Bertemulah raja, ahli politik, cendekiawan demi survival bangsa - Utusan Malaysia

Bertemulah raja, ahli politik, cendekiawan demi survival bangsa

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini mengingatkan betapa kebelakangan ini perbuatan mahu mengetepikan adab malah memijak adat semakin dipelopori oleh kalangan yang buta huruf terhadap sejarah negaranya, kalangan yang cetek tentang tamadun bangsanya, kalangan yang berminda budaya pelarian, minda yang terapung-apung, minda yang tidak ada akar budaya, lalu melanggar adab dan menyisihkan adat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA ‘orang kita’ nampaknya begitu bencikan sebuah parti itu kononnya parti itu rasis dan cauvinis.

Tapi yang hairannya pemimpin tertentu pun lenggok parti mereka nampak rasis. Mereka pergunakan istilah ‘ketakutan rakyat’ tentang kononnya parti bukan Melayu itu ‘mencengkam’. Namun persoalannya apa yang dibuat oleh parti-parti Melayu ini untuk redakan ‘kebimbangan itu’?

Kita tidak boleh ketepikan masyarakat bukan Melayu. Kita kena hidup dengan semua kaum. Masyarakat Cina khususnya sudah puluhan tahun hidup di negara ini. Mengapa takut dengan bayang-bayang? Mari kita bina dan perkukuhkan benteng perpaduan itu dalam kalangan semua kaum, etnik, budaya dan agama.

Bukankah orang Melayu masih memegang tampuk kuasa? Perdana Menterinya Melayu, menteri besarnya Melayu, malah Yang di-Pertuan Agong pemegang tampuk kuasa negara ini orang Islam, orang Melayu.

Jadi, apa yang digusarkan? Tidak perlulah lagi menjaja dengan memomokkan rakyat, ‘takutkan parti itu, parti ini, parti itu begitu, parti itu begini. Parti itu menangpun kerana pengundi mereka tidak mahu pangkah parti-parti lain. Hormati pilihan dan hak mereka.

Dan mujurlah kita Malaysia ini masih beraja. Majlis Raja-Raja itu sebenarnya adalah institusi ‘pengimbang’ kepada sistem pemerintahan secara Persekutuan. Misal kata jika apa-apa perubahan hendak dilakukan kepada perkara-perkara berkaitan hal-ehwal di-Raja termasuk kedaulatan, kedudukan dan keistimewaan mereka, atau Per. 152 (bahasa Kebangsaan), 153 (hak-hak keistimewaan orang Melayu), 160 (adat dan keMelayuan), Majlis Raja-Raja berhak dan hendaklah terlebih dahulu dirundingi.

Kedudukan Raja yang istimewa di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, Perlembagaan Merdeka dan Perlembagaan 1963 adalah terpelihara. Rakyat Malaysia yang bertradisi dan berteraskan budaya bangsa akan sentiasa menghormati institusi Raja.

Sebuah pepatah berbunyi:
Raja adil, Raja disembah
Raja zalim, Raja disanggah.

HAK ISTIMEWA
Maka sebab itu kita amat perlukan arena politik aras tinggi. Kerana politik itulah yang merubah negara bangsa kerana melalui prosesnya, ketentuan perjuangan dan hak-hak individu serta kelompok dapat dinyata dan diterjemahkan. Kuasa politik itulah yang melahirkan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta perkembangannya yang pula mampu mengubah sejarah tanah air.

Kuasa politik itulah yang menjamin hak-hak istimewa Melayu dan komuniti lain di bawah Perkara 153 perlembagaan persekutuan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Per. 152), berkuasanya raja-raja Melayu wujudnya pengasingan kuasa, norma-norma pentadbiran – semuanya hasil perjuangan politik. Kata kuncinya – politik penentu negara bangsa.

Jika aspek-aspek naratif persejarahan negara itu tersusun dan berlandaskan bukti atau penerimaan fakta, maka sejarahnya mudah diterima pakai sebagai autoritatif dan bertenaga sebagai warisan yang dibanggakan.

Tanah Melayu pernah hilang wilayahnya yang kecil sedikit dari Perlis, disusuli pulau sebesar separuh padang bola sepak. Namun mujurlah Sipadan dan Ligitan haknya kepada kita. Bab geopolitik ini harus menjadi perhatian serius badan tersohor mengendalikan hal ehwal sejarah negara. Ia harus libatkan kepakaran antarabangsa, wilayah serta tempatan dalam apa jua program bertemakan sejarah.

Hakikatnya terlalu banyak hal dan perkara sejarah di Sabah dan Sarawak misalnya yang masih kabur dan tidak sampai paras muktamad. Tuntutan Filipina dan geng Sulu terhadap Sabah; kesan sejarah tentang pentadbiran Brunei terhadap wilayah-wilayah Sarawak dan Sabah serta apa yang dinamakan watershed areas. Kawasan-kawasan ini yang dilakukan pemetaannya oleh Inggeris banyak yang dipertikai kerana tiadanya terdapat batu sempadan.

Itu belum lagi masuk bicara-bicara yang cukup rumit membabitkan pemilikan lebih 700 terumbu, beting dan rabung yang sudah ‘ditandakan’ banyak negara di perairan luas Laut China Selatan.
Masalah kita hari ini dengan pakar sejarah mana boleh dirujuk? Masyarakat barangkali mudah terpegun dan terima sahaja huraian berkaitan sejarah sehingga tidak ada modul yang berperanan menapis fakta dan analisis.

Tidak ketahuan sama kita ada modul standard atau piagam sejarah yang boleh dan layak dianggap seratus peratus autoritatif dalam menentukan sejarawan mana yang ‘boleh tahan’, yang baik, yang neutral, yang terperinci kajian serta naratifnya.

GENERASI ONLINE
Ahli politik semua parti, masyarakat, cendekiawan dan sejarawan harus bekerjasama. Jika bidang sejarah sebuah negara itu terasas kepada kriteria dan bahan punca yang lemah asasnya maka sejarah kenegaraannya akan dilihat condong tanpa tupang, yakni lemah, tidak kental dan tidak autoritatif – yang akhirnya tidak akan dipedulikan orang.

Generasi baharu yang sejak kecil diajar menyalurkan informasi secara online tidak ingat lagi berpolitik cara dulu. Kitalah yang harus bersedia menghadapi perang politik berpentaskan media sosial bersama golongan ini.

Pelan yang sempurna jika tidak dilaksanakan dengan baik, akan gagal. Pelan yang tidak baik, jika dilaksanakan dengan baik, akan pasti berjaya. Bacaan yang terlalu mudah.

Tapi yang jelas – Kerajaan Madani harus menangani apa juga kegagalan mendatang, dengan bekerja keras. Hindarkan tanpa perjuangan dan idealisme yang retorik.

Politik bergerak pantas. Ada parti memiliki perdana menteri yang menjadi magnet penarik. Untuk jadi magnet besar begitu, kerusi dimenangi mesti banyak.

Ada parti yang dana dimilikinya pula terhad. Di Sabah, jentera rupanya senang dibina. Ada duit, bayar, maka ramailah jentera.

Ada pula gabungan politik yang baru bertapak, duitnya jadi raja. Apakah jalan hendak berjaya mendapat kuasa semula ketika orang lain jadi perdana menteri?

Untuk menang pilihan raya, formula mana-mana parti serupa sahaja. Harus kerja 10 kali ganda lebih kuat dengan kaedah yang strategik. Mesra rakyat. Jangan sombong.

Jadi, harung dan kendalikanlah sewajarnya parti bukan Melayu yang dikatakan ‘mencengkam’ itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN