakan. Bahkan, mereka akan terus menyatakan bahawa membuat pembangunan adalah kewajipan kerajaan sedia ada.
LUAR KERAJAAN
Demi pemahaman masyarakat terhadap isu-isu semasa yang berlegar, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital harus mainkan peranan lebih ke depan untuk memaklum serta melahirkan kenyataan-kenyataan yang berupa kecapaian kerajaan hari ini.
Kepada dua kementerian ini, apa lagi bahagian komunikasi teratas harus terbuka menerima kritikan dan pembongkaran. Ini bertepatan dengan tekad Kerajaan Perpaduan mahu perbetulkan yang biasa, biasakan yang betul – berlandaskan tindakan sejak setahun ini memerangi rasuah dan memacu ekonomi negara.
Penjawat awam yang sejumlah 1.7 juta orang – mereka ikut apa yang diarah oleh menteri dalam kementerian selagi tidak bertentangan dengan undang-undang. Tetapi kalau arahan tidak dibuat, apa yang mereka nak lakukan?
Masa ini, peranan penting harus digalas oleh golongan intelek, cendekiawan dan pemikir. Mereka ini sahaja yang rata-rata berada di luar kerajaan. Ramai sudah jadi orang pencen. Sebilangan yang lantang masih bergerak di beberapa menara gading, tetapi terikat dengan pekeling peraturan am.
Namun demi matlamat menjadikan Malaysia yang hebat, seseorang intelek harus berani mengemukakan yang benar. Berani kilas suara yang salah berpandukan ilmu, nilai sejagat dan Islam.
Jikalau seseorang itu intelek atau yang berkuasa di menara gading atau seseorang yang tinggi namanya sebagai pemikir tetapi tidak berani menyanggah perkara yang nampak tidak baik, tidak benar, ia sudah lari dari tanggungjawab asas seorang pemikir dan intelek. Pakai sepenuhnya daya deria sebagai seorang budayawan atau pengamal undang-undang atau bekas anggota kerajaan. Kombinasikan pengalaman itu dan kemukakan untuk manfaat bersama.
MERIT
Yang menjadi cabaran bangsa Melayu khususnya, yang perlu difokuskan oleh intelek, cendekiawan dan pemikir adalah bagaimana untuk membentuk soal ketuanan itu daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas serta tanggungjawab mahupun disiplin politik.
Setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti terkandung dalam peruntukan 153 Perlembagaan atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi – ini semua belum mampu menjamin ketuanan semula jadi. Jauh sekali mendaftarkan kekuatan Melayu itu sendiri.
Ya, benar fakta sejarah boleh dianggap faktor utama meneguhkan hujah bahawa orang Melayu yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu. Ia sama seperti India adalah negeri orang berketurunan India, Arab di Asia Barat dan seperti China dinamakan sedemikian lantaran bangsa Cina yang mendiami negara itu. Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini.
Namun, akhirnya nasib orang Melayu itu berada di tangan orang Melayu sendiri. Kita tidak jadi ‘tuan’ dengan mengungkit sejarah semata-mata. Kita boleh jadi ‘tuan’ jika berani bertindak, sanggup menghadapi risiko, berusaha untuk menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tidak perlu bergantung kepada sesiapa.
Inilah cabaran yang harus semua pihak yang cintakan kestabilan dan tekad untuk memacu Malaysia yang hebat sama-sama pikul.
Kabinet ada tanggungjawabnya. Perdana Menteri ada tugas yang menunggu saban waktu, saban hari.
Tetapi para intelek, cendekiawan dan pemikir ada tanggungjawab yang berat. Iaitu kesungguhan dan keberanian mengungkap serta mengolah hujah-hujah dan fakta isu-isu semasa secara jujur dan berterus terang.
Tidak lagi berlegar-legar di permukaan dan belakang tabir. – Mingguan Malaysia










