Yang asing lagi petah daripada kita

Yang asing lagi petah daripada kita

SALAH satu unsur yang mendorong warga asing dapat mempelajari bahasa Melayu dengan cepat dan mudah ialah tekanan bagi meneruskan kelangsungan hidup. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ABANG cuci luar atau dalam, harga di kedai kami berpatutan,” tergamam seketika mendengar akan kata-kata yang begitu lancar dan petah.

Ya, suara ini adalah pertuturan harian dengan rangkai kata disusun rapi oleh seorang pencuci kereta berasal dari Bangladesh yang baru tiga bulan menjejakkan kaki di bumi bertuah ini.

Terdetik di penjuru jantung, bagaimana ini terjadi? Mengapa mereka begitu mudah dapat menggarap dan bertutur bahasa Melayu? Bahkan, ada yang boleh membacanya dengan lancar. Siapakah guru mereka?

Sudah tentu jawapannya terpahat pada keistimewaan dan kehebatan bahasa Melayu itu sendiri.

Bahasa melambangkan bangsa, bahasa melambangkan tamadun, bahasa melambangkan budaya, bahasa melambangkan kedaulatan sesebuah negara. Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang telah mendukung dan mengangkat Malaysia di persada dunia dalam semua sektor dan bidang.

Bahasa Melayu tersebar luas di serata penjuru peta dunia. Kini dengan menduduki tangga ke-10 daripada 6,000 bahasa yang dituturkan oleh masyarakat dunia, bahasa Melayu terus megah berkumandang di bibir-bibir penutur bahasa.

ALAM MELAYU

Sejarah dan catatannya jelas mengukir keistimewaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu bertapak dengan teguh sejak kewujudan alam Melayu. Sutan Takdir Alisyahbana, sasterawan Indonesia menyatakan, “Sifat bahasa Melayu yang sederhana dan mudah dipelajari membolehkan bahasa ini mudah diterima di alam Melayu.”

Keunikan bahasa Melayu telah menjadikannya sebagai bahasa lingua franca (bahasa pengantara) sejak kurun ke-16. Kehebatan bahasa Melayu menjadi faktor kedatangan pedagang dari China, India, Parsi dan Eropah. Kemasyhuran Kesultanan Melayu Melaka terserlah dan bertambah seri dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara. Alangkah hebatnya bahasa Melayu.

Bahasa Melayu menjadi watak utama dalam siri pembikinan Tanah Melayu. Kemerdekaan yang kini kita kecapi selama 66 tahun ini terlahir daripada bibit-bibit pelabelan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Pembentukan bangsa Malaysia yang unik dan istimewa ini adalah hasil pertuturan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dalam kalangan pelbagai kaum dan etnik di negara kita.

Keunikan bahasa Melayu menjadikan semua lapisan masyarakat dapat bertutur dan berkomunikasi dengan mudah dan fasih. Di Ladang Pamol, di kedai kopi Ah Cun, di warung Pak Ali, di bendang Jitra, di tapak cari gali Kerteh, bahasa Melayu ditutur tanpa was-was, tanpa segan silu dengan begitu sopan dan beradab. Ini menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang memenangi hati dan menjadi juara di setiap sanubari rakyat madani sejak berzaman.

BAPA SASTERA

Bahasa Melayu terus mekar di bumi ini dan di serata dunia, hasil usaha pelbagai pihak. Sasterawan Negara sebagai bapa sastera menjadi jantung dan nadi penggerak kemasyhuran bahasa Melayu. Bermula daripada Sasterawan Negara pertama, Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas sehinggalah sasterawan negara ke-15, Datuk Abdul Rahman Shaari, berperanan sebagai penghubung dan penyambung antara masyarakat dan sastera, masyarakat dan bahasa serta masyarakat dan agama.

Mereka telah mendendangkan bahan sastera seperti pantun, sajak, puisi, gurindam, syair, novel, seloka, cerpen dan drama dengan bahasa yang begitu mudah dan indah. Kelembutan bahasa ini telah menarik minat lebih ramai penutur bahasa terutama mereka yang bukan penutur jati.

Kanak-kanak yang baru menjejakkan kaki di prasekolah pun dapat memahami bahasa Melayu dengan mudah kerana penyampaian bahan sastera dalam bahasa yang ringkas dan berbentuk didik hibur. Pembawakan inilah yang telah mengusik hati warga asing dan mendorong bahasa Melayu meniti di bibir mereka. Mudah, ringkas, senang difahami dan dituturkan oleh pelbagai lapisan masyarakat Malaysia menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang dapat menghubungkan dunia luar dan alam tempatan.

UTUSAN MALAYSIA

Peranan media massa terutama akhbar Utusan Malaysia sejak 1 September 1967 tidak dapat dinafikan. Sehingga saat ini, sebagai akhbar yang mendukung agenda negara menyemarakkan bahasa Melayu, peranan Utusan Malaysia tiada noktahnya. Penggunaan bahasa yang mudah dan ringkas membolehkan setiap warga tanah air dapat menelaah berita yang berlegar di sekeliling mereka dengan cepat dan tepat.

DESAKAN HIDUP

Satu lagi unsur yang mendorong warga asing ini mempelajari bahasa Melayu dengan mudah ialah tekanan hidup. Mereka ke sini untuk mencari nafkah dengan membelanjakan sejumlah wang yang besar. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak, bertepatan dengan warga asing yang menjejakan kaki di bumi bertuah ini, mereka berusaha untuk mempelajari bahasa Melayu yang sememangnya mudah dihadam dalam masa singkat.

Mereka mempraktikannya dalam perbualan harian. Kesungguhan dan ketabahan dalam menelaah kosa kata yang mudah membolehkan mereka bertutur dengan fasih. Malah ramai yang bertutur dengan penuh adab dan sopan. Makan, minum, terima kasih, selamat datang, apa khabar, antara kata-kata sapaan sering berlegar di ruang yang dikelilingi para pekerja asing.

Kita sebagai warganegara sejati yang sebati dengan bahasa kebangsaan ini harus mempelajari daripada warga asing ini. Mereka mengaplikasikan bahasa Melayu sebagai salah satu amalan dalam kehidupan harian. Amalan ini boleh dijadikan teladan.

Kehebatan bahasa itu bergantung pada ketersampaiannya kepada masyarakat umum tanpa mengira bangsa, agama, keturunan, sempadan negara. Kita harus bangga dengan kehebatan bahasa kebangsaan kita sehinggakan warga dunia yang bukan penutur jati dapat menguasainya dalam masa singkat. Tepuk dada tanya selera, apakah peranan kita dalam mendaulatkan dan mengangkat bahasa Melayu ke persada dunia sebagai bahasa antarabangsa? Ayuh kita sebagai pendukung bahasa menyemarakkan bahasa Melayu demi kelangsungan bahasa. Bahasa Jiwa Bangsa Madani. – UTUSAN

PENULIS ialah guru akademik di Sekolah Kebangsaan Batu 3, Kluang, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×