KUALA LUMPUR: Pelantikan pengerusi dan anggota Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya membabitkan ahli politik yang masih aktif bagi menjamin kebebasan serta integriti dalam institusi itu.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH berkata, penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Pertembungan ideologi politik yang rancak akhir-akhir ini menyebabkan ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan dengan menjadikan keputusan-keputusan lembaga sebagai bahan kritikan sehingga menjejaskan kredibiliti TH.
“Sehubungan itu, RCI berpandangan jawatan pengerusi dan anggota TH tidak wajar dilantik dalam kalangan ahli politik yang masih aktif, sekiranya seseorang yang dilantik sebagai pengerusi dan anggota lembaga,” katanya.
Suruhanjaya berpandangan pemilihan individu-individu yang benar-benar mempunyai kelayakan, berintegriti, kompeten serta mempunyai kepakaran yang tepat akan membantu meningkatkan kewibawaan anggota Lembaga.
“Ia juga diyakini akan membawa perubahan yang benar-benar diinginkan oleh masyarakat terhadap pengurusan TH serta membantu meminimumkan kebarangkalian TH berhadapan dengan isu ketidakcekapan dalam urusan tadbir urus korporat, pelaburan dan pengurusan haji,” katanya.
Menurut laporan tersebut, bidang kepakaran itu amat penting bagi mengimbangi keputusan-keputusan lembaga terutamanya daripada segi pelaburan.
“Maka Suruhanjaya mencadangkan agar bidang kepakaran yang diperlukan bagi anggota lembaga yang dilantik, dinyatakan secara khusus dalam Akta 535. Anggota Lembaga yang dilantik hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang perbankan, perniagaan, ekonomi, syariah, perundangan dan perakaunan,” katanya.
Suruhanjaya juga mendapati bahawa dalam tempoh siasatan, beberapa orang anggota lembaga adalah dalam kalangan ahli politik.
“Antaranya Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim yang dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah pada tahun 2011 dan seterusnya dilantik sebagai Pengerusi pada tahun 2013 hingga tahun 2018. Beliau merupakan ahli Parlimen Baling dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
“Tan Sri Badruddin Amiruldin dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah pada 2005 hingga tahun 2018. Beliau merupakan ahli Parlimen Yan dan Jerai dari 2004 hingga 2008 dan juga Pengerusi Tetap Perhimpunan Agong UMNO.
“Datuk Rosni Sohar dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah pada 2014 hingga 2018. Beliau merupakan ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Hulu Bernam dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi serta Setiausaha Wanita UMNO Malaysia sejak tahun 2013 hingga kini,” katanya. – UTUSAN










