Rosak fikiran, hilang empati kerana kuasa - Utusan Malaysia

Rosak fikiran, hilang empati kerana kuasa

Dengan Raja-raja Melayu sebagai tonggak, sensitiviti Islam tidak perlu dikacau atau diganggu gugat oleh bukan Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita selalu melihat bagaimana orang berubah apabila mendapat kuasa. Sebelum ada kuasa perwatakan mereka berbeza. Perangai sebenar disembunyikan. Penampilan, tutur kata, tingkah laku semua dijaga.
Tetapi apabila kuasa sudah di tangan, belang sebenar keluar. Toleransi hilang, sebaliknya apa yang keluar dari mulut penuh dengan desakan hingga lupa akan toleransi kaum dan agama.Tanpa berselindung sengaja memberikan cadangan yang melanggar batas agama lain.
Sebab itu, cadangan Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham supaya dilantik pakar bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam dianggap tidak wajar.
Malah ia dianggap cubaan yang melampaui batas agama dengan cuba mencampuri hal ehwal Islam. Asasnya mudah, urusan berkaitan Islam, undang-undang Islam dan segala yang berkaitan agama Islam di Malaysia ditentukan oleh pakar beragama Islam.
Dengan Raja-raja Melayu sebagai tonggak, sensitiviti Islam tidak perlu dikacau atau diganggu gugat oleh bukan Islam.
Kenapa mahu dilantik bukan Islam menganggotai jawatankuasa berkaitan hal ehwal Islam? Jika cadangan yang sama dikemukakan supaya orang Islam dilantik menganggotai jawatankuasa agama lain adakah ia boleh diterima?
Rasanya, jika cadangan seperti itu dibuat sudah tentu akan menjadi polemik dan modal politik yang tidak berkesudahan.
Cadangan Koo Ham itu sangat tidak perlu kerana akan menimbulkan salah faham yang akan menjejaskan toleransi agama dan kaum di negara ini.
Mungkin beliau tidak sedar bahawa cadangan seperti itu memberi tempias kepada Kerajaan Perpaduan di mana DAP sebahagian daripadanya.
Ketika DAP cuba meneuteralkan pelbagai persepsi yang kurang senang mengenai kehadiran mereka dalam kerajaan, kenyataan Ahli Parlimen Beruas itu membantu memburukkan lagi keadaan.
Sebab itu, ada yang berkata fikiran seseorang boleh rosak setelah ada kuasa, dan disebabkan kuasa juga mereka hilang empati hingga tidak boleh membuat pertimbangan sama ada apa yang dipertuturkan boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama atau tidak.
Cuba tanya kepada penganut agama lain, adakah mereka mahu terima orang Islam sebagai wakil agama mereka, adakah mereka akan terima?
Andai kata cadangan seperti ini dibangkitkan oleh pemimpin Islam pasti pelbagai polemik akan timbul.
Kebebasan beragama di negara kita sudah dijamin dalam perlembagaan. Setiap penganut agama di tanah air kita ini bebas untuk mengamalkan ajaran masing-masing, membina rumah ibadat ikut keperluan dan tidak perlu campur tangan dari penganut agama lain.
Malah ketika zaman penjajahan British pun mereka tidak mencampuri hal ehwal Islam kerana menjaga sensitiviti agama sangat penting jika mahu mengekalkan kestabilan.
Dalam Islam sendiri umatnya dilarang mencampuri urusan penganut agama lain. Dalam al- Quran jelas dinyatakan ‘bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku’.
Demi keharmonian beragama dan toleransi elok kita menjaga hal ehwal agama masing-masing tanpa mencampuri urusan agama lain. Ia lebih banyak mendatangkan mudarat dari faedah.
Penegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perlu dijunjung iaitu semua rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam perlu menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Islam di Malaysia.
Terdapat pelbagai badan yang mengawal hal ehwal dan perundangan Islam termasuk Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh baginda.
MKI memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.
MKI mempunyai pakar mencukupi serta berkelayakan yang arif dalam pelbagai bidang khu- susnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.
Alasan yang diberikan oleh Koo Ham bahawa cadangannya itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang Islam dilakukan tidak masuk akal. Undang-undang Islam hanya untuk orang Islam. Ia tidak menjejaskan kehidupan, aktiviti dan amalan agama lain.
Agama lain juga tentu tidak mahukan apa-apa pandangan daripada orang Islam dalam apa juga yang mereka lakukan seperti pembinaan rumah ibadat.
Seperti titah Sultan Selangor, penganut agama-agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.
Ramai yang bertanya kenapa pemimpin DAP itu berani mengesyorkan cadangan seperti itu. Tanpa perlu berfikir dua kali, semua orang tahu ia gesaan yang cuba mencampuri urusan orang Islam.
Jawapan kepada soalan yang dibangkitkan adalah kuasa. Apabila kuasa ada di tangan ada pemimpin yang hilang pertimbangan akal, rosak fikiran dan tiada empati kerana mahu menguji sejauh mana kuasa mereka boleh digunakan.
Ini juga adalah amaran awal kepada orang Melayu Islam iaitu jika mereka terus berpecah dan hilang kuasa politik maka tidak mustahil suatu hari nanti kesucian Islam juga akan tergugat.
Dalam menjaga kestabilan negara dan toleransi antara kaum dan agama para pemimpin politik perlu menjaga batas dan adab mereka.
Gunakan akal sebelum bertindak. Jangan sampai hilang empati terhadap toleransi yang menjadi pengikat kepada masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×