THE Beatles merupakan kugiran rock di era 1960-an dianggotai empat orang pemuzik dari Liverpool, United Kingdom terdiri dari pemuzik dan vokalis Paul McCartney, John Lennon, George Harrison dan Ringo Starr. Album terakhir kumpulan itu berjudul Let It Be, diterbitkan pada 1970 dan mendapat sambutan hangat apabila berjaya dijual sebanyak 10 juta unit di seluruh dunia.
Kumpulan itu berpecah pada tahun yang sama dan kini, hanya tinggal dua anggota asal iaitu McCartney dan Starr selepas kematian Lennon pada 1980 apabila penyanyi itu ditembak mati, Mark Chapman, peminat fanatik kumpulan itu dan kematian George Harrison pada 2001 akibat barah paru-paru.
Tanggal 2 November lalu, iaitu 53 tahun selepas kumpulan The Beatles berpecah, mereka telah melakukan kejutan dengan mengeluarkan lagu terbaharu bertajuk Now and Then. Lagu tersebut dicipta dan dirakamkan menggunakan kaset oleh Lennon untuk album terbaharunya tetapi tidak sempat disiapkan Lennon dan ia terus berada dalam simpanan Yoko Ono, isteri mendiang. Pada 1996, Ono menyerahkan rakaman itu kepada McCartney untuk dimuatkan ke dalam album kompilasi The Beatles bertajuk Anthology.
Faktor keterbatasan teknologi pada masa itu telah menyukarkan McCartney untuk mengadunkan lagu itu untuk mengasingkan vokal Lennon dengan bunyi piano yang dimainkan. Hanya selepas 27 tahun, iaitu pada 2022 baharulah lagu tersebut dapat diadun semula menggunakan teknologi kecerdasan buiatan (AI) dipanggil Music Acoustic Licencing (MAL) yang dibangunkan syarikat WingNut Films milik Peter Jackson, pengarah filem trilogi Lord Of The Rings.
Sistem MAL menggunakan algoritma untuk mempelajari vokal Lennon serta mengasingkannya dari bunyi piano melalui proses deep learning, salah satu komponen dalam teknologi AI Sistem MAL berupaya meningkatkan kualiti rakaman suara Lennon untuk kedengaran lebih jelas, selain meminimumkan bunyi white noise hissing dalam rakaman asal lagu itu. Bunyi white noise hissing merujuk pada frekuensi sekata dalam spektrum bunyi sehingga menjejaskan bunyi dikehendaki.
Peminat The Beatles meraikan kemunculan lagu ‘baharu’ kumpulan itu dengan penuh teruja kerana ia mengubati kerinduan mereka terhadap mendiang Lennon dan Harrison. Ini dibuktikan lagi dengan kejayaan lagu itu menduduki tangga pertama Billboard (platform dalam industri muzik bagi mengukur populariti lagu dan album di Amerika Syarikat) bagi kategori Jualan Lagu Digital Popular sebaik sahaja ia dilancarkan menerusi platform digital Spotify dan YouTube Music serta dimuat turun pendengar sebanyak 1.6 juta kali.

PERHEBAT TEKNOLOGI AI
Kesedaran masyarakat Malaysia tentang teknologi AI masih di peringkat awal malah ia tidak digunakan secara menyeluruh kecuali dalam bidang-bidang tertentu sahaja. Untuk memperhebatkan usaha ini, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan 2021-2025 sebagai garis panduan bagi mencapai matlamat memperkenalkan teknologi AI dalam pelbagai bidang merangkumi pendidikan, penyelidikan, perundangan dan aplikasi industri.
Menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta dan RM40 juta untuk melatih penjawat awam dalam bidang AI ke arah pentadbiran awam dan tadbir urus digital. Komitmen kerajaan untuk mengutamakan penggunaan teknologi AI di Malaysia turut didorong oleh keperluan mempertingkatkan daya kecekapan dan kemahiran penjawat awam dalam dunia digital.
Sektor seni dan budaya perlu digembleng sama ke arah memperbanyakkan kandungan digital semasa dengan dibantu sektor swasta dan institusi akademik berkaitan teknologi AI di Malaysia. Selain itu, terdapat juga keperluan untuk mewujudkan lebih banyak program berbentuk pembangunan inovasi ke arah pembangunan bakat tempatan dalam bidang AI. Kejayaan ini dapat digunakan bagi membantu meneruskan usaha pemuliharaan dan kelangsungan seni tradisi Malaysia.
Persoalan utama ialah adakah penggiat seni Malaysia bersedia untuk turut serta dalam perkembangan teknologi semasa atau ditinggalkan dalam nostalgia seni tradisi tanpa sebarang usaha meneruskan kelangsungannya?-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Produk Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.










